JAKARTA: Indonesia dijangka membuat keputusan menyertai keanggotaan negara-negara BRICS sedang Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo (Jokowi) berada di Afrika untuk mengadakan lawatan kerja.
Encik Jokowi dijadualkan menyertai acara sidang kemuncak BRICS, pakatan yang terdiri daripada negara membangun: Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan dalam rangka lawatan kerja ke empat negara Afrika berkenaan sekali gus menjadi lawatan pertamanya ke benua itu sebagai presiden.
BRICS yang terdiri daripada Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan, akan mengadakan sidang kemuncak di Johannesburg, Afrika Selatan pada 22 hingga 24 Ogos dan isu pengembangan kumpulan ini mungkin akan dibincangkan.
Encik Jokowi hanya menyertai sidang kemuncak BRICS setelah melakukan lawatan ke empat negara - Kenya, Tanzania, Mozambique dan Afrika Selatan.
BRICS dianggotai empat negara itu sebagai alternatif Beijing serta Moscow untuk menyaingi Barat.
Pada awal Ogos, Encik Jokowi telah menyatakan bahawa pemerintahnya akan membuat keputusan mengenai kemungkinan Indonesia menyertai BRICS.
Pasukan BRICS adalah gelaran yang diberi ahli ekonomi Goldman Sachs, Encik Jim O’Neill, pada 2001 bagi menggambarkan kebangkitan Brazil, Russia, India dan China, yang mengadakan sidang kemuncak pertama pada 2009 di Russia.
Afrika Selatan menyertai BRICS pada 2010 dan menurut laporan, kira-kira 40 negara telah menunjukkan minat untuk menyertai kumpulan itu.
China memiliki ekonomi terbesar dalam kalangan anggota BRICS iaitu lebih 70 peratus daripada kekuatan ekonomi keseluruhan kumpulan itu, yang dianggarkan sekitar AS$27.5 trilion ($37.33 trilion)
Russia dan Brazil masing-masing menguasai kira-kira tujuh peratus, menurut data Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
BRICS merangkumi lebih 40 peratus penduduk dunia dan sekitar 26 peratus ekonomi global.
Presiden China, Encik Xi Jinping, juga akan mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan beberapa pemimpin negara di luar Sidang Kemuncak BRICS yang akan diadakan di Johannesburg, Afrika Selatan, pada 22 hingga 24 Ogos.
Encik Jokowi berkata lawatannya ke Afrika didorong oleh kenyataan bahawa Indonesia memiliki hubungan sejarah yang panjang dengan benua tersebut.
Ia memandangkan negara itu adalah pelopor dan tuan rumah untuk Persidangan Asia-Afrika yang berlangsung di Bandung, Jawa Barat, pada tahun 1955.
Beliau mengulangi kenyataan persidangan antarabangsa itu memainkan peranan penting dalam pembentukan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali di tengah-tengah ketegangan semasa Perang Dingin. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg