Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Sengketa Ukraine-Russia boleh mengarah kepada ‘orde baru’ dunia atau ‘perang’ mata wang

Jun 30, 2023 | 12:24 PM



Perang Russia-Ukraine telah mengakibatkan sekatan terhadap Russia dan pelaburannya di seluruh dunia. Terdapat dakwaan jenayah perang yang dilakukan semasa perang dengan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap ke atas Presiden Russia, Encik Vladimir Putin.

Sebagai anggota ICC, Afrika Selatan pula ‘wajib’ menangkap Encik Putin jika beliau menghadiri sidang kemuncak Membangun Ekonomi Global yang Lebih Baik (Brics) di Johannesburg pada Ogos ini.

Keadaan ini adalah mimpi ngeri diplomatik dan Afrika Selatan sedang menimbangkan pilihannya, termasuk mengubah undang-undang tempatan.

Brics ditubuhkan pada 2009 dengan anggota awalnya terdiri daripada Brazil, Russia, India dan China. Afrika Selatan menyertainya pada Disember 2010. Sidang puncak pertama telah diadakan di Yekaterinburg, Russia pada 16 Jun 2009.

Sidang puncak Yekaterinburg memberi tumpuan kepada memperbaiki keadaan ekonomi global dan melakukan pembaharuan institusi kewangan.

Ketika itu, dunia baru sahaja mengalami krisis kewangan 2008. Sidang puncak itu menyarankan perlunya mata wang rizab global yang baru. Russia sentiasa kritikal terhadap dominasi dolar Amerika Syarikat.

SEJARAH MATA WANG RIZAB GLOBAL

Dolar Amerika merupakan mata wang rizab terkemuka dunia selama beberapa dekad. Ia bermula selepas Perang Dunia Kedua dengan Perjanjian Bretton Woods 1944, yang juga membawa kepada penubuhan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia. Perjanjian Bretton Woods mewujudkan sistem di mana kadar pertukaran mata wang boleh dibuat bersandarkan piawaian emas.

Dolar Amerika disokong oleh rizab emas dan boleh ditukar kepada emas pada harga tetap. Mata wang lain ditambat kepada dolar Amerika pada kadar pertukaran tetap. Negara lain tidak perlu memegang emas sebagai rizab tetapi sebaliknya memegang dolar Amerika.

Banyak negara mengumpul rizab dolar Amerika yang dilaburkan terutamanya dalam bil perbendaharaan Amerika dan sekuriti lain. Dolar Amerika menjadi mata wang rizab dunia dan disokong rizab emas.

Era Perang Vietnam mengakibatkan defisit bajet Amerika dan pencetakan wang kertas. Negara lain mula bimbang tentang kestabilan dolar Amerika dan mula menukar rizab mereka kepada emas.

Presiden Richard Nixon dipaksa pada 1971 untuk menyahpautkan dolar Amerika daripada emas, yang membawa kepada kadar pertukaran terapung yang wujud hari ini, kerana banyak negara memisahkan mata wang mereka daripada dolar Amerika. Namun, dolar Amerika kekal sebagai mata wang rizab utama dunia. Bank pusat di seluruh dunia memegang lebih separuh rizab mereka dalam dolar Amerika.

Pada 16 Mac 2009, Russia meminta mata wang rizab supranasional sebagai sebahagian pembaharuan sistem kewangan global. China membuat saranan serupa pada 23 Mac 2009.

Sidang puncak Yekaterinburg 2009 juga membuat seruan sama. Pada 30 Mac 2009, Venezuela mencadangkan penciptaan mata wang petro yang disokong rizab minyak negara pengeluar minyak.

Mengapa perlu mewujudkan mata wang baharu?

Cabaran kewangan global dan dasar luar Amerika yang agresif telah meningkatkan permintaan negara anggota Brics bagi mata wang baru. Mereka mahu memenuhi kepentingan ekonomi mereka sendiri dengan lebih baik sambil mengurangkan pergantungan global kepada dolar Amerika.

Paksi kepada situasi yang berterusan ini ialah perang perdagangan Amerika dengan China, serta sekatan Amerika ke atas China dan Russia.

Dasar luar Amerika yang agresif termasuk langkah Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) memasukkan negara Eropah Timur dan negara bekas Kesatuan Soviet yang bersempadan dengan Russia, yang secara tidak langsung memainkan peranan dalam serangan Russia ke atas Ukraine.

Nato dibentuk selepas Perang Dunia Kedua dengan negara Eropah Timur di bawah pengaruh Soviet bertindak sebagai penampan antara Nato dengan Kesatuan Soviet. Peluasan Nato menghapuskan zon penampan itu.

China melihat Amerika sebagai menakutkan dan menimbulkan provokasi dengan isu Taiwan. China juga melihat Dialog Keselamatan Segi Empat (Quad) sebagai Nato Asia. Dialog Shangri-la baru-baru ini memaparkan ketegangan antara China dengan Amerika.

Mesyuarat menteri luar Brics di Johannesburg memberi tumpuan kepada peluasan Brics dan langkah ke arah mata wang biasa ‘baru’. Kedua-duanya adalah usaha yang dipimpin China yang disokong Russia.

Afrika Selatan menyatakan terdapat 19 negara yang telah memohon atau menunjukkan minat mahu menyertai Brics. Ini termasuk negara pengeluar minyak seperti Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Iran, Nigeria, Indonesia, Algeria, Sudan, Gabon, Congo, Mexico, Bahrain, Kazakhstan dan Venezuela.

Jelas terdapat penjajaran antara Brics dengan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (Opec). Kedua-dua badan ini telah mencipta alternatif kepada dolar Amerika atau petrodolar. Dagangan minyak sentiasa diurus niaga menggunakan dolar Amerika.

Mata wang Brics boleh menandakan pengakhirannya. Opec boleh mendapatkan semula pengaruh global yang mereka nikmati dalam tahun-tahun 1970-an semasa sekatan minyak pada 1973 hingga 1974.

Jika Amerika mencetuskan provokasi terhadap Opec dan Brics, kemungkinan akan berlaku pengulangan sekatan minyak 1973 dan sekatan lanjut yang dikenakan ke atas Amerika oleh Opec dan Brics. Kuasa global boleh beralih.

Brics boleh mewakili ancaman besar kepada penguasaan Amerika dalam kewangan dan ekonomi global. Satu-satunya pengaruh yang Amerika adalah kuasa ketenteraannya yang besar.

Amerika adalah pengimport minyak besar dan mempunyai sejarah campur tangan tentera apabila bekalan minyaknya terancam. Negara yang lebih kecil sentiasa bimbang terhadap campur tangan tentera Amerika dan kehilangan kuasa petrodolar boleh mencetuskan provokasi kepada Amerika.

Brics akan memberi sedikit keselesaan bahawa negara-negara anggotanya tidak akan berdepan dengan sebarang bentuk pencerobohan.

Penggunaan alternatif kepada petrodolar bermakna banyak negara tidak lagi memerlukan dolar Amerika. Pengurangan dalam permintaan dan kemungkinan pembubaran pegangan sekuriti perbendaharaan Amerika boleh mengakibatkan nilai dolar Amerika turun ke tahap yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Arab Saudi sahaja mempunyai lebih satu trilion dolar nilai pelaburan di Amerika.

Orde dunia baru boleh timbul selepas mesyuarat Brics pada Ogos. Brics dan Opec nampaknya berganding bahu untuk memulakan orde baru dunia. Kemungkinan besar China dan Saudi akan menerajuinya.

China dan Saudi telah mengukuhkan “perpaduan” dalam hubungan dua hala. Presiden Xi Jinping melawat negara itu pada Disember 2022 dan mengadakan juga sidang kemuncak dengan negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Beijing kemudian menjadi perantara perjanjian damai antara Iran dengan Saudi pada Mac. Saudi ialah pembekal minyak mentah terbesar China dan syarikat gergasi minyak Saudi, Aramco, akan membina kilang penapisan di timur laut China. Persidangan perniagaan Arab-China ke-10 berlangsung di Riyadh dari 11 hingga 12 Jun lalu.

Kejayaan mana-mana mata wang baru akan bergantung kepada penerimaannya. Penerimaan secara sukarela akan bergantung pada kestabilan dan kecairan (penerimaan) yang dirasakan, untuk menjadikannya alternatif berdaya maju kepada dolar Amerika.

Penerimaan Euro adalah mengikut undang-undang. Anggota Kesatuan Eropah (EU) terpaksa meninggalkan mata wang tempatan mereka dan menerima pakai Euro. Ini tidak mungkin berlaku dengan mata wang baru Brics.

Senario yang lebih berkemungkinan adalah melalui perjanjian, serupa dengan Perjanjian Bretton Woods dalam 1944. Ia boleh bermula dengan perjanjian antara negara anggota Brics yang telah diperluaskan, diikuti dengan perjanjian antara Bricks dengan negara Opec.

Apabila bekas Presiden Amerika George Bush mengisytiharkan bahawa “jika anda tidak bersama kami, anda menentang kami”, beliau tidak membayangkan ia akan mewujudkan polarisasi sedemikian.

Perang Dunia Ketiga tampak akan bermula. Ia tidak semestinya perang ketenteraan tetapi perang ekonomi yang menggunakan senjata mata wang. Diharapkan ia tidak berkembang menjadi penggunaan persenjataan tentera.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >