JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo melancarkan kerja-kerja pembinaan beberapa projek daripada membangunkan lapangan terbang, jalan bertol dan hospital sehinggalah ke sebuah hotel, di ibu kota baru Nusantara pada Rabu.
Projek utama Encik Jokowi bernilai AS$32 bilion ($43.8 bilion) untuk memindahkan pusat pentadbiran pemerintah keluar dari kota Jakarta yang sesak itu dan kini masih berusaha untuk menarik pelaburan swasta dengan bajet 2024 memperuntukkan 40.6 trilion rupiah ($3.5 bilion).
Presiden Jokowi akan melancarkan 10 projek bernilai 12.5 trilion rupiah semasa lawatannya minggu ini ke Nusantara, yang sedang dibina dari awal di tengah-tengah hutan pulau Borneo.
Lapangan terbang seluas 347 hektar dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang Disember 2024, katanya, dengan kos keseluruhan 4.2 trilion rupiah.
“Saya percaya pembinaan lapangan terbang ini akan meningkatkan daya saing dan pertumbuhan ekonomi, serta mempercepatkan pembangunan ibu kota baru,” kata Presiden Jokowi pada acara pecah tanah itu.
Pemerintah menyasarkan tempoh separuh kedua 2024 untuk hospital antarabangsa, yang dibina oleh rangkaian hospital Indonesia Mayapada, memulakan operasi.
Presiden Jokowi juga memeriksa kerja pembinaan di jalan tol sepanjang 57 kilometer ke hab arang batu Balikpapan, yang beliau jangka boleh digunakan mulai Jun 2024 untuk mengurangkan masa perjalanan.
“Selepas pembinaan tol siap, kita hanya memerlukan sekitar 50 minit sahaja,” katanya, berbanding perjalanan dua jam sebelum itu.
Pemaju hartanah Indonesia Pakuwon Jati sedang membina sebuah hotel, blok pangsapuri dan pusat beli-belah.
Konsortium syarikat Indonesia seperti firma tenaga Adaro dan Barito Pacific, konglomerat Astra International dan firma hartanah Agung Sedayu Grup, telah melabur kira-kira 20 trilion rupiah di Nusantara.
Selain sebuah hotel yang mula dibina konsortium itu pada September 2023, tidak jelas apakah projek lain yang akan dibiayai oleh pelaburan itu.
Presiden Jokowi berkata beliau akan melancarkan sembilan projek pada Disember tetapi tidak memberikan butiran. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg