Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jokowi lantik penyokong Prabowo dalam rombakan Kabinet

Aug 19, 2024 | 2:49 PM
Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia yang baru dilantik, Encik Bahlil Lahadalia (kiri), bersalaman dengan Presiden Joko Widodo semasa majlis angkat sumpah di Istana Presiden di Jakarta pada 19 Ogos 2024.
Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia yang baru dilantik, Encik Bahlil Lahadalia (kiri), bersalaman dengan Presiden Joko Widodo semasa majlis angkat sumpah di Istana Presiden di Jakarta pada 19 Ogos 2024. - Foto AFP

JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo telah melantik orang rapat dengan penggantinya, termasuk menteri tenaga dan pelaburan, dalam satu rombakan Kabinet, dua bulan sebelum beliau dijadual berundur.

Encik Jokowi akan melepaskan jawatannya pada Oktober dan digantikan oleh Menteri Pertahanan, Encik Prabowo Subianto, yang memenangi pilihan raya pada Februari.

Kebanyakan pelantikan baru pada 19 Ogos itu dikatakan mempunyai hubungan baik dengan Encik Prabowo.

Di bawah rombakan tersebut, Encik Bahlil Lahadalia, mantan menteri pelaburan, akan menjadi menteri tenaga yang baru.

Beliau menggantikan Encik Arifin Tasrif, yang mempunyai hubungan dengan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P).

Mantan Duta Besar Indonesia ke Amerika Syarikat, Encik Rosan Roeslani, akan mengisi jawatan yang dikosongkan oleh Encik Bahlil.

Kedua-duanya berkempen untuk Encik Prabowo semasa pilihan raya.

Encik Prabowo dan calon naib presiden gandingannya, Encik Gibran Rakabuming Raka, yang juga anak sulung Encik Jokowi, memenangi pilihan raya dengan 58 peratus undi, menurut pengiraan kebangsaan yang diumumkan pada 20 Mac.

Encik Bahlil kemudian berkata beliau akan memberi keutamaan kepada insentif bagi menggalak usaha mengaktifkan semula telaga tenaga terbiar dan menterbalikkan penurunan dalam pengeluaran minyak mentah Indonesia.

Apabila ditanya sama ada para menteri akan kekal memegang jawatan apabila Encik Prabowo memegang tampuk pemerintahan, Encik Bahlil berkata ia terpulang pada beliau.

Encik Jokowi turut menamakan Encik Dadan Hindayana, seorang profesor di Kementerian Pertanian Bogor dan anggota pasukan kempen Encik Prabowo, untuk mengetuai Agensi Pemakanan Kebangsaan yang baru.

Agensi tersebut ditugaskan melaksana program, ‘Makanan Berkhasiat Percuma’, yang diperkenalkan oleh Encik Prabowo bagi memberi makanan percuma kepada berjuta-juta pelajar.

Encik Dadan berkata seperti dilaporkan media tempatan, program makanan itu akan bermula pada 2 Januari 2025.

Encik Hasan Nasbi, jurucakap Encik Prabowo, dilantik sebagai ketua badan komunikasi presiden.

Pelantikan itu “diperlukan untuk menyediakan dan menyokong peralihan pemerintah agar ia berfungsi dengan baik, lancar, dan berkesan,” kata Encik Ari Dwipayana, seorang pegawai Istana Presiden dalam satu kenyataan.

Encik Jokowi telah memecat Cik Yasonna Laoly, daripada PDI-P. Awal sebelum ini, beliau menyandang jawatan sebagai menteri undang-undang dan hak asasi manusia.

Beliau digantikan oleh Encik Supratman Andi Agtas, daripada parti Gerindra pimpinan Encik Prabowo, yang sebelum ini berkhidmat sebagai pengerusi badan perundangan Dewan Rakyat – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg