Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Prabowo: Pembangunan Nusantara diteruskan di bawah pentadbirannya

Aug 13, 2024 | 12:42 PM
Presiden Terpilih, Encik Prabowo Subianto (kanan berbaju putih), dan Presiden Joko Widodo (tengah berbaju putih) melawat lembangan penampungan air di Ibu Kota Nusantara, Kalimantan Timur, pada 12 Ogos.
Presiden Terpilih, Encik Prabowo Subianto (kanan berbaju putih), dan Presiden Joko Widodo (tengah berbaju putih) melawat lembangan penampungan air di Ibu Kota Nusantara, Kalimantan Timur, pada 12 Ogos. - Foto FACEBOOK JOKO WIDODO

IBU KOTA NUSANTARA: Presiden Terpilih, Encik Prabowo Subianto, memberi jaminan pembangunan Ibu Kota Nusantara (IKN) di Kalimantan Timur akan selesai.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan berhubung kesinambungan pembangunan IKN di bawah pentadbirannya.

“Kami pasti akan menyelesaikannya,” kata Encik Prabowo dalam satu kenyataan akhbar bersama Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo pada 12 Ogos.

Walaupun diunjurkan keseluruhan rancangan pembangunan IKN akan siap beberapa dekad dari sekarang, Encik Prabowo optimis ibu kota baru itu akan mula berfungsi dengan baik, dalam tempoh empat hingga lima tahun.

“Saya optimis, ia akan berfungsi dengan baik dalam tempoh empat hingga lima tahun. Saya bukan pakar kejuruteraan, tetapi saya nampak potensinya,” katanya dipetik agensi berita Antara.

Encik Prabowo yang kini berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan, memaklumkan pembangunan IKN akan terus berjalan dan dipercepatkan dengan melibatkan pakar.

“Kita gunakan segala kemampuan kita. Sudah pasti pembangunan IKN akan diteruskan,” ujarnya.

Encik Jokowi berkata IKN Nusantara mempunyai udara bersih, selaras dengan sasaran.

“Kami mahukan ibu kota hijau dari segi tenaga, kenderaan elektrik, persekitaran yang baik, dan udara,” tambahnya.

Encik Jokowi berkata Encik Prabowo telah bersetuju dengan bajet untuk mempercepatkan pembangunan prasarana IKN.

“Pagi ini, presiden yang dipilih Prabowo Subianto, telah bersetuju dengan pecutan pembangunan prasarana di Ibu Kota Nusantara.

“Pelabur tidak perlu teragak-agak dengan komitmen pemerintah akan datang (dalam IKN),” kata Presiden Jokowi pada majlis pecah tanah Pejabat BCA pada 12 Ogos.

Pada masa ini, pemerintah memberi tumpuan kepada pembangunan Kawasan Teras Pemerintah Pusat (KIPP) IKN.

Encik Jokowi berkata pemerintah bertanggungjawab membina kemudahan dan prasarana asas di IKN seperti jalan raya serta bekalan elektrik dan air.

Beliau berkata Nusantara telah menerima pelaburan 56.2 trilion rupiah (kira-kira $4.63 bilion).

“Setakat hari ini, pelaburan yang diterima untuk ibu kota baru ialah sebanyak 56.2 trilion rupiah,” kata Encik Jokowi ketika mesyuarat Kabinet pertama diadakan di Nusantara, yang disiarkan di saluran rasmi dalam talian.

Angka itu tidak termasuk belanjawan negara yang digunakan untuk membina bangunan kerajaan dan kemudahan awam lain.

Sebanyak 55 pelabur telah memulakan pembinaan premis perniagaan dalam sektor seperti perbankan, penjagaan kesihatan, runcit, tenaga, perhotelan, logistik dan perumahan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg