JAKARTA: Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo meminta maaf kepada masyarakat bagi sembarang kesilapan dan kekurangan sepanjang kepimpinannya.
“Saya juga memohon maaf kepada semua orang. Selama 10 tahun saya menjawat jawatan ini, ada kesilapan, khilaf, dan kekurangan. Saya mohon maaf yang sebesar-besarnya,” ujar beliau ketika melawat Pasar Mawar Pontianak pada 24 September, lapor Antara.
Dalam satu kunjungan kerja ke Kalimantan Barat, Encik Jokowi disambut meriah oleh pengunjung pasar itu dan beliau mengambil kesempatan tersebut untuk berbual dengan peniaga mengenai harga barang di situ.
“Saya sangat gembira dengan kepimpinan Pak Jokowi. Kami berasa sangat beruntung dengan kedatangan beliau,” kata seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Encik Mamat.
Seorang lagi peniaga, yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Valentinus, berkata: “Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Pak Jokowi kerana membangunkan Kalimantan Barat. Hasil pembangunan sudah dapat dilihat, seperti lapangan terbang dan pelabuhan yang berfungsi dengan baik.”
Encik Jokowi akan mengakhiri tempoh perkhidmatannya pada 20 Oktober selepas dua penggal memimpin republik itu.
Beliau akan digantikan oleh Encik Prabowo Subianto, yang memenangi Pilihan Raya Presiden 2024.
Pada hari yang sama, isteri Encik Jokowi, Cik Iriana Jokowi, turut memohon maaf kepada rakyat Indonesia jika suaminya telah melakukan kesilapan semasa memimpin negara.
Dalam ucapan penuh emosi, Cik Iriana menyatakan rasa syukur dan harapannya agar masyarakat dapat memaafkan sebarang kesalahan yang mungkin berlaku sepanjang hampir satu dekad pemerintahan Encik Jokowi.
Permohonan maaf tersebut disampaikan Cik Iriana ketika beliau menghadiri acara Velodrom Antarabangsa Jakarta Timur pada 24 September.
“Saya ingin memohon maaf jika ada kesalahan dalam pelaksanaan tugas suami saya. Kami sangat menghargai sokongan yang telah diberikan oleh rakyat sepanjang waktu ini,” ujarnya.
Dalam majlis tersebut, Cik Iriana turut mengucapkan terima kasih kepada 5,000 pelajar dari sekolah menengah pertama dan sekolah menengah atas yang hadir.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah memberikan sokongan dan doa selama ini. Kami akan sentiasa menghargai kenangan dan pengalaman yang dilalui bersama,” ujar Cik Iriana.
Beliau berharap agar acara positif seperti itu dapat diteruskan oleh kepimpinan akan datang.
“Saya berharap acara ini dapat dilanjutkan di tempoh yang akan datang. Maaf lahir dan batin untuk semuanya. Sukses Jakarta untuk Indonesia,” tambah Cik Iriana.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg