NUSANTARA: Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, dijadual mengadakan mesyuarat Kabinet penuh buat kali kedua di Istana Garuda, yang terletak di ibu negara baru Nusantara di Kalimantan Timur, pada lewat 13 September.
Menurut Timbalan Ketua Bahagian Protokol, Akhbar, dan Media di Sekretariat Presiden, Encik Yusuf Permana, sesi tersebut akan dihadiri oleh Naib Presiden, Encik Ma’ruf Amin, dan semua menteri Kabinet.
Mesyuarat itu dijadualkan berlangsung pada 9 malam waktu tempatan dan akan dipimpin oleh Encik Jokowi.
Ia antara satu siri pertemuan penting menjelang berakhirnya pentadbiran Presiden Jokowi pada 20 Oktober.
Pada 12 Ogos, Encik Jokowi mengadakan mesyuarat Kabinetnya yang pertama di Nusantara, antara lain sebagai usaha meyakinkan pelabur bahawa projek ibu negara baru mega bernilai AS$32 bilion ($41.8 bilion) itu berada di landasan yang betul sebelum beliau menamatkan penggalnya.
Menjelang mesyuarat Kabinet penuh itu, Encik Ma’ruf dan beberapa menteri telah mula tiba di Kalimantan Timur pada 12 September.
Selepas mesyuarat itu, Encik Jokowi dijangka merasmikan hotel Nusantara Swissotel dan acara pecah tanah bagi pembinaan pusat beli-belah Nusantara Duty-Free Mall di ibu kota baru tersebut.
Sejak 12 September, Encik Jokowi telah mula bekerja dari Nusantara, dan beliau akan berada di sana hingga 19 Oktober 2024.
Sepanjang tempoh tersebut, beliau akan menjalankan lawatan kerja ke beberapa wilayah lain di Indonesia.
Mesyuarat Kabinet di Nusantara itu dijangka menjadi mesyuarat Kabinet terakhir pentadbiran Presiden Jokowi.
Dalam beberapa hari akan datang, beliau juga akan memimpin beberapa majlis perasmian prasarana yang telah siap dibina di Nusantara dan pelbagai projek baru yang akan dilancarkan.
Istana Presiden di Nusantara dan hotel pertama di ibu negara baru itu sudah siap, manakala projek lain, seperti perumahan bagi pegawai pemerintah, lapangan terbang, dan lebuh raya sedang dalam pembinaan.
Namun, pembangunan Nusantara masih berdepan cabaran besar, termasuk kelewatan pembinaan dan kekurangan pelaburan asing.
Encik Jokowi turut mengakui bahawa projek itu mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan sepenuhnya.
“Ia mungkin memerlukan 10, 15, atau bahkan 20 tahun,” katanya ketika bertemu pegawai tertinggi tentera dan polis di Istana Garuda.
Beliau juga menegaskan bahawa perpindahan ibu kota bukan sekadar perpindahan bangunan, malah perubahan corak pemikiran dan cara kerja.
Encik Jokowi berharap Nusantara menjadi simbol perubahan dan kemajuan bagi Indonesia.
Pentadbiran seterusnya di bawah bakal Presiden Prabowo Subianto dijangka meneruskan beberapa dasar Encik Jokowi. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg