Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Jokowi nafi video tular Prabowo berkelakuan ganas dalam mesyuarat Kabinet

Sep 20, 2023 | 12:09 PM



JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo menafikan dakwaan yang menjadi bahan perbualan secara meluas di media sosial bahawa seorang menteri berkelakuan ganas semasa pertikaian dasar dalam mesyuarat Kabinet.


Khabar angin tersebar di media sosial sejak beberapa hari lalu bahawa Menteri Pertahanan, Encik Prabowo Subianto, telah mencekik dan menampar Timbalan Menteri Pertanian, Encik Harvick Hasnul Qolbi, sebelum mesyuarat Kabinet terhad di Istana Presiden bermula.

Menjawab soalan pemberita pada Selasa semasa lawatan ke pasar tradisional di Jatinegara, Jakarta Timur, Encik Jokowi sambil tergelak, berkata: “Setahu saya, tidak ada kejadian seperti itu berlaku. Bagaimana mungkin ada yang dicekik?”

Encik Jokowi seterusnya berkata bahawa orang ramai perlu sentiasa mengesahkan maklumat daripada media sosial sebelum membuat kesimpulan mereka sendiri, terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum 2024.

“Dalam tahun politik, memang terdapat banyak maklumat (salah) seperti ini. Jadi sila semak silang maklumat. Jangan ambil semua berita pada nilai muka,” tegasnya.

Khabar angin itu mula tersebar di media sosial selepas klip video bertajuk, ‘Adakah calon presiden menampar timbalan menteri di bilik mesyuarat?’ diterbitkan pada awal September oleh blog atas nama Seword di saluran YouTube dan menjadi tular.

Dalam video selama hampir 12 minit itu, Pengarah Seword, Encik Alifurrahman Asyari mendakwa, tanpa menyebut sebarang nama, beliau pernah mendengar tentang seorang menteri mencekik dan menampar seorang timbalan menteri sebelum mesyuarat Kabinet.

Encik Alifurrahman berkata beliau menerima maklumat itu 10 hari lalu daripada sumber yang menghadiri mesyuarat itu dan menyaksikan kejadian yang didakwa berlaku.

Beliau merujuk kepada menteri itu sebagai calon yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Presiden akan datang.

Menteri itu didakwa berang dengan rakan sekerjanya, yang mengetuai kementerian lain, kerana menteri itu gagal hadir untuk mesyuarat Kabinet dan “tidak membantu dalam projek lintas kementerian yang diamanatkan oleh Presiden”, kata Encik Alifurrahman dalam videonya.

Menteri itu didakwa telah melampiaskan kemarahannya terhadap timbalan menteri yang datang bagi pihak bosnya.

Satu lagi khabar angin mula bertiup kencang bahawa menteri berkenaan ialah Encik Prabowo, yang telah mengumumkan pencalonan ketiganya dalam Pilihan Raya Presiden 2024.

Timbalan menteri berkenaan disebut sebagai Encik Harvick.

Ditanya pemberita mengenai dakwaan itu, Encik Prabowo menepisnya dengan menyatakan bahawa beliau tidak pernah bertemu Encik Harvick secara langsung.

“Saya belum jumpa timbalan menteri pun. Saya tidak pernah bertemu dengannya. Yang saya selalu jumpa ialah menteri,” kata Encik Prabowo ketika ditemui di luar acara lawatan ke syarikat pengeluar senjata milik pemerintah PT Pindad di Bandung, Jawa Barat, bersama Encik Jokowi pada Selasa.

Eksekutif Lembaga Pusat Parti Gerindra, Encik Sufmi Dasco Ahmad, berkata ia bukan kali pertama pengerusinya, Encik Prabowo, menjadi mangsa khabar angin yang tidak berasas.

Beliau menyeru orang ramai dan para anggota partinya supaya “tidak terpengaruh” dengan maklumat yang mengelirukan itu.

Kementerian pertanian berkata dalam satu kenyataan akhbar bahawa khabar angin itu “tidak benar” sama sekali.

Ia menegaskan bahawa Encik Harvick tidak direkodkan dalam jadual rasmi kementerian yang menghadiri mesyuarat Kabinet terhad di Istana bagi pihak menteri pertanian dalam tempoh 10 hari yang lalu. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >