Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Gabenor Jawa Tengah lepas jawatan untuk tumpu Pilihan Raya Presiden

Sep 04, 2023 | 12:30 PM



JAWA TENGAH: Gabenor Jawa Tengah, Encik Ganjar Pranowo, telah melepaskan jawatannya untuk bersara lima bulan lebih awal sebagai persiapan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden.


Encik Ganjar melahirkan hasratnya itu ketika menyampaikan ucapan perpisahan di hadapan ribuan penyokong dalam satu majlis di Karanganyar pada Ahad.

Beliau bersara lima bulan lebih awal untuk bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya tersebut.

Encik Ganjar, yang dicalonkan oleh Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), kini merupakan calon pilihan utama berdasarkan pelbagai tinjauan yang dijalankan.

“Pada Selasa, saya secara rasmi akan menamatkan perkhidmatan saya sebagai gabenor, dan saya ingin merakamkan ucapan terima kasih atas semua sokongan yang saya terima sejak 10 tahun lalu.

“Mohon maaf atas sebarang kekurangan semasa saya memegang jawatan,” kata beliau, yang memegang jawatan gabenor sebanyak dua penggal, semasa acara perpisahan tersebut.

Beliau mengumumkan tumpuan utamanya ialah untuk bekerja rapat dengan pasukan kempennya dalam usaha memenangi jawatan paling tinggi di Indonesia itu.

Encik Ganjar berikrar untuk kekal rapat dengan para penyokongnya di seluruh negara, komited untuk “terus menjelajah” dari satu tempat ke satu tempat untuk bertemu mereka secara peribadi sehingga Pilihan Raya Presiden yang berlangsung pada 14 Februari.

“Saya akan melawat kampung dan bandar anda untuk mendengar keprihatinan anda dan sekali gus merupakan maklumat berharga dalam membentuk dasar-dasar awam,” ujarnya.

Beliau menggambarkan dirinya sebagai penyokong tegar Presiden Joko Widodo, atau lebih dikenali sebagai Jokowi, yang komited untuk meneruskan program pembangunan semasa di negara terbesar Asia Tenggara itu, termasuk projek mega bagi membangunkan ibu negara baru di Kalimantan Timur.

“Saya percaya anda semua juga penyokong Encik Jokowi. Kita telah menyokong beliau sepanjang perjalanan beliau, daripada dua penggal beliau sebagai datuk bandar, satu penggal sebagai gabenor hinggalah kepada dua penggal sebagai presiden,” kata Encik Ganjar.

Beliau menggesa penyokongnya supaya menggandakan usaha untuk meraih undi popular dan mengingatkan mereka agar tidak memecahbelahkan sokongan dalam kalangan calon lawan.

Encik Ganjar turut menekankan kepentingan mengekalkan wacana yang hormat dan bermaruah dengan pesaing, “tanpa menggunakan penipuan atau kata-kata kotor.”

Walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya Umum membenarkan semua calon mendaftarkan diri sehingga bulan depan, namun PDI-P masih belum mengumumkan pasangan calon Encik Ganjar.

Encik Jokowi telah melantik mantan Pegawai Tinggi Polis, Jeneral Nana Sudjana, sebagai Pemangku Gabenor Jawa Tengah sehingga pemilihan tahun depan.

Baru-baru ini, media Indonesia melaporkan bahawa Encik Ganjar terus mendahului pesaing terdekatnya yang berpotensi untuk Pilihan Raya Presiden.

Firma penyelidikan Saiful Mujani Research and Consulting (SMRC) mendedahkan bahawa sokongan terhadap Encik Ganjar telah melonjak sebanyak 10.4 peratusan mata sejak tinjauan mengenai calon-calon Pilihan Raya Presiden yang dijalankan sejak Mei 2021.

Tinjauan terbaru, yang dijalankan awal bulan ini, mendedahkan bahawa 35.9 peratus responden menyatakan mereka akan mengundi Encik Ganjar dalam pilihan raya melibatkan tiga calon itu.

Setakat ini, Encik Ganjar mendahului 2.3 peratusan mata berbanding pesaing utamanya, Menteri Pertahanan, Encik Prabowo Subianto. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >