PENAJAM PASER UTARA: Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo bermotosikal bersama beberapa pegawai tinggi dan tokoh masyarakat, melalui tol menuju ke Ibu Kota Nusantara (IKN) di Kalimantan Timur.
Encik Jokowi mengetuai rombongan dan di belakangnya ialah Menteri Kerja Raya dan Perumahan Awam, Encik Basuki Hadimuljono dan beberapa tokoh masyarakat termasuk pasangan selebriti Raffi Ahmad dan Nagita Slavina.
Kumpulan pelancongan itu melalui jalan tol ke Nusantara dan Jambatan Pulau Balang, tempat Encik Jokowi melancarkan infrastruktur sokongan pada 28 Julai.
“Kami telah mencuba jalan tol, yang tidak 100 peratus siap; ia lancar dan selesa,” kata Presiden Jokowi.
Sambil bergurau beliau berkata bahawa kumpulan itu terpaksa mengejar Menteri Hadimuljono, yang menunggang terlalu laju di hadapan mereka.
“Kami terpaksa mengejarnya, jika tidak, kami akan tertinggal jauh di belakang,” kata Encik Jokowi.
Beliau mengumumkan bahawa pemerintahnya telah menyelesaikan peraturan untuk menarik lebih ramai pelabur asing di Nusantara.
Beliau berkata terdapat 300 surat hasrat (LoI) daripada pelabur asing untuk pembangunan Nusantara.
Pemerintah kemudian akan mengundang pelabur asing yang berminat untuk meninjau kemajuan pembangunan di Nusantara.
Presiden Jokowi telah menandatangani peraturan presiden yang menyediakan insentif kepada bakal pelabur yang mengambil bahagian dalam perkhidmatan dan kemudahan bangunan di Nusantara.
Encik Jokowi turut menyebut bahawa pemerintah masih mencari calon untuk mengisi jawatan kepimpinan Lembaga Ibu Kota Nusantara (OIKN).
Menteri Kerja Raya dan Perumahan Awam, Encik Basuki Hadimuljono bertindak sebagai ketua OIKN, dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Agraria dan Tata Ruang, Raja Juli Antoni dilantik sebagai pemangku timbalan ketua OIKN.
Beliau turut menegaskan rancangan untuk mula bekerja di IKN bergantung kesediaan kemudahan di pejabatnya termasuk perabot dan kemudahan sokongan lain. Walaupun tarikh ditetapkan untuk hari pertamanya di Nusantara, Encik Jokowi juga menegaskan beliau tidak akan meneruskan jika kehadirannya di IKN akan menjejas proses pembangunan.
Ebcik Jokowi berkata beliau dimaklumkan bekalan air bersih telah disediakan di IKN menjelang hari pertamanya bekerja di lokasi ibu baru itu, seperti yang dilaporkan portal berita Antara.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg