JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo menyatakan beliau tidak akan menghalang anak sulungnya, Encik Gibran Rakabuming Raka, daripada menyertai persaingan sebagai calon naib presiden bersama calon presiden, Encik Prabowo Subianto.
Bercakap kepada pemberita semasa lawatan ke Surabaya pada Ahad, Encik Jokowi menyatakan pendiriannya bahawa anak lelakinya sudah dewasa dan mampu membuat keputusan sendiri.
Sebagai seorang bapa, beliau hanya boleh memberikan restunya.
“Beliau sudah dewasa, jadi saya tidak boleh campur tangan dalam keputusannya,” kata Encik Jokowi mengenai Encik Gibran.
Kenyataan beliau itu dikeluarkan beberapa jam sebelum Menteri Pertahanan Indonesia dan calon presiden, Encik Prabowo mengumumkan anak sulung Encik Jokowi akan bertanding dalam pilihan raya 2024 sebagai calon naib presiden.
Encik Jokowi enggan mengulas perkembangan tersebut dan mencadangkan agar anggota media menujukan soalan mereka kepada parti politik dalam kem Prabowo.
“Pejabat Presiden tidak mempunyai urusan dalam keputusan yang dibuat oleh parti politik seperti Golkar,” kata Encik Jokowi.
Pemilihan Encik Gibran, 36 tahun, yang juga Datuk Bandar Surakarta, dipercayai boleh membantu kempen Encik Prabowo kerana populariti besar Encik Jokowi.
Ini, walaupun ketika kemarahan minggu lalu mengenai keputusan kontroversi mahkamah untuk menukar syarat kelayakan yang akan menghalang Encik Gibran daripada bertanding.
Wujud kemungkinan akan muncul dinasti politik baru selepas Mahkamah Perlembagaan memutuskan bahawa calon presiden atau naib presiden boleh berumur kurang 40 tahun, jika calon berkenaan sudah berkhidmat atau sedang berkhidmat sebagai pemimpin wilayah yang dipilih.
Sebelum ini sekurang-kurangnya tiga nama, termasuk Encik Gibran, disebut-sebut sebagai bakal calon pasangan Encik Prabowo iaitu Menteri Perusahaan Milik Negara, Erick Thohir dan Gabenor Jawa Timur, Cik Khofifah Indar Parawansa, iaitu satu-satunya wanita dalam senarai nama yang dipilih untuk kepimpinan negara.
Selain Encik Prabowo, 72 tahun, persaingan merebut jawatan Presiden Indonesia turut melibatkan mantan gabenor Jawa Tengah, Encik Ganjar Pranowo dan mantan Gabenor Jakarta, Encik Anies Baswedan yang kedua-duanya berusia 54 tahun.
Pada Khamis, Encik Anies dan Encik Ganjar datang ke pejabat Jawatankuasa Pilihan Raya Umum mendaftarkan pencalonan mereka untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden 2024, pada hari pertama pendaftaran dibuka.
Encik Anies berganding dengan Encik Muhaimin Iskandar selaku calon naib presiden manakala pasangan Encik Ganjar ialah Encik Mohammad Mahfud, yang turut mendaftar pada hari berkenaan.
Hanya pada Rabu, Menteri Penyelaras bagi Politik dan Keselamatan, Encik Mahfud, dinamakan sebagai pasangan calon presiden Ganjar, oleh parti yang memerintah, iaitu Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) dan gabungannya.
Pengumuman menamakan Encik Mahfud sebagai calon naib presiden itu dibuat lima tahun selepas percubaan pertamanya.
“Idea utama ialah perubahan yang membawa kesaksamaan dan keadilan. Itulah perubahan yang kami bawa,” kata Encik Anies selepas menyerahkan borang pendaftarannya di pejabat jawatankuasa itu.
Menurut tinjauan terkini Lembaga Survei Indonesia yang dikeluarkan pada Khamis, Encik Ganjar berada di tempat kedua menerusi tinjauan selepas Encik Prabowo, manakala Encik Anies di tempat ketiga.
Tinjauan itu juga menunjukkan bahawa Encik Prabowo memperoleh undian terbanyak, iaitu 38 peratus daripada 1,620 responden, jika beliau digandingkan dengan Encik Erick, manakala dengan Cik Khofifah dan Encik Gibran, hanya 36 peratus. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg