JAKARTA: Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia mula membuka pendaftaran bagi calon presiden yang bertanding pada Pilihan Raya Umum (Pemilu) 2024 dengan tiga calon membabitkan menteri pertahanan negara dan dua bekas gabenor negara itu bersaing untuk menggantikan Presiden Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo selepas hampir sedekad berkuasa.
Sehingga kini, beberapa nama ahli politik terkemuka disebut sebagai pesaing kuat bagi calon presiden dengan persaingan presiden dijangka dikuasai tiga calon – Menteri Pertahanan, Encik Prabowo Subianto, 72 tahun; dan dua mantan gabenor, kedua-duanya berusia 54 tahun, Encik Ganjar Pranowo dan Encik Anies Baswedan, kedua-duanya berusia 54 tahun.
Encik Anies dan Ganjar mendaftarkan diri dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) pada Khamis, hari pertama pendaftaran selama seminggu untuk bertanding dalam pilihan raya 2024.
Encik Anies, mantan Gabenor Jakarta, bersama bakal timbalannya, Pengerusi Partai Kebangkitan Bangsa (PKB), Encik Muhaimin Iskandar, adalah orang pertama yang berbuat demikian selepas tiba dengan menaiki ‘land rover’ putih di ibu pejabat suruhanjaya itu pada 9.35 pagi waktu tempatan.
Mantan Gabenor Jawa Tengah Encik Ganjar dan bakal timbalannya, Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum dan Keamanan, Encik Mohammad Mahfud Mahmodin seterusnya mendaftarkan diri dengan suruhanjaya tersebut.
Encik Prabowo pula belum mendaftarkan diri dan sebelum ini berkata beliau sedang mempertimbangkan empat orang calon sebagai timbalannya. menerima pencalonan daripada parti politiknya, Gerindra. Ini adalah kali ketiga Encik Prabowo bertanding jawatan presiden, selepas beliau tewas kepada Encik Widodo dalam dua pilihan raya lalu.
Mantan komander pasukan khas itu masih belum mengumumkan pasangan naib presidennya, isu yang mendominasi tajuk berita sejak kebelakangan ini di tengah-tengah spekulasi beliau akan disertai oleh anak lelaki Encik Jokowi, Encik Gibran Rakabuming Raka, 36 tahun.
Potensi pencalonan Encik Gibran akan menjadi kontroversi selepas kemarahan minggu ini berhubung keputusan Mahkamah Perlembagaan bahawa umur minimum 40 tahun tidak perlu dikenakan kepada semua calon yang memohon jawatan presiden atau timbalan presiden.
Encik Jokowi sebelum ini berkata beliau tidak mempunyai penglibatan dalam calon presiden, tetapi orang dalam politik berkata pemimpin yang akan keluar itu sedang berusaha untuk mengekalkan pengaruh dan telah secara rahsia mengumpulkan sokongan untuk Encik Prabowo, setelah kelihatan menyokong Encik Ganjar, calon parti Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P).
Parti pimpinan Encik Jokowi, PDI-P, memilih Encik Ganjar, mantan gabenor Jawa Tengah, sebagai pencabar bagi jawatan presiden.
Encik Ganjar sering dibandingkan dengan Encik Jokowi kerana kedua-duanya tidak berasal daripada keluarga elit dan menggambarkan diri mereka sebagai ahli politik berjiwa rakyat.
Encik Ganjar, akan disertai mantan hakim dan Ketua Menteri Keselamatan, Encik Mahfud MD.
Calon ketiga ialah mantan Gabenor Jakarta, Encik Anies yang memperoleh pencalonannya dengan sokongan Parti Demokratik Nasional (Nasdem), dan juga disahkan dua parti lain.
Beliau bergandingan dengan Encik Muhaimin Iskandar, pemimpin terbesar Parti Islam yang mempunyai hubungan dengan pertubuhan Islam seramai 40 juta ahli.
Encik Anies, yang merupakan mantan menteri Kabinet, diterima baik pengundi dan kumpulan Islamik.
Tinjauan pendapat menunjukkan Encik Ganjar bersaing rapat dengan Encik Prabowo, manakala Encik Anies mengekori di belakang mereka.
Calon yang memperoleh undian tertinggi akan mengambil alih jawatan Encik Jokowi selepas dua penggal memegang jawatan, sejak pemilihan pertamanya pada 2014.
Walaupun tempoh kempen rasmi tidak bermula sehingga 28 November, calon presiden dilihat sudah menjelajah ke seluruh negara untuk mendapatkan sokongan pengundi.
Rakyat Indonesia akan menyertai proses demokrasi pada hari yang sama dengan mengundi ahli Parlimen dan pemimpin wilayah.
Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh KPU, jumlah individu yang terdapat dalam Daftar Rasmi Pemilih (DPT) bagi Pemilu 2024 telah mencecah angka 204,807,222 orang.
KPU mencatat bahawa DPT itu merangkumi warganegara Indonesia yang menetap di 38 wilayah di dalam negara, serta mereka yang berada di luar negara.
Daripada jumlah itu, seramai 203,056,748 orang menetap di wilayah Indonesia, manakala 1,750,474 yang lain tersebar di 128 negara di seluruh dunia. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg