Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jokowi serah harapan negara kepada Prabowo sebelum pulang ke Solo

Oct 21, 2024 | 10:44 AM

Mantan presiden Indonesia, Encik Joko  Widodo (tengah, berbaju hitam), bersama isterinya, Cik Iriana (kanan Encik Widodo), disambut ribuan penduduk di kampung halamannya, Solo, Jawa Tengah, pada 20 Oktober.  
Mantan presiden Indonesia, Encik Joko Widodo (tengah, berbaju hitam), bersama isterinya, Cik Iriana (kanan Encik Widodo), disambut ribuan penduduk di kampung halamannya, Solo, Jawa Tengah, pada 20 Oktober.   - Foto AFP

JAKARTA: Mantan presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, menyerahkan harapan dan aspirasi rakyat kepada Encik Prabowo Subianto, yang secara rasmi mengambil alih tampuk kepimpinan negara itu pada 20 Oktober.

Dalam ucapannya di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma, Jakarta Timur pada 20 Oktober, Encik Jokowi mengakui impian dan keinginan 280 juta rakyat Indonesia terlalu besar untuk disempurnakan oleh satu pentadbiran sahaja.

Justeru, beliau meluahkan keyakinannya terhadap Encik Prabowo untuk meneruskan perjuangan memenuhi harapan rakyat.

“Saya serahkan sepenuhnya impian, harapan, dan aspirasi rakyat kepada Presiden Prabowo,” kata Encik Jokowi dalam ucapan ringkas sebelum berlepas ke kampung halamannya di Solo, Jawa Tengah.

Sebelum menaiki pesawat, Encik Jokowi turut mendoakan agar Encik Prabowo dikurniakan kekuatan dan ketabahan untuk memimpin Indonesia dengan cemerlang sepanjang lima tahun akan datang.

Di hadapan media, Encik Jokowi turut menyeru rakyat supaya terus bersatu padu dan bekerjasama membina negara tanpa perpecahan.

Baginya, perpaduan adalah kunci dalam memastikan Indonesia terus berkembang dan maju di bawah kepimpinan baru.

“Harapan saya, rakyat Indonesia akan kekal bersatu dalam segala usaha membangunkan negara kita yang tercinta ini,” katanya.

Peralihan kuasa pada 20 Oktober secara rasmi menandakan berakhirnya sedekad pemerintahan Encik Jokowi sebagai presiden.

Encik Prabowo kini mengambil alih jawatan sebagai Presiden Indonesia, bersama Encik Gibran Rakabuming Raka, anak sulung Encik Jokowi, sebagai Naib Presiden.

Setelah acara angkat sumpah di Jakarta selesai, Encik Jokowi berangkat pulang ke Solo menaiki pesawat Boeing milik Tentera Udara Indonesia.

Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Adi Soemarmo di Solo disambut meriah oleh ribuan penduduk yang sudah menunggu sejak awal.

Encik Jokowi, yang pernah menjadi Datuk Bandar Solo, kini kembali sebagai rakyat biasa, namun sambutan terhadapnya tetap hangat dan penuh penghormatan.

Pihak pentadbir Kota Solo membuat persiapan rapi bagi menyambut kepulangan Encik Jokowi, termasuk mengaturkan majlis tradisional ‘pasrah-tinampi’ sebagai tanda hormat.

Selain itu, kain rentang, papan iklan, dan skrin video turut dipasang di sekitar kota sebagai sebahagian daripada acara tersebut.

Ketua Bahagian Protokol, Komunikasi, dan Pentadbiran Sekretariat Daerah Solo, Cik Sulistyarini, menyatakan majlis sambutan itu merupakan penghormatan terakhir kepada Encik Jokowi sebagai tokoh besar negara yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi.

Sewaktu tiba di Jalan Adi Sucipto pada sekitar 6 petang, Encik Jokowi dan isterinya, Cik Iriana Widodo, disambut meriah oleh ribuan penduduk yang berada di sepanjang jalan.

Rombongan kenderaan bergerak perlahan untuk memberikan peluang kepada penduduk melihat dari dekat pemimpin kesayangan mereka.

Encik Jokowi, yang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV)  tanpa bumbung dan mengenakan pakaian tradisional Betawi yang dipakai ketika perasmian Encik Prabowo di Jakarta, melemparkan senyuman dan melambaikan tangan kepada orang ramai.

Beliau turut melemparkan kemeja-T sebagai cenderamata kepada penyokongnya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg