Indonesia menyaksikan detik bersejarah pada 20 Oktober apabila Encik Prabowo Subianto dilantik sebagai Presiden Indonesia yang kelapan manakala Encik Gibran Rakabuming Raka, anak kepada mantan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo, mengangkat sumpah sebagai Naib Presiden.
Majlis angkat sumpah itu menandakan peralihan kuasa di negara demokrasi ketiga terbesar di dunia, dan ia memberi gambaran jelas tentang masa depan politik dan ekonomi Indonesia di bawah pimpinan Encik Prabowo.
Encik Prabowo, yang pernah mencuba tiga kali untuk menjadi presiden, akhirnya berjaya selepas melalui perjalanan politik yang penuh cabaran.
Kemenangan beliau menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan rakyat dan penganalisis politik mengenai masa depan negara.
Salah satu persoalan terbesar adalah sama ada Presiden Prabowo benar-benar akan meneruskan dasar-dasar Encik Jokowi atau sekiranya janji-janji tersebut hanyalah taktik untuk memenangi undi.
Penganalisis dari Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) di Jakarta, Encik Dominique Nicky Fahrizal, menyatakan walaupun Encik Prabowo mungkin akan melaksanakan beberapa program Encik Jokowi, keutamaannya adalah memperkenalkan program beliau sendiri.
“Prabowo akan mengutamakan program beliau sendiri,” jelas Encik Dominique.
Menurut beliau, dalam tahun pertama pemerintahan, Indonesia mungkin akan melihat lebih banyak kesinambungan daripada program Encik Jokowi kerana Belanjawan telah ditetapkan semasa pentadbiran beliau.
Namun, dalam tempoh seterusnya, Encik Prabowo dijangka mengubah tumpuan kepada agenda peribadi beliau.
Sementara itu, penyelidik di Institut Penyelidikan Lanjutan Universiti Katolik Atma Jaya, Encik Yoes C. Kenawas, melahirkan pandangan bahawa terdapat beberapa dasar yang sukar untuk Encik Prabowo tinggalkan.
Ini seperti projek pemindahan ibu kota Nusantara (IKN) yang dilancarkan Encik Jokowi dan dianggap sebagai projek yang “terlalu besar untuk gagal”.
Jika projek itu gagal, ia akan memberi isyarat negatif kepada pelabur asing bahawa Indonesia tidak tekal dalam pelaksanaan dasar, yang seterusnya boleh merosakkan nama baik negara itu dalam kalangan pelabur asing.
Dari segi dasar luar, Encik Prabowo dijangka mengambil pendekatan lebih proaktif berbanding Encik Jokowi.
Dalam hal ini, Encik Dominique berpendapat bahawa Indonesia akan memainkan peranan lebih besar di rantau ini, terutama dalam isu Laut China Selatan.
“Pendekatan Prabowo dijangka lebih tegas dan berani,” kata Encik Dominique.
Bagaimanapun, sejauh mana Encik Prabowo akan mengubah dasar luar Indonesia bergantung kepada siapa yang akan dilantik sebagai Menteri Luar Negeri.
Jika tokoh diplomat seperti Cik Retno Marsudi dikekalkan, pendekatan Encik Prabowo mungkin kekal sederhana.
Namun, jika jawatan itu dipegang oleh sekutu ideologi Encik Prabowo, dasar luar Indonesia dijangka lebih berani.
Encik Yoes menyatakan bahawa Encik Prabowo berkemungkinan lebih aktif dalam urusan antarabangsa.
“Prabowo kelihatan lebih outward-looking atau berpegang pada dasar melihat ke luar dan aktif dalam hubungan antarabangsa,” kata Encik Yoes.
Bahkan sebelum dilantik secara rasmi, Encik Prabowo telah melawat hampir semua negara rakan utama Indonesia termasuk negara Asean seperti Jepun, China dan Australia.
Encik Dominique berpendapat bahawa Encik Prabowo akan membentuk perkongsian strategik dengan negara jiran, khususnya anggota Asean.
Beliau menekankan bahawa Asean akan diberi keutamaan dalam dasar luar Encik Prabowo, memandangkan kepentingannya dalam memastikan kestabilan serantau.
Dalam konteks yang sama, Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Undang-Undang (Celios), Encik Bhima Yudhistira Adhinegara, menyatakan bahawa “Prabowo mungkin memandang hubungan dengan Singapura sebagai sesuatu yang penting.”
Banyak pihak menaruh harapan bahawa pentadbiran baru ini akan membawa kemajuan dalam pelbagai aspek termasuk memperkukuh demokrasi dan ekonomi.
Walaupun terdapat kebimbangan mengenai perjalanan demokrasi Indonesia, ramai percaya dengan pengalaman luas beliau, Encik Prabowo mampu membimbing negaranya ke arah masa depan yang lebih baik.
Encik Dominique melihat potensi Encik Prabowo untuk meneruskan beberapa dasar Encik Jokowi, terutama pada fasa awal pentadbirannya.
Namun, beliau turut mengingatkan bahawa setiap pemimpin memiliki gaya dan visi tersendiri, dan Encik Prabowo dijangka akan membangunkan agenda yang selaras dengan keperluan masa kini.
Menurutnya, pentadbiran Encik Prabowo berpeluang untuk memperkukuhkan asas yang telah dibina oleh Encik Jokowi, sambil memperkenalkan pendekatan baru yang lebih inovatif.
Encik Yoes pula berpendapat setiap perubahan dalam kepimpinan akan membawa cabaran tersendiri.
Walaupun ada kebimbangan mengenai potensi ‘kemunduran’ demokrasi, beliau percaya bahawa institusi demokrasi di Indonesia cukup kukuh untuk terus berkembang.
“Prabowo mempunyai peluang untuk membuktikan bahawa beliau mampu memperkasa demokrasi dengan lebih inklusif,” kata Encik Yoes.
Dalam hal ini, beliau melihat Encik Prabowo mengajak keterlibatan aktif rakyat dan masyarakat sivil bagi memastikan demokrasi di Indonesia terus maju.
Ekonomi juga merupakan salah satu tumpuan utama pentadbiran Encik Prabowo.
Encik Bhima melihat potensi bagi pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat, terutama dengan strategi lebih tegas dalam menggalakkan pelaburan domestik dan antarabangsa.
Pelantikan Encik Prabowo juga telah menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai arah tuju ekonomi di bawah pentadbirannya.
Salah satu sasaran utamanya ialah untuk mencapai pertumbuhan ekonomi sebanyak 8 peratus terutama dalam tempoh satu hingga tiga tahun pertama kepimpinannya – satu matlamat yang dilihat sebagai mencabar.
“Jika Prabowo meneruskan jalan yang sama seperti Jokowi dengan bergantung kepada sektor ekstraktif atau pengelolaan sumber daya alam.yang hanya menguntungkan segelintir pihak, sukar untuk melihat pertumbuhan jangka panjang yang mampan,” ujar Encik Yoes.
Menurutnya, pelaburan dalam institusi dan sumber manusia adalah prasyarat penting bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang ketara. Tanpa usaha ini, pertumbuhan 8 peratus agak sukar dicapai.
Pada pandangan Encik Bhima, matlamat Encik Prabowo untuk mencapai 8 peratus pertumbuhan ekonomi kelihatan seperti impian besar yang kekurangan sumber manusia yang mencukupi.
Encik Bhima menambah bahawa jika tiada perubahan struktur yang ketara atau usaha untuk menyelamatkan kelas pertengahan, mencapai pertumbuhan 5 peratus pun sudah boleh dianggap sebagai satu pencapaian baik.
Pelantikan Encik Prabowo sebagai Presiden Indonesia yang berlatarbelakangkan ketenteraan turut menimbulkan pelbagai tanggapan mengenai peranan angkatan tentera dan polis dalam pentadbirannya.
Namun, pandangan itu perlu dilihat dalam konteks lebih luas. Pentadbiran yang cekap dan penglibatan semua pihak boleh mewujudkan keseimbangan positif antara keselamatan negara dengan hak asasi.
Walaupun Encik Prabowo memiliki latar belakang ketenteraan, Encik Bhima percaya bahawa pengalaman beliau dalam pemerintah akan membantu mewujudkan keseimbangan antara kepentingan keselamatan dengan ekonomi negara.
Dengan sokongan yang kuat daripada rakyat, cabaran terbesar pentadbiran beliau adalah bagaimana untuk mengekalkan keseimbangan antara kemajuan ekonomi dengan politik sambil memperkukuh asas demokrasi yang telah terbina selama ini.
Ini sesuai dengan kata-kata Encik Prabowo sendiri. “Saya akan menjadi diri saya sendiri dengan ikhlas,” katanya, dipetik portal berita tempatan, MetroTVNews, ketika menjawab soalan moderator dalam sesi pleno di Forum Ekonomi Qatar di Doha pada Mei.
Encik Prabowo, yang juga bekas komander pasukan khas tentera dan mantan Menteri Pertahanan, berkata beliau telah meninggalkan dunia ketenteraan lebih 25 tahun lalu.
“Rakyat saya mesti selamat, bebas daripada kelaparan dan berhak mendapat kehidupan yang lebih baik,” tegas presiden baru Indonesia itu.
Prihatin untuk memastikan rakyat bebas daripada kelaparan, Encik Prabowo seperti dalam kempen pilihan rayanya berjanji untuk ‘menyalakan’ ribuan dapur di seluruh negara dan akan melaksanakan program makanan percuma berjumlah berbilion dolar bermula 2025.
Dalam fasa pertama pelan itu, makanan akan diberikan kepada sekitar 20 juta pelajar mulai Januari dengan kos sebanyak 71 trilion rupiah ($5.9 bilion).
Apabila program makanan percuma itu berjalan pada kapasiti penuh, ia secara tidak langsung dapat menamatkan masalah kekurangan zat makanan di negara itu yang setakat ini mencapai 83 juta penerima, termasuk ibu hamil serta menelan kos sekitar AS$28 bilion ($36.7 bilion).
Berdasarkan data agensi dan mengambil kira enam hari seminggu, jumlah keseluruhan makanan yang dianggarkan di bawah program itu untuk 2025 adalah sebanyak 312,000 tan beras; 546,000 tan daging ayam; atau 4.68 bilion biji telur; 936 juta liter susu; dan 546,000 metrik tan sayur-sayuran.
Di samping itu, rancangan Encik Prabowo untuk menambah saiz Kabinet turut menarik perhatian ramai.
Beliau bercadang untuk menambah 10 kementerian dan agensi baru termasuk Kementerian Perumahan. Ia selari dengan hasrat beliau untuk membina 3 juta rumah baru setiap tahun sebagai salah satu agenda utama pentadbirannya.
Semasa forum ekonomi pada 9 Oktober, Encik Prabowo menekankan keperluan untuk membentuk sebuah pemerintah yang kuat dan bersatu.
Beliau mengakui bahawa saiz Kabinetnya yang besar mungkin akan menerima kritikan, namun menegaskan bahawa kekuatan gabungan itu penting demi kestabilan politik negara.
Namun, langkah itu turut mendapat kritikan sesetengah pihak yang berpendapat penambahan kementerian hanya bertujuan memberikan jawatan kepada ahli politik dari tujuh parti dalam gabungan pemerintah.
Mereka bimbang ia boleh mewujudkan Kabinet yang ‘gemuk’ dan tidak cekap, lebih menjurus kepada kepentingan politik daripada kepentingan rakyat.
Apa yang jelas, Encik Prabowo kini berhadapan cabaran untuk menyeimbangkan keperluan pentadbiran dengan tekanan politik.
Salah satu cabaran terbesar Encik Prabowo adalah mengelak daripada mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh pemerintahan sebelumnya.
Encik Dominique menegaskan bahawa Encik Prabowo perlu memastikan undang-undang tidak digunakan sebagai senjata politik, tetapi sebagai alat untuk memperbaiki struktur negara.
Encik Yoes menambah, tidak seperti Encik Jokowi yang terlalu memberi tumpuan pada angka yang boleh diukur, Encik Prabowo perlu lebih memberi perhatian kepada isu jangka panjang seperti mutu pendidikan dan sumber manusia.
Pelantikan Encik Prabowo menandakan era baru dalam politik negara.
Walaupun terdapat harapan tinggi terhadap kepimpinan beliau, pelbagai cabaran menanti, termasuk mengekalkan kestabilan demokrasi, memperkukuh hubungan antarabangsa serta mengelak daripada pengaruh ketenteraan yang berlebihan.
Seperti yang dinyatakan oleh Encik Bhima, cabaran utama bagi Encik Prabowo adalah bagaimana untuk melindungi kelas menengah dan mengekalkan daya beli rakyat dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi sejagat.
Dalam tempoh beberapa tahun akan datang, pentadbiran Encik Prabowo akan diuji sama ada beliau mampu memenuhi harapan rakyat atau menghadapi cabaran politik yang besar.
Dengan landskap politik Indonesia yang sentiasa berubah, hanya masa yang akan menentukan sejauh mana Encik Prabowo mampu membawa Indonesia ke arah masa depan yang lebih gemilang.
Rancangan pentadbiran baru untuk ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu menunjukkan peralihan daripada jenis projek disukai oleh mantan Presiden Jokowi yang telah tamat tempoh pentadbirannya.
Pembangunan prasarana menjadi keutamaan Encik Jokowi yang membina lebuh raya, landasan kereta api, lapangan terbang dan pelabuhan baru untuk meningkatkan keterhubungan serta memacu pertumbuhan ekonomi.
Sepanjang 10 tahun Encik Jokowi menerajui negara, Indonesia menikmati purata pertumbuhan ekonomi tahunan yang stabil pada kadar 5 peratus yang turut menyaksikan peningkatan pelaburan asing yang kukuh.
Encik Prabowo dijangka meneruskan cita-cita menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2045, daripada kedudukan semasa sebagai negara berpendapatan pertengahan atas.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg