Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jokowi tegaskan pembangunan Nusantara cipta ekonomi baru

Nov 30, 2023 | 1:45 PM
BUMI HIJAU: Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo mahu membangun Ibu Kota Nusantara (IKN) dengan kemampanan persekitaran seperti yang dilakukan di acara penanaman pokok di Jakarta Timur pada 29 November.
BUMI HIJAU: Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo mahu membangun Ibu Kota Nusantara (IKN) dengan kemampanan persekitaran seperti yang dilakukan di acara penanaman pokok di Jakarta Timur pada 29 November. - Foto FACEBOOK JOKO WIDODO

JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo, atau lebih akrab dengan panggilan ‘Jokowi’, menjawab kritikan terhadap pembangunan Ibu Kota Nusantara (IKN) dengan menyatakan semua orang bebas menyatakan kritikan mereka terhadap projek ibu kota baru itu.

“Memang anda bebas menyatakan pendapat, tetapi IKN sendiri sudah disahkan dalam undang-undang,” katanya semasa acara penanaman pokok di Jakarta Timur pada 29 November.

Mengenai dakwaan bahawa IKN telah melahirkan ketidaksamaan, Encik Jokowi berkata pembangunan ibu kota itu sebaliknya dimulakan untuk membuktikan pembangunan prasarana bukan sahaja terikat dengan Pulau Jawa.

“Kami tidak mahu berpaksikan Jawa, sebaliknya berpaksikan Indonesia,” katanya.

Jelas Encik Jokowi, dari 17,000 pulau di Indonesia, 58 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) tertumpu di Pulau Jawa.

Justeru, beliau percaya pembangunan ibu kota baru di Nusantara akan membawa pertumbuhan ekonomi ke pulau-pulau Indonesia yang lain.

Alasan lain yang dibangkitkan bekas gabenor Jakarta itu, adalah mengenai penduduk.

Menurut Encik Jokowi, sekitar 56 peratus penduduk Indonesia terletak di Pulau Jawa. Wilayah lain, katanya, juga memerlukan pembangunan saksama.

“Itulah yang kita sasarkan,” katanya.

Pembangunan saksama, jelasnya lagi, merangkumi kesaksamaan ekonomi dan penduduk. Beliau akui pembangunan Nusantara itu akan mengambil masa yang agak lama.

“Ia adalah (pembangunan) jangka panjang, ia tidak akan selesai dalam masa sehari atau setahun,” ujarnya, dipetik Tempo.

Sementara itu, Timbalan Penguasa Pembiayaan dan Pelaburan IKN, Encik Agung Wicaksono, mengundang bakal pelabur dari Amerika Syarikat untuk menyumbang kepada pembangunan projek IKN itu.

“Indonesia dan Amerika adalah dua negara demokrasi besar yang melaksanakan sistem presiden,” kata Encik Agung dalam satu kenyataan bertulis pada 28 November.

Menurutnya, perkongsian strategik antara kedua-dua negara adalah penting untuk merealisasikan pelaburan mampan di Indonesia.

Semasa diadakan satu acara di New York, pihak berkepentingan perniagaan dan pelaburan dari Indonesia dan Amerika telah mengadakan pertemuan.

“Pameran pelaburan yang diadakan di pantai timur Amerika, di New York dan Washington DC itu, adalah susulan kepada arahan Presiden (Jokowi) semasa beliau berada di pantai barat untuk menghadiri persidangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) di San Francisco,” katanya.

Encik Agung turut berharap siri pertemuan itu dapat menarik pelabur Amerika untuk bekerjasama dan melabur dalam IKN bagi menyokong pembangunannya.

“Kami percaya pelabur Amerika cukup bersemangat untuk bekerjasama dengan pelabur domestik, bagi merealisasikan, contohnya, projek (IKN) yang telah melalui proses pecah tanah yang merupakan kerjasama antara pelabur domestik dengan asing,” tambah Encik Agung.

Pada kesempatan sama, Konsul Indonesia di New York, Encik Winanto Adi, menyatakan kerjasama itu akan mewujudkan kesan kritikal pada dunia. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg