Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jokowi temui Prabowo di Surakarta sebelum peralihan kuasa 20 Okt

Oct 14, 2024 | 10:42 AM
Bakal Presiden, Encik Prabowo Subianto (kanan), bertemu dengan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo, pada 13 Oktober di Surakarta, Jawa Tengah, menjelang peralihan kuasa pada 20 Oktober
Bakal Presiden, Encik Prabowo Subianto (kanan), bertemu dengan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo, pada 13 Oktober di Surakarta, Jawa Tengah, menjelang peralihan kuasa pada 20 Oktober - Foto PASUKAN MEDIA PRABOWO

JAKARTA: Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo menerima kunjungan bakal Presiden, Encik Prabowo Subianto, di kediaman peribadinya di Banjarsari di Surakarta, Jawa Tengah, seminggu sebelum melepaskan jawatan pada 20 Oktober.

Encik Prabowo disambut oleh, Encik Gibran Rakabuming Raka, anak sulung Encik Jokowi yang juga bakal Naib Presiden, di Lapangan Terbang Adi Soemarmo, sebelum dibawa ke kediaman Encik Jokowi pada 13 Oktober, lapor agensi berita Antara.

Pertemuan tersebut, yang merupakan kali kedua dalam masa tujuh hari, tidak didedahkan secara terperinci oleh Encik Prabowo, yang hanya meninggalkan lokasi tanpa memberi sebarang komen mengenai pertemuan atau perbincangan mereka.

Pada 8 Oktober kedua-dua pemimpin bertemu di Jakarta di sebuah restoran dan perbincangan mengenai peralihan kuasa dan kesinambungan program pemerintah telah diadakan.

Walaupun butiran pertemuan itu tidak diumumkan, Setiausaha Negara, Encik Pratikno, mengesahkan bahawa tumpuan utama pertemuan tersebut adalah untuk memastikan “kebersamaan dan kesinambungan” dalam pentadbiran negara yang akan datang.

Pertemuan itu membuktikan hubungan rapat kedua-dua tokoh, dengan Encik Jokowi secara terbuka menyokong pencalonan Encik Prabowo sebagai pengganti, lapor The Jakarta Post.

Pada masa yang sama, jemputan makan tengah hari oleh Encik Jokowi kepada Encik Prabowo ketika di Boyolali turut menambah spekulasi mengenai rundingan peralihan kuasa yang licin dan teratur.

Ketua Parti Gerindra Surakarta, Encik Ardianto Kuswinarno, menyatakan bahawa Encik Prabowo secara khusus meminta supaya ahli parti tidak mengiringinya dalam pertemuan itu, menunjukkan bahawa perbincangan antara mereka adalah dalam suasana yang lebih peribadi dan tertutup.

Selain daripada pertemuan rasmi, Encik Jokowi juga mengambil peluang mengimbau kenangan di Surakarta.

Pada 12 Oktober, beliau mengunjungi sekolah rendah, dan sekolah menengah yang pernah dihadirinya.

Beliau dilaporkan turut menghadiri pertemuan semula bersama bekas rakan-rakan sekolah lama.

Surakarta mempunyai tempat yang istimewa di hati Encik Jokowi kerana di situlah beliau memulakan kerjaya politiknya sebagai Wali Kota pada 2005, sebelum akhirnya dilantik sebagai Gabenor Jakarta dan seterusnya dua kali terpilih sebagai Presiden Indonesia.

Encik Jokowi sebelum ini telah menyatakan hasrat untuk bersara daripada dunia politik selepas menamatkan tempoh jawatannya, namun wujud spekulasi beliau mungkin dilantik sebagai penasihat dalam pentadbiran baru Prabowo-Gibran.

Bagaimanapun, Encik Jokowi menekankan bahawa beliau akan kembali menetap di Surakarta selepas bersara.

Pada 11 Oktober, beliau menyatakan bahawa kira-kira 70 peratus daripada barang-barang peribadinya telah dipindahkan dari Istana Bogor ke kediamannya di Surakarta.

Penghijrahan rasmi ini turut disertai dengan pemindahan status kediamannya, langkah yang perlu sebelum beliau boleh kembali sepenuhnya ke Surakarta sebagai warganegara biasa.

Walaupun tempoh jawatannya akan berakhir, legasi Encik Jokowi terutama dalam projek mega pemindahan Ibu Kota Nusantara (IKN) di Kalimantan Timur akan terus menjadi tanda penting dalam sejarah kepimpinannya.

Sebelum kunjungannya ke Surakarta, Encik Jokowi berada di Nusantara bagi merasmikan Istana Negara, salah satu daripada dua istana presiden yang sedang dibangunkan di IKN.

Istana Garuda yang masih dalam peringkat akhir pembinaan dijangka siap dalam sebulan lagi, dan kata Encik Jokowi, ia akan dirasmikan oleh Encik Prabowo selepas beliau mengambil alih jawatan.

Dalam kenyataannya, Encik Jokowi menegaskan bahawa projek pemindahan ibu negara ini adalah legasi terbesar pentadbirannya, dan beliau yakin bahawa pentadbiran Encik Prabowo akan meneruskan pelan tersebut dengan lancar.

Encik Jokowi juga mengesahkan bahawa beliau akan terus melawat Nusantara walaupun selepas bersara, sebagai tanda sokongan berterusan kepada projek itu.

Meskipun beliau tidak lagi berada dalam tampuk kepimpinan, pengaruh dan sumbangannya terhadap pembinaan ibu kota baru itu dijangka akan meninggalkan kesan yang berkekalan dalam pembangunan Indonesia di masa depan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg