AMMAN: Jordan melancarkan serangan udara terhadap beberapa kawasan di selatan Syria pada 26 Oktober sebagai tindakan balas terhadap serangan bersenjata di sebuah gereja di bandar Karak yang mengorbankan sembilan orang minggu lalu.

Bagaimanapun, serangan tersebut mencetuskan ketegangan antara kedua-dua negara selepas pemerintah Syria melaporkan sekurang-kurangnya tujuh orang awam terbunuh, termasuk tiga kanak-kanak dan seorang wanita.

Tentera Jordan dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pesawat pejuangnya menyasarkan tempat persembunyian kumpulan bersenjata di tenggara Syria yang didakwa mempunyai kaitan dengan serangan terhadap gereja Ortodoks Greek di Karak pada 23 Oktober.

Menurut tentera Jordan, operasi itu menyebabkan ramai anggota kumpulan yang disifatkannya sebagai pengganas terbunuh atau cedera, selain beberapa kenderaan mereka dimusnahkan.

Bagaimanapun, pihak tentera tidak mengenal pasti kumpulan yang menjadi sasaran atau menjelaskan kaitannya dengan serangan gereja tersebut.

Jordan turut mendakwa operasi ketenteraan itu dilaksanakan dengan penyelarasan pemerintah Syria.

Namun, Damsyik menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa serangan udara berkenaan dilakukan tanpa sebarang pemberitahuan atau persetujuan terlebih dahulu.

Pemerintah Syria menyatakan bahawa siasatan telah dimulakan bagi mengenal pasti keadaan sebenar serangan itu, sambil menekankan pentingnya kerjasama keselamatan di kawasan sempadan.

Seorang pegawai Kementerian Luar Syria menyifatkan tindakan Jordan sebagai serangan khianat yang mencabuli kedaulatan negaranya.

Menurut Perkhidmatan Pertahanan Awam Syria, sekurang-kurangnya empat lokasi di kawasan luar bandar wilayah Daraa dan Suweyda menjadi sasaran serangan udara pada petang 26 Oktober.

Di kampung Al-Tai, Daraa, lima anggota sebuah keluarga, termasuk seorang lelaki, seorang wanita dan tiga kanak-kanak, terbunuh apabila sebuah khemah yang mereka diami terkena serangan.

Tiga lagi anggota keluarga tersebut, termasuk seorang kanak-kanak, mengalami kecederaan.

Serangan kedua di Al-Shayyah, juga di Daraa, mengorbankan seorang lelaki berusia 80 tahun.

Sebuah bangunan kediaman di Muzayrib turut menjadi sasaran, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Di Shahba, wilayah Suweyda, seorang lelaki berusia 60 tahun terbunuh apabila sebuah bangunan kediaman terkena serangan udara.

Susulan kejadian itu, pihak berkuasa Syria mengarahkan penutupan lintasan sempadan Nassib dengan Jordan, sekali gus menghentikan pergerakan penumpang dan barangan perdagangan dalam kedua-dua arah.

Nassib merupakan satu-satunya lintasan sempadan yang digunakan bagi perjalanan penumpang dan perdagangan antara Jordan dengan Syria.

Serangan udara itu berlaku beberapa jam selepas pasukan keselamatan Jordan menahan tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam serangan terhadap gereja Ortodoks Greek di Karak.

Ketiga-tiga suspek ditahan selepas berbalas tembakan dengan pihak berkuasa selama kira-kira tiga jam di kampung Al-Jadeeda, selatan Amman.

Mereka mengalami kecederaan serius sebelum berjaya diberkas.

Pengarah Keselamatan Awam Jordan mengenal pasti suspek sebagai dua beradik, Hazzah Zaidan Mohammad dan Mishal Zaidan Mohammad, serta abang ipar mereka, Ahmad Sami Hussein.

Ketiga-tiganya merupakan warga Jordan.

Ketua agensi itu, Mejar Jeneral Obaidallah Abd Rabbo Al-Maayta, menyifatkan suspek sebagai individu yang berpegang kepada fahaman pelampau, namun menegaskan mereka tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas terancang.

Menurut beliau, sejumlah besar senjata dan peluru turut ditemukan di sebuah rumah terbiar yang digunakan suspek sebagai tempat persembunyian.

Menteri Dalam Negeri Jordan, Encik Mazen al-Faraya, berkata serangan gereja tersebut berpunca daripada fahaman ekstremis yang boleh mengancam keselamatan dan perpaduan masyarakat.

Beliau memberi amaran bahawa keganasan serupa mungkin berulang sekiranya fahaman tersebut tidak ditangani.

Serangan di gereja Karak berlaku ketika upacara pengebumian pada 23 Oktober, apabila tiga lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang sedang berkabung.

Kejadian itu mengorbankan sembilan orang dan mencederakan puluhan yang lain, sekali gus mengejutkan masyarakat Jordan yang mempunyai penduduk Kristian minoriti.

Karak terletak kira-kira 90 kilometer ke selatan Amman.

Masyarakat Kristian di Jordan dianggarkan berjumlah 300,000 orang daripada keseluruhan 11.5 juta penduduk negara tersebut.

Susulan tragedi itu, Jordan mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari bagi memperingati mangsa.

Raja Abdullah II mengarahkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab serta mengkaji semula langkah keselamatan negara.

Beliau menegaskan bahawa tiada individu yang menyebarkan fahaman ekstremis atau cuba memecahbelahkan rakyat Jordan akan terlepas daripada hukuman.

“Kami telah berikrar bahawa pengganas tidak akan terlepas daripada hukuman, dan tiada penyokong fahaman gelap yang memecahbelahkan rakyat Jordan akan dibiarkan,” kata beliau.

Sementara itu, keluarga mangsa menyambut baik penangkapan tiga suspek berkenaan, meskipun masih berduka atas kehilangan orang tersayang.

Encik Khaled al-Borqan, yang terselamat dalam serangan itu tetapi kehilangan tiga anggota keluarganya, berkata perkembangan tersebut sedikit sebanyak meredakan kesedihan mereka.

Seorang lagi mangsa yang terselamat, Encik Fares Halaseh, berkata berita penangkapan suspek membawa sedikit kelegaan kepada keluarga mangsa.

Namun, beliau mengakui penderitaan akibat tragedi itu akan terus dirasai untuk tempoh yang panjang.

“Kami tidak akan melupakan penderitaan ini untuk bertahun-tahun akan datang,” katanya. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti