WASHINGTON: Amerika Syarikat pada 14 Januari telah menetapkan kumpulan Ikhwanul Muslimin di Mesir, Lebanon dan Jordan sebagai organisasi pengganas, memenuhi permintaan lama sekutu Arab dan golongan konservatif Amerika.
Ditubuhkan pada 1928 di Mesir, gerakan itu pernah berkembang ke seluruh dunia Islam, tetapi disekat di bawah tekanan daripada kuasa-kuasa besar Arab.
“Penetapan ini mencerminkan tindakan berterusan untuk menggagalkan pengganasan dan ketidakstabilan cawangan Ikhwanul Muslimin di mana sahaja ia berlaku,” kata Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, dalam satu kenyataan.
Setiausaha Perbendaharaan, Encik Scott Bessent, pula berkata Ikhwanul Muslimin “mempunyai rekod lama dalam mengekalkan tindakan pengganasan, dan kami sedang berusaha secara agresif untuk memutuskannya daripada sistem kewangan”.
Penetapan itu bermakna Amerika boleh menyekat sebarang aset yang dimiliki oleh Ikhwanul Muslimin dalam ekonomi terbesar dunia, menjadikan transaksi dengan anggotanya sebagai jenayah dan menghalang pergerakan mereka ke negara lain.
Ikhwanul Muslimin Mesir dalam satu kenyataan menerusi media sosial berikrar untuk mencari saluran perundangan untuk mencabar keputusan itu, dengan menyatakan ia menentang keganasan dan tidak pernah mengancam Amerika.
“Penentuan ini terpisah daripada realiti dan tidak disokong oleh bukti. Ia adalah hasil daripada tekanan asing ke atas Amerika, terutamanya daripada Amiriah Arab Bersatu dan Israel, untuk menerima pakai dasar yang memenuhi agenda luaran dan bukannya kepentingan rakyat Amerika,” tambahnya.
Mesir serta sekutu Amerika seperti Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) telah lama berusaha untuk menindas Ikhwanul Muslimin yang visinya menyeru penciptaan khilafah Islam rentas sempadan.
Pergerakan ini mengisi tampuk kuasa secara demokratik di Mesir, asalnya melalui pilihan raya yang dimenangi Encik Mohamed Morsi pada 2012 berikutan penggulingan pemimpin lama Encik Hosni Mubarak.
Dalam zaman pemerintahan Encik Hosni, Ikhwanul Muslimin telah diharamkan meskipun beberapa aktivitinya dibenarkan termasuk rangkaian perkhidmatan sosial.
Encik Morsi digulingkan setahun kemudian dalam rampasan kuasa oleh ketua tentera ketika itu, Encik Abdel Fattah al-Sisi, yang sejak itu telah mengambil tindakan keras terhadap Ikhwanul Muslimin.
Kementerian Luar Mesir memuji keputusan Amerika, yang dimulakan oleh Presiden Donald Trump pada November sebagai mencerminkan “bahaya kumpulan ini dan ideologi ekstremisnya serta ancaman langsung yang ditimbulkannya terhadap keselamatan dan kestabilan serantau dan antarabangsa.”
Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, bagaimanapun dikatakan mempunyai pertalian ideologi yang mendalam dan lama dengan Ikhwanul Muslimin. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg