JAKARTA: Penjualan haiwan korban di Jakarta mula menjadi semakin rancak menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha 1447 Hijrah, dengan kambing muncul sebagai haiwan paling mendapat permintaan dalam kalangan pembeli.

Kegiatan jual beli dapat dilihat di beberapa kawasan utama termasuk Tanah Abang, Ciracas, Pademangan dan Srengseng apabila orang ramai mula membuat persiapan untuk ibadah korban.

Peniaga berkata tempahan diterima lebih awal berbanding pada 2025, termasuk daripada individu, syarikat, masyarakat dan pertubuhan sosial sejak awal Mei.

Staf Khas Gabenor Jakarta bagi Komunikasi Sosial, Encik Chico Hakim, berkata trend jualan haiwan korban 2026 menunjukkan peningkatan positif di kebanyakan gerai di ibu kota Indonesia itu.

“Menjelang Aidiladha 2026, jualan haiwan korban di Jakarta menunjukkan peningkatan dan suasana yang agak sibuk di banyak gerai walaupun terdapat sedikit perbezaan di beberapa lokasi,” katanya kepada wartawan.

Menurut beliau, sambutan pembeli mula dirasai sejak awal Mei dan sebahagian besar bekalan di beberapa kawasan sudah ditempah lebih awal.

“Ramai peniaga melaporkan peningkatan minat pembeli berbanding tempoh sama tahun lalu (2025).

“Di beberapa gerai di Jakarta Selatan dan kawasan seperti Srengseng, lebih 50 peratus stok sudah ditempah atau terjual sejak awal Mei,” katanya.

Menurut Encik Chico Hakim, kambing menjadi haiwan korban paling cepat terjual di pasaran pada 2026.

Beliau berkata trend itu didorong oleh harga kambing yang lebih mampu dimiliki berbanding lembu, selain sesuai untuk korban individu atau keluarga kecil.

“Ada laporan bahawa kambing mendapat permintaan tinggi, manakala jualan lembu sedikit terjejas akibat kenaikan harga,” katanya.

Peniaga di beberapa kawasan turut mengakui harga lembu meningkat pada 2026 disebabkan kos makanan ternakan dan pengangkutan yang lebih tinggi.

Namun begitu, mereka berkata permintaan keseluruhan masih stabil kerana Aidiladha tetap dianggap ibadah penting oleh masyarakat Islam di Indonesia.

Walaupun harga ternakan meningkat, pemerintah Jakarta melihat pasaran haiwan korban di ibu kota masih lebih kukuh berbanding beberapa kawasan penampan di sekitar Jabodetabek (Jakarta, Bogor, Depok, Tangerang, Bekasi).

Menurut Encik Chico Hakim, keadaan itu berbeza dengan Bekasi yang dilaporkan mengalami penurunan jualan akibat kenaikan harga makanan ternakan dan penurunan kuasa beli masyarakat.

Beliau berkata ekonomi Jakarta yang lebih aktif membantu mengekalkan permintaan terhadap haiwan korban walaupun kos sara hidup meningkat.

Pemerhati ekonomi tempatan pula berpendapat tradisi korban di Indonesia masih mempunyai nilai sosial dan keagamaan yang sangat kuat, menyebabkan ramai masyarakat tetap berusaha membeli haiwan korban setiap tahun.

Dalam masa sama, pemerintah memberi jaminan bahawa bekalan haiwan korban mencukupi sehingga Aidiladha nanti.

Berdasarkan data Kementerian Pertanian Indonesia, potensi bekalan haiwan korban di seluruh negara mencecah 3.24 juta ekor, manakala keperluan dianggarkan sekitar 2.35 juta ekor.

Ini bermakna terdapat lebihan hampir 891,000 ekor untuk memenuhi permintaan sempena Aidiladha kali ini.

“Keperluan tahun ini (2026) meningkat sekitar 3.82 peratus berbanding 2025, tetapi bekalan masih selamat dan terkawal,” kata Encik Chico Hakim.

Pemerintah Provinsi Jakarta melalui Jabatan Ketahanan Makanan, Kelautan dan Pertanian (KPKP) turut terus bekerjasama dengan kawasan pembekal bagi memastikan pengedaran haiwan korban berjalan lancar.

Langkah itu termasuk memantau pergerakan ternakan yang masuk ke Jakarta bagi mengelakkan gangguan bekalan menjelang sambutan Aidiladha.

Menurut Encik Chico Hakim, beberapa gerai mula mengalami kekurangan bekalan akibat tempahan awal, namun, keadaan keseluruhan masih terkawal.

“Stok di beberapa gerai mula berkurangan kerana tempahan awal, tetapi secara keseluruhan bekalan masih mencukupi untuk memenuhi permintaan penduduk Jakarta,” katanya.

Encik Chico Hakim turut memberi jaminan tiada kebimbangan mengenai kekurangan haiwan korban di ibu kota menjelang sambutan Aidiladha pada 27 Mei. – Agensi berita.