LOS ANGELES: Anggota juri di California pada 12 Disember menganugerahkan AS$40 juta ($51.6 juta) kepada dua wanita yang mendakwa bedak bayi Johnson & Johnson (J&J) menjadi punca barah ovari mereka.
Juri di Mahkamah Tinggi Los Angeles memberikan AS$18 juta kepada Cik Monica Kent dan AS$22 juta kepada Cik Deborah Schultz serta suaminya, selepas mendapati (J&J) telah lama mengetahui bahaya produk berasaskan talkum tetapi gagal memberi amaran kepada pengguna.
Encik Erik Haas, naib presiden litigasi J&J sedunia, berkata syarikat itu akan “segera membuat rayuan dan menjangka untuk menang seperti biasa dalam keputusan negatif yang luar biasa”.
Jurucakap pihak penuntut tidak segera memberi ulasan.
Menurut rekod mahkamah, Cik Kent disahkan menghidap barah ovari pada 2014, manakala Cik Schultz pada 2018.
Kededuanya dari California dan berkata mereka menggunakan bedak bayi J&J setiap kali selepas mandi selama 40 tahun.
Rawatan mereka melibatkan pembedahan utama dan puluhan pusingan kemoterapi, menurut keterangan mereka di mahkamah.
Dalam hujah penutup, peguam Encik Andy Birchfield memberitahu juri J&J sudah mengetahui sejak 1960-an produk tersebut boleh menyebabkan barah tetapi memilih untuk menyembunyikan risikonya.
“Mereka tahu, dan mereka berusaha menutupinya – menimbus kebenaran tentang bahayanya,” katanya.
Peguam J&J, Cik Allison Brown, berhujah satu-satunya pihak yang menghubungkan barah wanita itu dengan talkum ialah peguam mereka sendiri, kerana tiada bukti kukuh atau sokongan daripada pihak berkuasa kesihatan utama di Amerika Syarikat.
Beliau menegaskan tiada kajian menunjukkan talkum boleh bergerak dari kulit ke organ reproduktif.
“Mereka tiada bukti, dan mereka berharap anda abaikan kekurangan itu,” katanya kepada juri.
Menurut pemfailan mahkamah, J&J kini berdepan lebih 67,000 penuntut yang mendakwa mereka menghidap barah selepas menggunakan bedak bayi dan produk talkum syarikat itu.
J&J menegaskan produk mereka selamat, tidak mengandungi asbestos dan tidak menyebabkan barah.
Pada 2020, syarikat itu menghentikan jualan bedak bayi berasaskan talkum di Amerika dan beralih kepada formula kanji jagung.
J&J turut beberapa kali cuba menyelesaikan litigasi melalui prosiding muflis, namun ditolak tiga kali oleh mahkamah persekutuan.
Prosiding muflis itu telah menangguhkan kebanyakan kes.
Kes Cik Brown dan Cik Kent adalah yang pertama dibicarakan sejak percubaan terbaru di bawah Bab 11 itu diketepikan.
Sebelum itu, J&J mencatat keputusan bercampur dalam perbicaraan talkum, termasuk satu keputusan AS$4.69 bilion kepada wanita yang mendakwa bedak bayi menyebabkan barah ovari mereka, selain beberapa kemenangan dan pengurangan keputusan ketika rayuan.
Kes berkaitan mesothelioma – barah yang jarang berlaku tetapi membawa maut – membentuk sebahagian kecil tuntutan, namun perbicaraan terus berjalan.
Mesothelioma menjejaskan mesotelium, iaitu lapisan pelindung nipis yang melapisi beberapa organ dalaman.
Dalam tempoh setahun lalu, J&J menerima beberapa keputusan besar, termasuk satu kes melebihi AS$900 juta di Los Angeles pada Oktober. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg