Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Jururawat Britain didapati bersalah bunuh tujuh bayi

Aug 19, 2023 | 12:53 PM



LONDON: Seorang jururawat Britain didapati bersalah membunuh tujuh bayi baru lahir dan cuba membunuh enam yang lain di hospital tempat dia bekerja, menjadi pembunuh kanak-kanak paling prolifik di United Kingdom.


Lucy Letby, 33 tahun, dibicarakan sejak Oktober 2022 atas tuduhan sama ada menyuntik mangsa sakit atau pramatang dengan udara, memberi mereka susu berlebihan atau meracuni mereka dengan insulin.

Keluarga mangsa berkata dalam satu kenyataan bersama yang dibacakan di luar Mahkamah Crown Manchester di utara England: “Keadilan telah dilaksana.”

Namun mereka memberi amaran: “Keadilan ini tidak akan menghilangkan rasa sakit, kemarahan dan kesusahan melampau yang kita semua alami.”

Juri berbincang selama 22 hari, mengemukakan keputusan bersalah pertama mereka pada 8 Ogos, yang tidak dapat dilaporkan hingga 18 Ogos kerana perintah mahkamah.

Letby menahan air mata di kandang tertuduh selepas keputusan awal dibacakan. Dia tidak berada di mahkamah pada 18 Ogos untuk mendengar keputusan akhir juri.

Juri membebaskannya daripada dua pertuduhan dan tidak dapat membuat keputusan bagi enam tuduhan lain.

Pendakwa raya meminta 28 hari untuk menimbangkan sama ada hendak merayu bagi perbicaraan semula bagi tuduhan tersebut.

Letby akan dijatuhkan hukuman pada 21 Ogos, dan dilaporkan memberitahu peguamnya bahawa dia tidak akan hadir di mahkamah untuk mendengar nasibnya.

Dia berdepan prospek tidak akan dibebaskan dari penjara.

Jururawat itu ditangkap berikutan beberapa kematian di unit neonatal Hospital Countess of Chester, di barat laut England, antara Jun 2015 dengan Jun 2016.

Disifatkan oleh pihak pendakwaan sebagai wanita licik, dia menggunakan kaedah pembunuhan yang “tidak meninggalkan banyak kesan”.

“Berkali-kali dia mencederakan bayi-bayi dalam persekitaran yang sepatutnya selamat untuk mereka dan keluarga mereka,” kata Pendakwa Raya Kanan, Cik Pascale Jones, sambil menyifatkan pembunuhan itu sebagai pengkhianatan sepenuhnya Letby terhadap kepercayaan yang diberikan kepadanya.

Mahkamah diberitahu bahawa rakan sekerja menimbulkan kebimbangan selepas menyedari Letby bekerja setiap kali bayi mula tidak sihat, dengan beberapa bayi baru lahir sakit sebaik sahaja ibu bapa mereka meninggalkan katil mereka.

Pihak pendakwaan berkata Letby memberitahu rakan sekerjanya supaya percaya bahawa rentetan kematian itu hanya satu nasib malang.

Mangsa terakhir Letby ialah dua bayi lelaki daripada kembar tiga, yang dirujuk di mahkamah sebagai bayi O dan P. Bayi O meninggal dunia sejurus selepas Letby pulang daripada bercuti di Ibiza pada Jun 2016, manakala bayi P meninggal dunia sehari selepas itu.

Letby juga dikatakan “menyerang” seorang lagi bayi lelaki, kanak-kanak Q, tidak lama selepas itu, namun juri tidak dapat membuat keputusan berhubung tuduhan itu.

Pendakwa raya berkata pada masa itu Letby berada dalam keadaan di luar kawalan, sambil menambah bahawa dia sebenarnya “berlagak” Tuhan.

Letby ditangkap dan dibebaskan dua kali. Pada penangkapan ketiganya pada 2020, dia secara rasmi didakwa dan ditahan.

Semasa pencarian di rumahnya, polis menemui kertas kerja hospital dan nota tulisan tangan Letby yang tertera: “Saya jahat, saya melakukan ini.”

Letby kemudian cuba menjelaskan nota itu dengan mengatakan dia menulisnya selepas diminta melakukan tugas perkeranian berikutan kematian dua bayi kembar tiga itu.

Peguam bela, Encik Ben Myers, memberitahu mahkamah Letby seorang yang rajin, sangat komited dan mencintai kerjanya.

Letby juga mendakwa ada “geng empat doktor kanan” yang menyalahkannya berikutan kegagalan hospital kerana kematian semua bayi itu.

Polis sedang menyiasat tempoh Letby bekerja di tempat kerja lamanya di Countess of Chester dan di Hospital Wanita Liverpool, dengan menyaring lebih 4,000 kemasukan unit neonatal antara 2012 dengan 2016. – AFP.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >