Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemberontak Papua dakwa bunuh lebih 17 orang

Apr 10, 2025 | 1:16 PM
Jurucakap pemberontak Papua, Sebby Sambom, dalam kenyataan pada 10 April berkata pemberontak membunuh lebih daripada 17 orang sejak Ahad 6 April lalu dan mendakwa individu berkenaan adalah anggota tentera yang menyamar sebagai pelombong emas.
Jurucakap pemberontak Papua, Sebby Sambom, dalam kenyataan pada 10 April berkata pemberontak membunuh lebih daripada 17 orang sejak Ahad 6 April lalu dan mendakwa individu berkenaan adalah anggota tentera yang menyamar sebagai pelombong emas. - Foto Tangkap skrin video Instagram

JAKARTA: Kumpulan pemberontak di wilayah Papua, Indonesia, mendakwa telah membunuh lebih 17 orang sejak hujung minggu lalu dalam satu serangan di daerah Yahukimo, selepas mendakwa mangsa adalah anggota tentera Indonesia yang menyamar sebagai pelombong emas.

Jurucakap pemberontak Papua, Encik Sebby Sambom dalam satu kenyataan pada 10 April berkata, serangan itu berlaku sejak 6 April dan lima lagi mangsa dibunuh pada 9 April.
“Kami bunuh mereka kerana mereka adalah tentera Indonesia yang menyamar sebagai pelombong emas. Jika tentera Indonesia mahu mengejar kami, sila datang ke bandar Dekai. Kami ada di bandar itu,” kata Encik Sebby merujuk kepada kawasan kejadian di daerah Yahukimo.

Ketegangan di Papua bukan perkara baru. Wilayah yang kaya dengan hasil bumi itu telah menjadi medan konflik berpanjangan antara pasukan keselamatan Indonesia dan kumpulan pemberontak yang menuntut kemerdekaan sejak Papua disatukan secara rasmi ke dalam Indonesia menerusi undian yang dipantau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1969.

Ketua Pasukan Damai Polis di Papua, Komander Faizal Ramadhani, mengesahkan kepada Reuters bahawa serangan pemberontak itu berlaku. Bagaimanapun, katanya polis masih belum dapat mengesahkan jumlah kematian kerana anggota keselamatan masih dalam perjalanan ke lokasi kejadian.

Sementara itu, jurucakap tentera Indonesia pula menafikan bahawa mangsa yang dibunuh adalah anggota tentera. Menurut laporan agensi berita Antara, tentera menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak benar dan satu rekaan.

Dalam kenyataan berasingan, pihak polis memaklumkan seramai 35 orang awam di kawasan terlibat telah dipindahkan ke daerah lain bagi tujuan keselamatan. Namun, polis turut memaklumkan bahawa dua orang penduduk tempatan masih dipercayai dijadikan tebusan oleh kumpulan pemberontak.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kumpulan pemberontak di Papua dilihat semakin berani dan berjaya mendapatkan senjata api yang lebih canggih. Senjata itu diperoleh menerusi serbuan ke atas pos tentera atau dibeli dari pasaran gelap.

Malah, pemberontak di Papua juga pernah menculik warga asing, termasuk seorang juruterbang dari New Zealand yang ditahan selama 19 bulan sebelum dibebaskan tahun lalu.
“Kami tidak akan berhenti berjuang selagi Papua tidak merdeka. Ini tanah kami, dan kami hanya pertahankan hak kami,” tegas Encik Sebby dalam kenyataannya. - Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg