Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Justin Trudeau dan Katy Perry makan malam bersama di Montreal cetus spekulasi

Jul 30, 2025 | 5:07 PM
Foto Fail: Perdana Menteri Canada, Justin Trudeau, menghantar mesej video kepada anak lelakinya pada 15 November 2018 yang memaparkan plak peringatan moyang sebelah ibunya, Esther Farquhar Bernard, di Taman Fort Canning, Singapura. Esther merupakan anak kepada Mejar-Jeneral William Farquhar, Residen British dan Komandan pertama Singapura, dan Antoinette “Nonio” Clement, seorang wanita Melaka yang berketurunan Perancis-Melayu.
Foto Fail: Perdana Menteri Canada, Justin Trudeau, menghantar mesej video kepada anak lelakinya pada 15 November 2018 yang memaparkan plak peringatan moyang sebelah ibunya, Esther Farquhar Bernard, di Taman Fort Canning, Singapura. Esther merupakan anak kepada Mejar-Jeneral William Farquhar, Residen British dan Komandan pertama Singapura, dan Antoinette “Nonio” Clement, seorang wanita Melaka yang berketurunan Perancis-Melayu. - Foto The Straits Times

MONTREAL: Seorang penyanyi pop terkenal yang baru berpisah dan seorang bekas perdana menteri Canada dilihat menikmati makan malam bersama di sebuah restoran mewah di Montreal, sekali gus mencetuskan kegemparan di media sosial dan tabloid hiburan.

Penyanyi Amerika Syarikat, Katy Perry, dan bekas Perdana Menteri Canada, Encik Justin Trudeau, dilaporkan menjamu selera bersama di restoran Le Violon pada malam 28 Julai lalu, menurut laporan akhbar The New York Times. Restoran berkenaan terkenal dengan menu berasaskan makanan laut dan telah tersenarai dalam Panduan Michelin.

“Kami sahkan mereka ada tempahan di sini, tetapi tidak dapat mendedahkan siapa yang menempahnya,” kata Encik Danny Smiles, pemilik bersama dan ketua cef Le Violon. “Kami tak boleh sahkan sama ada ia janji temu, tetapi yang pasti mereka kelihatan ceria dan mesra.”

Portal hiburan terkenal TMZ turut melaporkan kehadiran Perry dan Trudeau di restoran tersebut, dan menerbitkan gambar mereka bersama termasuk ketika berjalan dan kemudian menikmati minuman di sebuah bar.

Katy Perry ketika ini sedang berada di Canada sempena konsert jelajah dunianya, “The Lifetimes Tour”, yang melibatkan lapan persembahan di negara itu. Beliau dijadualkan membuat persembahan di Ottawa pada malam 29 Julai; Montreal pada 30 Julai dan Quebec City pada 1 Ogos.

Menurut restoran tersebut, kedua-dua Perry dan Encik Trudeau memilih “chef’s tasting menu”, termasuk hidangan tuna dan tomato, tartare daging lembu, lobster dan asparagus, gnocchi, serta kambing.

Encik Danny Smiles turut berkata beliau sempat menyapa pasangan tersebut semasa makan malam.
“Saya pernah jumpa Trudeau sebelum ini, jadi perbualan kami sangat mesra,” katanya. “Malah mereka datang ke dapur untuk ucap terima kasih secara peribadi kepada staf sebelum beredar.”

Perry, 40 tahun, terkenal dengan lagu hit seperti Teenage Dream, Roar dan Firework, serta penampilannya yang berani. Beliau juga pernah menjadi juri rancangan American Idol dan mengejutkan dunia hiburan apabila menyertai misi angkasa singkat bersama Blue Origin pada April lalu.

Dari sudut politik, Perry dikenali sebagai penyokong liberal tegar dan pernah berkempen untuk Cik Hillary Clinton dan Cik Kamala Harris. Beliau turut membuat persembahan pada malam terakhir sebelum pilihan raya presiden 2024 di Pittsburgh untuk menyokong Cik Harris, meskipun calon Demokrat itu tewas kepada Encik Donald Trump.

Justin Trudeau, 53 tahun, pula berundur daripada jawatan Perdana Menteri Canada pada Mac lalu selepas hampir sedekad mentadbir negara. Perletakan jawatannya berlaku selepas sokongan rakyat Canada terhadap pentadbirannya merosot.

Encik Trudeau terkenal kerana lantang menyuarakan bantahan terhadap dasar-dasar Trump, termasuk tarif perdagangan yang dianggap menekan Canada.

Persamaan antara kedua-dua tokoh ini bukan sahaja pada status selebriti mereka, tetapi juga kisah peribadi. Perry baru-baru ini mengakhiri hubungan sembilan tahun dengan pelakon Pirates of the Caribbean, Orlando Bloom, yang juga bapa kepada anak perempuan mereka, Daisy Dove Bloom.

Encik Trudeau pula mengumumkan perpisahan dengan isterinya, Sophie Grégoire Trudeau, pada tahun 2023. Dalam kenyataannya ketika itu, beliau berkata: “Kami tetap sebuah keluarga yang rapat dengan kasih sayang dan saling menghormati antara satu sama lain.”

Spekulasi mula tersebar luas sama ada makan malam Perry dan Encik Trudeau ini sekadar pertemuan biasa atau permulaan kepada hubungan lebih istimewa. Ramai peminat di media sosial mula menyuarakan rasa ingin tahu.

Namun sehingga kini, wakil kedua-duanya tidak memberi sebarang kenyataan rasmi. Adakah ini sekadar makan malam dua individu ternama, atau permulaan kepada sesuatu yang lebih daripada itu? Seperti kata Perry dalam salah satu lagunya, situasi ini bagaikan Hot N Cold — penuh kejutan, berwarna-warni, dan tentu sekali menarik perhatian. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg