JAKARTA: Mantan Naib Presiden Indonesia, Encik Jusuf Kalla, menafikan tuduhan menghina agama susulan kenyataannya dalam satu syarahan awam pada Mac lalu, sambil menegaskan bahawa ucapannya telah disalah tafsir dan diambil di luar konteks.

Encik Kalla kini berdepan beberapa laporan polis yang dibuat oleh kumpulan belia Kristian dan Katolik, yang mendakwa kenyataannya bercanggah dengan ajaran agama mereka.

Namun, beliau menegaskan bahawa syarahan tersebut sebenarnya bertujuan menjelaskan realiti konflik lampau, bukan menyerang mana-mana kepercayaan.

“Saya tidak bercakap tentang doktrin agama.

“Saya menjelaskan apa yang benar-benar berlaku ketika itu, bagaimana orang yang hidup berjiran boleh saling membunuh,” katanya dalam sidang media di Jakarta pada 18 April.

Kontroversi itu berpunca daripada syarahan bertajuk ‘Strategi Diplomasi Indonesia dalam Mengurangkan Risiko Perang Serantau’ yang disampaikan di Masjid Universiti Gadjah Mada (UGM) pada 5 Mac lalu.

Dalam ucapan tersebut, Encik Kalla merujuk konflik sektarian di Poso dan Ambon, di mana kedua-dua pihak ketika itu menggunakan naratif agama untuk membenarkan keganasan.

“Saya menerangkan bagaimana perang itu berlaku atas nama agama, sedangkan hakikatnya tiada ajaran Islam atau Kristian yang membenarkan perkara tersebut,” jelasnya.

Beliau turut menayangkan rakaman konflik sebagai konteks sejarah kepada hadirin, kebanyakannya golongan akademik.

Encik Kalla, yang dikenali dengan usaha damai di Poso dan Ambon, berkata syarahannya jelas bertemakan keamanan, khususnya dalam konteks Ramadan.

“Saya dijemput untuk bercakap tentang langkah-langkah ke arah keamanan.

“Itu tema utama syarahan tersebut,” katanya.

Beliau juga memohon maaf kerana hanya dapat memberi penjelasan selepas pulang dari Jepun pada hari yang sama sidang media diadakan.

Encik Kalla menyifatkan tuduhan terhadapnya sebagai fitnah serius yang boleh menjejaskan reputasi dan keharmonian masyarakat.

“Saya menjadi mangsa fitnah, dan bagi saya, fitnah itu lebih buruk daripada pembunuhan,” katanya.

Beliau turut memberi bayangan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan tuduhan tersebut.

Walaupun laporan polis dibuat oleh beberapa kumpulan, terdapat juga pandangan bahawa isu ini perlu dilihat dalam konteks lebih luas, termasuk sejarah konflik dan usaha perdamaian yang pernah dipimpin Encik Kalla.

Seorang wakil parti politik, Encik Ahmad Ali, menjelaskan bahawa laporan yang dibuat oleh salah seorang pemimpin belia Kristian adalah tindakan peribadi dan tidak mewakili pendirian rasmi parti.

Dalam masa sama, kes ini turut mencetuskan perbincangan lebih luas mengenai kebebasan bersuara di Indonesia.

Walaupun tidak lagi memegang jawatan rasmi, Encik Kalla terus dilihat sebagai tokoh berpengaruh dalam perbincangan dasar dan isu serantau, termasuk kritikannya terhadap beberapa keputusan pemerintah.

Penganalisis melihat kontroversi ini sebagai cabaran, namun juga peluang untuk memperkukuh dialog antara agama.

Encik Kalla sendiri menegaskan bahawa tujuan ucapannya adalah untuk mengingatkan masyarakat tentang bahaya penyalahgunaan agama dalam konflik.

“Yang penting kita faham sejarah, supaya ia tidak berulang,” katanya. – Agensi berita.