LIBREVILLE (Gabon): Seorang jutawan dari Amerika Syarikat maut selepas dipijak sekumpulan gajah ketika ekspedisi memburu di Gabon pada 24 April.

Encik Ernie Dosio, 75 tahun, pemilik ladang anggur dari Lodi, California, memburu seekor ‘yellow-backed duiker’, sejenis antelop di negara Afrika Tengah itu ketika kejadian berkenaan.

Semasa di hutan hujan Lope-Okanda, beliau dan pemandu arahnya terserempak dengan sekumpulan lima gajah betina bersama seekor anak gajah.

Menurut sumber yang berpangkalan di Cape Town, Afrika Selatan, kejadian itu berlaku selepas kumpulan gajah berkenaan ‘terkejut’ dengan kehadiran Encik Dosio dan pemandu arahnya.

Media tempatan yang memetik pengendali safari, Collect Africa, mengesahkan kejadian menyebabkan kematian jutawan terbabit.

Ia turut memaklumkan bahawa pemburu profesional yang membimbing Encik Dosio mengalami kecederaan parah.

Encik Dosio ialah pemilik Pacific AgriLands Inc, sebuah syarikat yang menguruskan ladang anggur seluas 4,856 hektar di Modesto, California, serta menawarkan perkhidmatan pembiayaan peralatan kepada pengeluar wain.

Hutan di Gabon dikenali sebagai habitat kepada kira-kira 95,000 gajah hutan. – Agensi berita.