JAKARTA: Presiden baru Indonesia, Encik Prabowo Subianto, melantik Kabinet beliau dalam satu majlis penuh simbolik di Istana Negara, Jakarta, pada 21 Oktober.
Pelantikan itu menandakan fasa baru kepimpinan Indonesia selepas beliau menggantikan, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, sehari sebelumnya, dan mencerminkan kesinambungan dasar utama pendahulunya.
“Saya bersumpah akan setia kepada Undang-Undang Dasar Negara Republik Indonesia tahun 1945, serta akan menjalankan segala peraturan undang-undang dengan sejujur-jujurnya demi pengabdian saya kepada bangsa dan negara.
“Bahawa saya dalam menjalankan tugas jawatan akan menjunjung tinggi etika jawatan, bekerja sebaik mungkin, dengan penuh rasa tanggungjawab,” ujar Encik Prabowo diikuti oleh para menteri.
Kabinet beliau dinamakan ‘Kabinet Merah Putih’, lambang yang mewakili bendera Indonesia, menggambarkan semangat keberanian dan kemurnian dalam membina masa depan negara.
Dalam ucapannya, Encik Prabowo menekankan tekadnya meneruskan usaha memerangi rasuah dan mencapai sara diri dalam makanan dan tenaga.
Beliau menyatakan komitmen penuh untuk membina negara yang lebih mandiri, memanfaatkan potensi tempatan dan memastikan keperluan rakyat dipenuhi tanpa terlalu bergantung pada sumber luar.
Antara pelantikan paling mendapat perhatian ialah Cik Sri Mulyani Indrawati, yang sekali lagi diberi kepercayaan sebagai Menteri Kewangan.
Mantan Pengarah Urusan Bank Dunia itu memainkan peranan penting dalam memodenkan sistem percukaian Indonesia di bawah pentadbiran Encik Jokowi.
Kini beliau memikul tanggungjawab utama untuk melaksanakan program kebajikan Encik Prabowo, termasuk inisiatif besar yang akan memberikan makanan percuma kepada sekitar 20 juta kanak-kanak di seluruh negara.
Daya usaha itu dijangka menelan belanja 71 trilion rupiah ($6.2 bilion) pada tahun pertama.
Mantan Leftenan Jeneral Tentera, Encik Sugiono, dilantik sebagai Menteri Luar Negeri.
Dengan latar belakang ketenteraan yang teguh dan pendidikan dari Universiti Norwich, Amerika Syarikat, pelantikannya dilihat sebagai satu isyarat jelas bahawa Encik Prabowo menginginkan dasar luar lebih berani dan strategik dalam menghadapi cabaran antarabangsa.
Tokoh penting lain yang turut dikekalkan dalam Kabinet termasuk Encik Airlangga Hartarto sebagai Menteri Penyelarasan Hal Ehwal Ekonomi; Erick Thohir sebagai Menteri Perusahaan Milik Negara; dan Encik Agus Gumiwang Kartasasmita sebagai Menteri Perindustrian.
Gabungan tokoh itu dilihat sebagai usaha Encik Prabowo ingin mengekalkan kesinambungan dasar pembangunan dan ekonomi Encik Jokowi.
Pelantikan Encik Luhut Binsar Pandjaitan sebagai Ketua Dewan Ekonomi Nasional turut menjadi tumpuan utama.
Mantan Menteri Penyelaras bagi Ehwal Maritim dan Pelaburan Indonesia itu kini diberi tanggungjawab lebih besar untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Pemain badminton legenda Indonesia, Encik Taufik Hidayat, dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan. Beliau akan memikul tanggungjawab besar membantu meningkatkan dan memberikan kesan positif bagi kemajuan sukan di Indonesia.
Salah satu kejutan dalam Kabinet Merah Putih ialah penyertaan Encik Giring Ganesha, bekas vokalis kumpulan Nidji, yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Kebudayaan. Bersama Encik Fadli Zon sebagai Menteri Kebudayaan, pasangan itu dijangka membawa perspektif baru dalam usaha mengangkat nilai kebudayaan Indonesia ke peringkat lebih tinggi.
Pelantikan itu disambut dengan pelbagai reaksi, terutama dengan keterlibatan golongan muda dan berpengaruh dalam pemerintah.
Tidak ketinggalan, Encik Raja Juli Antoni dilantik sebagai Menteri Kehutanan, sementara Cik Isyana Bagoes Oka diberi jawatan sebagai Timbalan Menteri Kependudukan dan Pembangunan Keluarga.
Penyertaan mereka dalam Kabinet itu mencerminkan kepelbagaian kepimpinan yang cuba dibawa oleh Encik Prabowo.
Pelantikan Kabinet itu bukan sahaja mencetuskan keyakinan rakyat, bahkan memberi kesan positif kepada ekonomi.
Pada pagi 21 Oktober, nilai rupiah dilaporkan mengukuh, meningkat 20 mata, atau 0.13 peratus, kepada 15,461 rupiah bagi sedolar Amerika.
Menurut penganalisis, kenaikan itu, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap pentadbiran Encik Prabowo, yang dilihat mampu mengemudi ekonomi Indonesia ke arah yang lebih baik. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg