BAITULMAKDIS: Pimpinan tertinggi pemerintahan Israel dilihat tidak sehaluan mengenai peperangan di Gaza selepas salah seorang menteri Kabinetnya secara terbuka menuntut strategi jelas daripada Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu, berhubung perkara itu baru-baru ini.
Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant, mahu Encik Netanyahu menjelaskan rasionalnya kenapa tentera Zionis kembali menyerang kubu kumpulan Hamas di kawasan yang dianggap sudah ‘dibersihkan’ beberapa bulan lalu.
Kenyataan Encik Gallant yang juga tidak bersetuju sekiranya Israel menubuhkan kerajaan tentera di wilayah terkepung itu, sekali gus mencerminkan perbezaan pendapat berhubung strategi mewujudkan keamanan dan keselamatan di sana.
Katanya, ia turut mencerminkan kelemahan Encik Netanyahu dalam menentukan siapa yang akan bertanggungjawab mentadbir Gaza apabila perang tamat nanti.
Penganalisis politik dan penyumbang kepada saluran berita Israel Haaretz, Encik Akiva Eldar, memberitahu Al Jazeera beliau percaya perselisihan umum antara kepimpinan Israel baru-baru ini menandakan “titik tolak” kepada perselisihan yang berpanjangan.
Encik Eldar berkata bahawa kritikan awam Menteri Pertahanan Israel Gallant terhadap Encik Netanyahu mendedahkan keretakan yang “berpunca daripada lubuk hati parti Likud”.
Kenyataan Encik Gallant yang disiarkan di televisyen sekali gus menunjukkan berlaku perbezaan pendapat paling lantang dalam barisan kepemimpinan Israel terhadap Encik Netanyahu sepanjang konflik tujuh bulan yang mencetuskan keretakan politik di dalam dan luar negara, kata Encik Eldar.
Turut menyokong kenyataan Encik Gallant ialah dua mantan jeneral tentera yang mempunyai pandangan politik sederhana dalam Kabinet, iaitu Encik Benny Gantz dan Encik Gadi Eisenkot.
Sementara itu, parti nasionalis haluan kanan berteraskan agama yang diketuai Menteri Kewangan, Encik Bezalel Smotrich dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Encik Itamar Ben-Gvir, pula mengutuk tindakan Encik Gallant itu.
Akhbar sayap kanan Israel, Today, dalam terbitannya meletakkan gambar Encik Netanyahu dan Encik Gallant membelakangkan satu sama lain, dengan tajuk ‘Itu bukan cara untuk mengendalikan perang’.
Selain menumpaskan Hamas dan misi mengembalikan kira-kira 130 tebusan yang masih berada di tangan kumpulan Hamas, Encik Netanyahu gagal menyatakan sebarang matlamat strategik yang jelas untuk menamatkan operasi ketenteraan di Gaza.
Tekanan antarabangsa semakin meningkat susulan kematian di Gaza yang kini sudah melepasi 35,000 mangsa, dengan Israel semakin terpinggir di persada dunia.
Encik Netanyahu yang disokong Encik Ben-Gvir dan Encik Smotrich, kedua-duanya mempunyai hubungan baik dengan pergerakan peneroka Tebing Barat, menolak sebarang pembabitan bersama Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dalam mentadbir Gaza selepas perang.
PLO ditubuhkan di bawah perjanjian damai sementara Oslo tiga dekad lalu dan diiktiraf secara umumnya di peringkat antarabangsa sebagai badan pentadbiran Palestin yang sah, dengan matlamat mewujudkan sistem dua negara Israel dan Palestin.
Sementara itu, jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari, berkata tugas tentera hanyalah untuk memusnahkan kawasan Hamas, manakala sebarang persoalan mengenai kerajaan alternatif di Gaza perlu diputuskan di peringkat politik.
Walaupun kebanyakan kaji selidik menunjukkan misi Israel masih berpaksi kepada peperangan, sokongan itu dilihat semakin terhakis, dengan sokongan semakin bertambah bagi menggesa pembebasan tebusan di tangan Hamas.
Penganalisis mula melihat kerajaan sayap kanan israel berpecah dan komen daripada Encik Gallant, menggambarkan rasa tidak senang yang semakin meningkat kerana arahan tidak jelas daripada Encik Netanyahu mengenai siapa yang akan mengendalikan Gaza apabila pertempuran tamat.
Encik Netanyahu, yang bergelut untuk menyatukan pakatannya yang semakin berpecah-belah, setakat ini berpegang pada ikrarnya untuk mencapai kemenangan penuh ke atas Hamas.
Selepas itu, Gaza boleh dikendalikan oleh “pentadbiran awam bukan Hamas dengan kuasa ketenteraan berada dalam tanggungjawab ketenteraan Israel”, katanya dalam temu bual dengan televisyen CNBC.
Pegawai israel berkata bahawa pemimpin puak Palestin atau tokoh masyarakat mungkin diambil untuk mengisi kekosongan itu tetapi tiada bukti ada pemimpin seperti itu telah dikenal pasti dan tiada negara Arab yang tampil untuk membantu.
“Pilihan Israel hanya, sama ada mereka menamatkan perang, menarik diri, atau mereka menubuhkan kerajaan tentera di sana, dan mengawal seluruh wilayah kerana sebaik sahaja mereka meninggalkan kawasan, Hamas akan muncul semula,” kata Profesor Yossi Mekelberg, rakan sekutu Program Timur Tengah dan Afrika Utara di Chatham House. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg