SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Kahirah bergelap apabila krisis tenaga suramkan Mesir

Kahirah bergelap apabila krisis tenaga suramkan Mesir

Kedai, restoran dan pusat beli-belah diarah ditutup pada 9 malam pada hari bekerja
Apr 6, 2026 | 1:28 PM

Kahirah bergelap apabila krisis tenaga suramkan Mesir

kahirah
Orang ramai berjalan melepasi deretan kedai yang ditutup lebih awal susulan perintah berkurung yang diarahkan pemerintah bagi mengurangkan kos tenaga di pusat bandar Kahirah pada 2 April. - Foto AFP

KAHIRAH: Mesir kini menyaksikan perubahan luar biasa pada waktu malam apabila pemerintah menguatkuasakan arahan penutupan awal premis sebagai langkah mengekang lonjakan bil tenaga susulan perang Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.

Di sebuah kafe tepi jalan di pusat bandar Kahirah, Encik Abu Ali, sedang leka bermain domino apabila lampu tiba-tiba terpadam akibat arahan baharu itu.

“Saya dulu duduk di sini sampai 2 pagi,” kata lelaki berusia 63 tahun itu kepada AFP.

“Sekarang, paling lewat pun saya sudah berada di rumah sebelum 11 malam, hanya menonton berita. Ini bukan lagi Kahirah yang kami kenal,” tambah beliau.

Arahan yang berkuat kuasa selama sebulan sejak minggu lalu itu mewajibkan kedai ditutup pada 9 malam pada hari bekerja dan 10 malam pada 2 April lalu, dengan sedikit kelonggaran sehingga 11 malam sempena cuti Easter Kristian Koptik.

Langkah itu memberi kesan besar kepada warga Kahirah yang selama ini terbiasa dengan kehidupan malam yang rancak.

Lazimnya, Khamis malam di ibu kota Mesir dipenuhi keluarga yang bersiar-siar dari satu kedai ke satu kedai, remaja yang menikmati ais krim, dan muzik yang bergema dari kafe hingga awal pagi.

Namun kini, suasana itu bertukar menjadi kesibukan singkat pada jam terakhir sebelum lampu dipadamkan dan pintu premis ditutup.

Rondaan polis turut dilakukan bagi memastikan peraturan dipatuhi, dan sejurus selepas itu hanya motosikal penghantar makanan yang masih kelihatan bergerak di jalan raya yang gelap.

“Biasanya inilah waktu kerja baru bermula,” kata pekerja kedai pakaian, Encik Ali Haggag, sambil berdiri di luar premisnya yang tiba-tiba lengang.

Beliau berkata Kahirah yang sebelum ini terkenal sebagai kota yang tidak pernah tidur kini “terasa seperti zaman Covid semula”, merujuk kepada tempoh perintah berkurung pada 2020 yang pernah mengosongkan jalan raya.

Golongan berada di Kahirah kini beralih ke restoran di tepi Sungai Nil dan hotel antarabangsa yang dikecualikan daripada arahan itu kerana dikategorikan sebagai premis pelancongan.

Namun, perniagaan kecil mula merasai tekanan besar. Encik Haggag menganggarkan kedainya kehilangan lebih separuh hasil jualan hanya dalam tempoh beberapa hari.

Pegawai pemerintah mempertahankan keputusan itu dengan alasan Mesir sangat bergantung kepada bahan api import.

Harga tenaga dunia melonjak sejak perang Amerika dan Israel terhadap Iran bermula pada akhir Februari.

Perdana Menteri, Encik Mostafa Madbouly, berkata bil import tenaga bulanan Mesir meningkat lebih dua kali ganda antara Januari hingga Mac kepada AS$2.5 bilion ($3.22 bilion).

Kira-kira 60 peratus daripada bajet minyak tahunan negara yang bernilai AS$20 bilion pula digunakan untuk menjana bekalan elektrik.

Sejak beberapa minggu lalu, pemerintah telah memperkenalkan pelbagai langkah yang disifatkan sebagai “luar biasa”, termasuk menaikkan harga bahan api, memperlahankan projek pemerintah, melaksanakan kerja dari rumah pada Ahad serta mengurangkan pencahayaan lampu jalan.

Pengkritik bagaimanapun berkata penutupan awal premis memberi kesan lebih berat kepada ekonomi tidak formal yang menyumbang kira-kira dua pertiga daripada keseluruhan pekerjaan di negara itu.

“Berjuta-juta perniagaan kecil bergantung pada kehadiran pelanggan pada waktu malam. Mengurangkan waktu operasi bermakna mengurangkan pendapatan,” kata ahli ekonomi, Encik Wael el Nahas, kepada AFP.

Pada masa sama, nilai paun Mesir telah susut sekitar 15 peratus sejak perang bermula, mencecah paras rekod 54.3 berbanding dolar Amerika, manakala kadar inflasi meningkat kepada 13.6 peratus pada Mac.

Di sebuah lagi kafe di pusat bandar, seorang pemilik premis berkata pekerjanya kini terpaksa bergilir-gilir masuk kerja.

“Separuh pekerja bekerja sehari, kemudian tinggal di rumah pada hari berikutnya,” katanya.

Walaupun begitu, ada juga peniaga yang masih optimis. Encik Essam Farid, 67 tahun, hanya mengangkat bahu dan berkata: “Orang ramai akan menyesuaikan diri.”

Sesetengah kedai kopi pula kembali menggunakan taktik lama ketika pandemik Covid-19, iaitu memperlahankan lampu, menurunkan separuh pintu besi, tetapi masih menerima pelanggan sambil seorang budak memerhati kehadiran polis di sudut jalan.

Perubahan mendadak itu turut menggoncang dua industri utama, iaitu pawagam dan pelancongan.

Penerbit filem, Encik Gaby Khoury, berkata pawagam kehilangan lebih 60 peratus hasil pendapatan mereka.

“Kebanyakan kutipan ‘box office’ datang daripada tayangan 9 malam hingga tengah malam,” katanya.

“Ini benar-benar membawa malapetaka.”

Beliau berkata beberapa tayangan filem telah ditangguhkan, manakala produksi lain yang terpaksa ditunda tanpa tempoh masa yang pasti.

Sektor pelancongan, yang menjadi sumber penting pertukaran mata wang asing, juga bimbang akan menerima kesan besar.

Walaupun bandar peranginan seperti Luxor dan Aswan dikecualikan, tarikan bersejarah di Kahirah seperti bazar lama Khan el Khalili tidak termasuk dalam pengecualian itu.

Menjelang 9 malam, pemilik kedai mula menyusun barangan, memadam lampu pameran dan menutup pintu besi, walaupun pelancong masih berkeliaran di lorong-lorong kawasan berkenaan.

“Sekarang hampir 8 malam dan pelancong masih terus datang,” kata seorang peniaga, Encik Ahmed Ali.

“Bagaimana anda boleh harapkan saya tutup pada 9 malam? Adakah pelancong boleh beredar hanya dalam masa sejam? Ini tidak munasabah,” tambah beliau

Seorang pegawai pelancongan yang enggan dikenali pula berkata pelancong, terutama dari negara Arab, sangat tertarik kepada suasana hidup di kota itu.

“Pelancong, khususnya orang Arab, datang kerana tenaga dan suasana kota ini. Apabila rakyat Mesir pulang awal, suasana itu hilang dan pelancong akan mula mencari destinasi lain,” katanya.

“Pada pandangan saya, langkah penjimatan ini mungkin membantu pemerintah mengawal kos tenaga dalam jangka pendek, tetapi kesannya terhadap ekonomi harian, suasana bandar dan industri pelancongan boleh menjadi jauh lebih mahal jika berlarutan. Jika Kahirah kehilangan denyut malamnya, Mesir bukan sahaja menanggung kerugian kewangan, tetapi juga kehilangan sebahagian daripada identitinya sebagai kota yang sentiasa hidup,’’ tambahnya. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg