ABUJA, Nigeria: Kumpulan militan di Nigeria dilaporkan menggunakan kecerdasan buatan (AI) secara sistematik bagi merancang strategi peperangan, menghasilkan bahan letupan, menganalisis taktik pertempuran dan melatih anggotanya, menurut satu kajian baharu yang diterbitkan oleh penyelidik Universiti Cambridge.

Kajian itu mendapati penggunaan AI oleh kumpulan militan bukan lagi bersifat terpencil, sebaliknya telah dijadikan sebahagian daripada operasi rasmi organisasi, lengkap dengan unit khas dan latihan khusus bagi mengajar anggota menggunakan teknologi berkenaan.

Penyelidik utama, Cik Antonia Juelich, berkata perkembangan itu jauh lebih pantas dan meluas daripada jangkaan.

“Kami mendapati penggunaan AI oleh kumpulan pengganas berlaku dengan lebih pantas, lebih meluas dan lebih tersusun daripada yang kami sangkakan.

“Ia bukan lagi sekadar inisiatif beberapa komander, tetapi telah diinstitusikan menerusi penubuhan unit khas serta latihan penggunaan chatbot AI,” katanya kepada AFP.

Kajian yang diterbitkan minggu lalu itu berdasarkan temu bual dengan bekas anggota kumpulan ISIS di Wilayah Afrika Barat (ISWAP) dan Jama’at Ahl as-Sunnah lid-Da’wah wa’l-Jihad (JAS), yang lebih dikenali sebagai Boko Haram.

Menurut kajian itu, tenaga pengajar asing pernah mengadakan sesi latihan khas menggunakan projektor bagi menunjukkan cara menggunakan teknologi AI kepada pemimpin kanan kumpulan terbabit.

Seorang bekas anggota ISWAP berkata mereka diajar menggunakan chatbot AI untuk mendapatkan maklumat secara terperinci.

“Kami dikumpulkan dalam sebuah bilik dan ditunjukkan cara AI berfungsi melalui projektor,” katanya.

Kajian itu mendedahkan kumpulan militan menggunakan pelbagai platform AI, termasuk ChatGPT, Claude, Gemini, Grok, Meta AI dan DeepSeek.

Menurut Cik Juelich, sebelum ini kumpulan militan bergantung kepada internet, forum dalam talian dan pengalaman komander veteran bagi mendapatkan maklumat ketenteraan.

Namun, chatbot AI kini membolehkan mereka memperoleh panduan langkah demi langkah serta jawapan khusus kepada soalan yang diajukan.

Antara penggunaan AI yang didedahkan ialah membantu mengubah suai motosikal supaya mampu melompat melepasi parit pertahanan tentera.

Seorang bekas anggota ISWAP berkata kumpulan itu mendapat idea selepas menonton filem aksi sebelum menggunakan AI bagi mempelajari teknik berkenaan.

“Kami melihat dalam filem bagaimana motosikal boleh melompat melepasi jambatan. Kami menggunakan AI untuk belajar melakukannya.

“Selepas berlatih berkali-kali, kami akhirnya berjaya melompat melepasi parit ketika melancarkan serangan berikutnya,” katanya.

AI juga digunakan bagi menghasilkan dan menambah baik bahan letupan.

Seorang bekas komander JAS berkata chatbot AI mencadangkan campuran bahan kimia tertentu bagi meningkatkan kekuatan letupan.

“AI memberitahu kami bahan kimia yang perlu dicampurkan supaya letupan menjadi lebih kuat,” katanya.

Selain itu, bekas anggota ISWAP berkata AI turut membantu mereka mengkaji strategi peperangan bagi mengurangkan jumlah korban ketika operasi dijalankan.

Kajian itu turut menimbulkan kebimbangan mengenai keberkesanan langkah keselamatan yang dibangunkan oleh syarikat teknologi bagi menghalang penyalahgunaan AI.

Cik Juelich berkata sesetengah pertanyaan mungkin kelihatan tidak berbahaya, seperti cara mengubah suai motosikal.

Namun, katanya, pertanyaan berkaitan penghasilan bahan letupan sepatutnya disekat oleh sistem keselamatan chatbot.

“Bahan letupan sepatutnya termasuk dalam kategori yang disekat, tetapi perlindungan itu tidak berfungsi seperti yang diharapkan,” katanya.

Beliau berkata kajian berkenaan meliputi penggunaan AI oleh kumpulan militan sepanjang 2023 hingga 2024, manakala beberapa bekas anggota turut memberikan maklumat mengenai penggunaan teknologi itu sehingga 2025.

Menurutnya, syarikat AI mungkin telah memperkukuh langkah keselamatan sejak tempoh tersebut, namun trend penggunaan AI oleh kumpulan pengganas tetap membimbangkan.

“Saya bimbang melihat arah perkembangan ini, apabila kumpulan pengganas semakin menerima pakai AI sedangkan perlindungan yang ada masih belum cukup kukuh,” katanya.

Nigeria berdepan pemberontakan kumpulan jihad sejak 2009 yang mengorbankan puluhan ribu nyawa serta memaksa jutaan penduduk meninggalkan kediaman mereka.

Sebelum ini, kumpulan militan di Afrika Barat dan beberapa wilayah lain sudah menggunakan Internet, media sosial dan dron komersial bagi tujuan propaganda serta operasi ketenteraan.

Bagaimanapun, kajian terbaru itu menunjukkan AI kini menjadi satu lagi teknologi yang dimanfaatkan secara meluas oleh kumpulan pengganas bagi meningkatkan keupayaan operasi mereka, sekali gus mencetuskan kebimbangan baharu terhadap keselamatan global. - Agensi berita

Laporan berkaitan