Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

TIMUR TENGAH: GEMPA LANDA TURKEY, SYRIA

'Kami digoncang kuat, seperti bayi dalam buaian'

Feb 07, 2023 | 05:30 AM



ISTANBUL: Para penduduk di bandar Gaziantep, Turkey, berhampiran pusat gempa bumi besar yang melanda selatan Turkey dan barat daya Syria semalam, lari berkeliaran apabila gempa berukuran 7.9 magnitud pada skala Richter melanda.



"Saya belum pernah mengalami hal seperti ini sepanjang 40 tahun dalam hidup saya," kata Encik Erdem, seorang penduduk di bandar Gaziantep, Turkey, yang terletak berhampiran pusat gempa itu.



"Kami digoncang kuat sebanyak tiga kali, seperti bayi dalam buaian.



"Cuaca masih terlalu gelap untuk melihat sejauh mana kerosakan dialami.



"Semua orang masuk dalam kereta, atau cuba memandu ke kawasan lapang jauh... dari bangunan," kata Encik Erdem melalui telefon.



"Saya bayangkan tiada seorang pun lagi di bandar Gaziantep yang berada di rumah masing-masing."



Gegaran itu berlangsung kira-kira satu minit dan memecahkan tingkap, menurut seorang saksi kepada agensi berita Reuters, di Diyarbakir, 350 kilometer ke timur pusat gempa itu.



Gempa bumi yang berlaku di Turkey dan barat laut Syria semalam mengakibatkan lebih 1,400 orang terbunuh, lebih 2,800 bangunan runtuh dan memaksa gerakan mencari mereka yang tertimbus di bawah runtuhan.



Gempa bumi itu, yang melanda pada waktu subuh dalam kegelapan di tengah-tengah cuaca sejuk, turut dirasakan di Cyprus dan Lebanon.



Pihak berkuasa Turkey segera mengirimkan pasukan penyelamat dan pesawat bekalan ke rantau itu di sekitar bandar Kahramanmaras, sementara meminta bantuan antarabangsa dengan mengisytiharkan keadaan "darurat tahap empat".



Pegawai-pegawai tempatan berkata, sekurang-kurangnya 17 bangunan di Diyarbakir, 16 struktur di Sanliurfa dan 34 di Osmaniye runtuh.



Pemberita stesen TRT dan Haberturk, menayangkan rakaman gambar menunjukkan ramai orang bangkit dari sekitar runtuhan bangunan, ada yang diusung dan yang lain sedang mencari mereka yang mungkin terselamat di bawah runtuhan bangunan, di Kahramanmaras, dalam suasana yang masih gelap.



"Tugas utama kami adalah untuk mencari dan menyelamat... semua pasukan kami bersiap siaga,"kata Menteri Dalam Negeri, Encik Suleyman Soylu, kepada para wartawan.



Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan beberapa gegaran susulan telah berlaku, yang menurut mereka berukuran 7.8 magnitud.



Gempa di Gaziantep berukuran 6.7 dan satu lagi berukuran 5.6 melanda kawasan di bandar Nurdag.



Penguasa Pengurusan Kecemasan dan Bencana Turkey menyatakan gempa bumi itu berukuran 7.4 dekat bandar Kahramanmaras dan Gaziantep, berhampiran sempadan Syria.



Media rasmi Syria mengatakan, banyak bangunan runtuh di wilayah Aleppo, sementara satu sumber di perkhidmatan awam Hama berkata, beberapa bangunan di situ turut runtuh.



"Bingkai lukisan di dinding bersepahan," kata seorang penduduk di bandar Damsyik, ibu kota Syria, yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Samer,



"Saya terjaga dan berasa ngeri. Sekarang kami semua berdiri di depan pintu."



Orang ramai di Damsyik, juga di kota-kota Beirut dan Tripoli, lari menuju jalan raya, menaiki kereta mereka untuk berada jauh dari bangunan kerana bimbang ditimpa bangunan yang runtuh.



Gegaran juga dirasakan di Ankara, 460 kilometer ke barat laut pusat gempa, dan di Cyprus, di mana polis melaporkan tidak ada kerosakan berlaku.



Turkey adalah salah sebuah negara dalam zon aktif gempa bumi dunia.



Pada 1999, Duzce dilanda gempa 7.4 magnitud - yang terburuk melanda Turkey dalam masa puluhan tahun.



Lebih 17,000 orang terbunuh dalam kejadian itu, termasuk 1,000 yang lain di Istanbul



Gempa 6.8 magnitud melanda Elazig pada Januari 2020, mengakibatkan lebih 40 orang terbunuh.



Pada Oktober tahun itu juga, gempa membunuh 114 orang dan lebih 1,000 yang lain cedera.



Para pakar sejak dulu lagi telah menyuarakan amaran bahawa satu gempa kuat akan melanda Istanbul, yang telah membenarkan pembinaan bangunan tanpa mengambil kira langkah-langkah keselamatan. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >