ENGLAND: Harry Kane masih dihantui kegagalan menjaringkan sepakan penalti pada suku akhir Piala Dunia 2022 meskipun perlawanan itu telah lama berlalu.
Namun, kapten pasukan bola sepak England itu memasang tekad dan berazam untuk menebus detik terburuk dalam kerjayanya itu pada kejohanan 2025 di Amerika Utara.
Sepakan penalti Kane tersasar pada minit ke-84 perlawanan suku akhir di Qatar pada 2022 ketika England tewas 2-1 di tangan Perancis – detik yang disifatkan Kane sebagai paling buruk dalam kerjayanya, lebih teruk daripada kekalahan dalam final peringkat kelab.
Dengan England ketinggalan, Kane, yang sudah menjaringkan penalti dalam perlawanan itu, gagal menyamakan kedudukan apabila sepakan penaltinya melepasi palang.
“Saya berani katakan kegagalan itu mungkin yang paling teruk pernah saya rasai,” katanya kepada media.
“Jelas saya pernah tewas dalam perlawanan akhir sebelum ini. Untuk memikul tanggungjawab itu... ia seolah-olah jatuh ke bahu saya.
“(Kemudian) Tidak dapat melakukan sesuatu yang saya dapat laksanakan banyak kali dalam kerjaya saya, saya fikir itu perkara paling sukar untuk diproses dan ditelan.
“Oleh kerana itu merupakan memori terakhir saya (dalam Piala Dunia), ya, saya menantikan Piala Dunia seterusnya untuk mencuba dan membetulkannya, untuk cuba pergi lebih jauh. Untuk cuba menjulang piala seperti yang kami semua idam-idamkan.”
England membelasah Latvia 5-0 pada 14 Oktober untuk menempah tempat ke Piala Dunia 2026, dengan Kane menjaringkan dua gol, sekali gus menjadikan jumlah gol antarabangsanya kepada 76 gol.
Ditanya sama ada beliau boleh mencapai jaringan ke-100, pemain berusia 32 tahun itu berkata: “Berdasarkan apa yang saya rasai sekarang, saya akan terus bekerja keras.
“Gol sudah terkumpul, lihatlah jumlahnya.
“Cara saya rasa di atas padang, cara saya melihat permainan secara fizikal dan tanpa bola, saya berasa berada di tempat yang sangat baik.” – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg