PARIS: England menghantar amaran kepada pencabar Piala Dunia mereka dengan membelasah Serbia 5-0 dalam aksi kelayakan pada 9 September, manakala Erling Haaland menjaringkan lima gol untuk membantu Norway mengekalkan rekod sempurna 100 peratus.
Di bahagian lain Eropah, Portugal dan Perancis bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat dua kemenangan berturut-turut dalam usaha mereka merebut tiket ke Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Mexico dan Canada.
Kualiti pasukan kendalian Thomas Tuchel sebelum ini dipersoalkan selepas hanya menang 2-0 menentang Andorra di Villa Park pada 6 September, tetapi kali ini mereka memberi jawapan meyakinkan.
England menguasai perlawanan awal di Belgrade dan membuka jaringan pada minit ke-33 apabila Harry Kane menanduk masuk gol antarabangsa ke-74 hasil sepakan penjuru Declan Rice.
Dua minit kemudian, pelawat menggandakan kelebihan apabila Noni Madueke menyambar hantaran cantik daripada Morgan Rogers sebelum menewaskan penjaga gawang Serbia, Djordje Petrovic.
England mengesahkan kemenangan tujuh minit selepas babak kedua bermula apabila Ezri Konsa merembat bola yang ditampan Petrovic susuli sepakan percuma untuk menjaringkan gol antarabangsa pertamanya.
England kemudian diberikan satu lagi sepakan percuma selepas Nikola Milenkovic menjatuhkan Kane dan terus menerima kad merah.
Sepakan percuma Rice sekali lagi membawa hasil apabila Marc Guehi menggelongsor ke tanah untuk menyambut hantarannya.
Pemain gantian, Marcus Rashford, menutup tirai malam cemerlang itu dengan sepakan penalti lewat permainan.
England berpeluang layak ke Piala Dunia buat kali kelapan berturut-turut menerusi perlawanan Kumpulan K yang seterusnya menentang Latvia pada Oktober.
Dalam satu lagi perlawanan kumpulan, Albania melonjak ke tangga kedua selepas menewaskan Latvia 1-0 di Tirana, Albania.
Dalam pada itu, Norway memberi respons sempurna terhadap kemenangan dramatik Itali 5-4 ke atas Israel pada 8 September dengan membelasah Moldova 11-1 untuk meraih lima kemenangan daripada lima di Kumpulan I.
Haaland menjadi bintang utama dengan jaringan hatrik pada separuh masa pertama sebelum menanduk masuk gol keempatnya sejurus selepas rehat.
Martin Odegaard turut menjaringkan gol dan menyumbang dua bantuan jaringan, sementara Felix Myhre membuka tirai jaringan selepas menerima hantaran daripada Haaland pada minit keenam.
Pemain tengah Rangers, Thelo Aasgaard, masuk sebagai pemain gantian untuk menambah gol ketujuh.
Moldova bagaimanapun mendapat gol saguhati hasil jaringan sendiri Leo Ostigard, sebelum Aasgaard sekali lagi menjaringkan gol.
Aasgaard, 23 tahun, kemudian melengkapkan hatriknya dalam tempoh 11 minit melalui sepakan penalti.
Gol tambahan daripada Haaland dan Aasgaard memberikan malam yang patut dilupakan Moldova.
Norway, yang sebelum ini menewaskan juara dunia empat kali, Itali, dalam kelayakan itu, kini memburu penampilan pertama di Piala Dunia sejak 1998 dan berada enam mata di depan Itali walaupun mempunyai kelebihan satu perlawanan.
Sementara itu, ketika menentang Perancis, Iceland bermula garang di Parc des Princes apabila Arni Gudjohnsen, anak bekas penyerang Chelsea, Eidur, meledakkan gol pembukaan pada minit ke-21, yang turut bermain bersama adiknya, Daniel.
Perancis menyamakan kedudukan menerusi penalti Kylian Mbappe sejurus sebelum rehat.
Mbappe kemudian menjadi perintis apabila beliau meluru menyambut hantaran jauh daripada Aurelien Tchouameni sebelum menolak bola kepada Bradley Barcola yang mudah menjaringkan gol melalui gawang yang kosong.
Les Bleus – gelaran Perancis – bertahan untuk kemenangan 2-1, walaupun Tchouameni dibuang padang dan jaringan lewat Arni Gudjohnsen dibatalkan oleh VAR.
Perancis, naib juara Piala Dunia 2022, kini mendahului Kumpulan D dengan kelebihan tiga mata berbanding Iceland. Ukraine dan Azerbaijan pula dua mata di belakang selepas seri 1-1 di Baku.
Portugal pula mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas Hungary di Arena Puskas, selepas membuka kempen Kumpulan F dengan kemenangan 5-0 ke atas Armenia pada 7 September.
Barnabas Varga meletakkan tuan rumah di depan sebelum Bernardo Silva menyamakan kedudukan buat Portugal.
Cristiano Ronaldo menjaringkan gol antarabangsa ke-141, rekod barunya, menerusi penalti sejurus sebelum mini ke-60.
Varga menyangka berjaya menghadiahkan satu mata untuk Hungary, tetapi Joao Cancelo menjaringkan gol kemenangan Portugal empat minit sebelum tamat.
Hungary kini jatuh ke tangga ketiga di belakang Armenia yang menewaskan Ireland 2-1.
Di perlawanan lain, Austria menyamakan kedudukan dengan Bosnia dan Herzegovina di persada Kumpulan H – kedua-duanya dengan 12 mata – selepas kemenangan 2-1 di Zenica. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg