Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kapal layar tentera laut Mexico terlanggar Jambatan Brooklyn di NY

Dua maut, 22 cedera dengan dua dalam keadaan kritikal
May 18, 2025 | 3:35 PM
jambatan Brooklyn, mexico
Kapal Cuauhtémoc yang terlanggar bahagian bawah Jambatan Brooklyn pada malam 17 Mei, menyebabkan kerosakan teruk dan korban jiwa. - Foto AFP

NEW YORK: Sebuah kapal layar latihan milik tentera laut Mexico yang dalam lawatan muhibah terlanggar bahagian bawah Jambatan Brooklyn pada malam 17 Mei, menyebabkan tiang dan kelengkapan kapal itu rosak teruk serta mengorbankan dua nyawa.

Terdapat 277 penumpang berada di atas kapal Cuauhtémoc itu ketika kejadian, dan kesemua mereka dipercayai telah dikenal pasti, menurut seorang pegawai Jabatan Bomba New York.

Sekurang-kurangnya 22 orang cedera dan telah dibawa ke hospital, menurut pihak berkuasa.

Datuk bandar Eric Adams memaklumkan dalam satu hantaran di media sosial selepas tengah malam bahawa dua orang telah maut manakala dua lagi berada dalam keadaan kritikal.

Kapal itu berlabuh pada 17 Mei di Pier 17 di Manhattan, di bawah Jambatan Brooklyn, lapor New York Times.

Kapal Cuauhtémoc dipercayai telah bergerak ke arah salah dan tidak sepatutnya belayar di bawah jambatan tersebut, jelas jurucakap Pejabat Pengurusan Kecemasan bandar itu, sekitar 8.30 malam (8.30 pagi waktu Singapura pada 18 Mei).

Dokumen pemerintah menunjukkan bahawa jambatan itu mempunyai jarak ketinggian pelayaran 38 meter, manakala tiang-tiang kapal Cuauhtémoc pula dianggarkan setinggi kira-kira 48 meter.

Dalam video insiden itu, sebuah kapal tunda dilihat berhampiran Cuauhtémoc yang bergerak ke belakang semasa pelanggaran itu berlaku.

Menurut video dan imej yang dimuat naik di media sosial dari lokasi kejadian, kapal tersebut kekal tegak ketika ia berhenti. 

Tiang-tiang kapal juga kelihatan rosak teruk.

Dalam sidang media pada 17 Mei, pihak berkuasa memaklumkan bahawa seorang pemandu yang ditugaskan untuk mengemudi kapal Cuauhtémoc keluar dari laluan pelayaran telah mengalami ‘masalah mekanikal’.

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan akan menjalankan siasatan.

Di Pier 16 – lokasi mangsa cedera dibawa – orang ramai berkumpul, dan kawasan South Street dipenuhi kenderaan kecemasan.

Pasukan kecemasan dilihat secara berkala menolak mangsa menuju ke ambulans.

Semua lorong di jambatan itu ditutup sementara bagi kedua-dua arah, menurut sistem pemakluman kecemasan bandar New York.

Pesuruhjaya Jabatan Pengangkutan Bandar Raya New York, Encik Ydanis Rodriguez, berkata jambatan berkenaan sedang diperiksa, namun “maklumat awal menunjukkan tiada kerosakan besar pada struktur jambatan”.

Kapal Cuauhtémoc digunakan untuk melatih kelasi, kapten dan pegawai di Sekolah Ketenteraan Tentera Laut Heroik Mexico, menurut satu kenyataan daripada salah satu pelayaran kapal itu. 

Kapal dengan panjang kira-kira 91 meter itu dilancarkan pada 1982.

Kapal yang diperbuat daripada keluli itu juga pernah berlabuh di Singapura pada Ogos 2024 di VivoCity, semasa penjelajahan globalnya.

Menurut tentera laut Mexico, Cuauhtémoc memulakan pelayaran pada 6 April dari Acapulco di pesisir Pantai Pasifik Mexico, dalam misi yang bertujuan untuk “menyemarakkan semangat pelayaran, memperkukuh pendidikan ketenteraan laut, dan membawa mesej keamanan serta muhibah rakyat Mexico ke lautan dan pelabuhan seluruh dunia”.

Ia dijadualkan untuk berada di laut selama 254 hari, dengan singgahan di New York; Kingston, Jamaica; Havana; Reykjavik, Iceland; Aberdeen, Scotland; Avilés, Sepanyol; Bridgetown, Barbados; dan London.

Jambatan Brooklyn, yang mengambil masa 14 tahun untuk disiapkan, merupakan jambatan gantung pertama di bandar itu.

Sejak pembinaannya lebih 140 tahun lalu, ia menjadi sebahagian lambang ikonik bandar New York yang menghubungkan Brooklyn dan Manhattan — setanding dengan mercu tanda lain seperti Bangunan Empire State. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg