VATICAN: Susulan pemergian Pope (Paus) Francis pada 21 April, perhatian dunia kini beralih kepada Kolej Kardinal yang bakal bersidang bagi memilih pemimpin baru Gereja Katolik Roman.
Proses pemilihan, yang dijangka berlangsung dalam suasana penuh rahsia di dalam Kapel Sistina, memerlukan dua pertiga undian untuk menentukan paus ke-267 dalam sejarah.
Antara nama yang paling kerap disebut sebagai calon berpotensi ialah Kardinal Luis Antonio Tagle, 67 tahun, dari Filipina.
Beliau bukan sahaja mewakili suara Asia dalam gereja sejagat, tetapi juga dianggap sebagai ‘Paus Asia’ oleh kalangan liberal Katolik yang mengagumi pendekatannya yang merendah diri, memiliki sifat menyenangkan dan progresif.
“Beberapa tahun lalu, beliau adalah pilihan utama Paus Francis untuk menggantikan tempatnya,” kata Encik Edward Pentin, penulis The Next Pope: The Leading Cardinal Candidates. “Beliau kini menerajui jabatan penting Vatican yang bertanggungjawab terhadap penyebaran ajaran Katolik, dan masih dianggap muda dalam kalangan para kardinal,” ujar Encik Pentin.
Kardinal Tagle telah lama dikenali dengan gaya hidup sederhana walaupun sudah bergelar uskup, beliau masih menaiki bas dan jeepney untuk ke tempat kerja.
Ketika berada di seminari Filipina selama dua dekad, beliau memilih tinggal di bilik tanpa penyaman udara atau televisyen.
Namun, usia beliau yang relatif muda dalam konteks pengundian kardinal mungkin menjadi hambatan kerana pontifikat yang panjang boleh menyekat peluang calon lain di masa depan.
Proses pemilihan kali ini dijangka menyaksikan pertembungan ideologi antara golongan progresif yang ingin meneruskan legasi Paus Francis, dan konservatif yang mahu mengembalikan gereja kepada prinsip tradisional.
Kardinal Peter Turkson, 76 tahun, dari Ghana, merupakan tokoh penting dalam isu keadilan sosial dan perubahan iklim. Beliau juga merupakan kardinal kulit hitam pertama dari Afrika Barat dan pernah mengetuai Majlis Kepausan untuk Keadilan dan Keamanan.
Walaupun pernah menyatakan bahawa beliau “berdoa agar tidak terpilih”, penglibatan aktif beliau dalam pelbagai forum antarabangsa meletakkannya antara calon yang disebut-sebut.
Kardinal Peter Erdo, 72 tahun, dari Hungary, pula menjadi harapan kumpulan konservatif. Seorang pakar undang-undang gereja yang tegas, beliau dilihat sebagai tokoh yang dapat ‘menstabilkan’ kembali gereja daripada apa yang dikatakan sebagai ‘kekaburan undang-undang gereja’ di bawah kepimpinan Paus Francis.
Namun, Kardinal Erdo pernah mencetuskan kontroversi ketika krisis imigran 2015 apabila menyanggah seruan Paus agar gereja membuka pintu kepada pelarian, dengan menyatakan bahawa ia mungkin membawa kepada penyeludupan manusia – pandangan yang sejajar dengan dasar tegar Perdana Menteri Hungary, Encik Viktor Orban.
Kardinal Pietro Parolin, 70 tahun, yang kini memegang jawatan Setiausaha Negara Vatican, juga disebut sebagai calon kuat. Dikenali sebagai arkitek diplomasi antarabangsa Paus Francis, beliau memainkan peranan utama dalam usaha perdamaian, termasuk konflik di Ukraine. Namun, reputasinya tercalar akibat skandal hartanah di London yang menyebabkan kerugian jutaan euro.
Nama lain termasuk:Kardinal Jose Tolentino de Mendonça (Portugal) – dilantik Paus Francis untuk mengetuai dicastery bagi budaya dan pendidikan; Kardinal Matteo Zuppi (Itali) – Uskup Agung Bologna yang berhaluan progresif; Kardinal Mario Grech (Malta) – dilihat sebagai calon kompromi, rapat dengan Francis tetapi berhaluan sederhana serta Kardinal Robert Sarah (Guinea) – tokoh konservatif yang lantang menentang ideologi jantina dan radikalisme Islam.
Sejak 2013, Paus Francis telah melantik kira-kira dua pertiga daripada jumlah kardinal yang layak mengundi, kebanyakannya dari Global South iaitu negara sedang dan kurang membangun termasuk Asia, Afrika dan Amerika Latin.
“Hampir separuh kardinal kini datang dari selatan dunia. Mereka membawa isu berbeza seperti kemiskinan, perubahan iklim, perang saudara dan rasuah,” kata Father Thomas Reese, penganalisis Vatican dan kolumnis Religion News Service.
Sehingga kini, tiada calon yang benar-benar menonjol. Proses pemilihan kekal rumit, tertutup, dan sukar diramal.
“Ketika Benedict XVI meletak jawatan, saya yakin mereka tidak akan memilih seorang Jesuit. Tetapi akhirnya mereka pilih Jesuit,” kata Father Reese. “Itu membuktikan betapa terbatasnya pemahaman kita terhadap proses ini.” - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg