VATICAN: Dunia Katolik berduka pada 21 April apabila pihak Vatican mengesahkan bahawa Pope (Paus) Francis, pemimpin tertinggi Gereja Katolik Roman yang pertama berasal dari Amerika Latin, telah meninggal dunia pada usia 88 tahun.
Berita pemergian beliau diumumkan dalam satu kenyataan video oleh Kardinal Kevin Farrell, yang berkata: “Saudara-saudari sekalian, dengan rasa dukacita yang mendalam, saya mengumumkan pemergian Bapa Suci kita, Paus Francis. Pada 7.35 pagi tadi, Uskup Rome, Francis, telah kembali ke rumah Bapa.”
Paus Francis, yang dilahirkan dengan nama Jorge Mario Bergoglio pada 1936 di Argentina, telah menghembuskan nafas terakhirnya di rumah tamu Santa Marta, tempat beliau berehat selepas keluar dari hospital baru-baru ini akibat jangkitan radang paru-paru berganda yang serius.
Menurut pasukan perubatan Vatican, Paus Francis berada dalam keadaan kritikal sebanyak dua kali semasa menerima rawatan di hospital awal tahun ini. Jangkitan pneumonia berganda yang dialaminya telah menyebabkan kerosakan pada paru-paru serta memberi tekanan ketara kepada otot pernafasannya.
Walaupun beliau kembali ke Vatican pada 23 Mac untuk tempoh pemulihan, tahap kesihatannya kekal rapuh dan beliau terus bergantung kepada alat bantuan oksigen.
Dalam kenyataan pada 16 Mac lalu, beliau sendiri mengakui bahawa tubuhnya sedang melalui ujian besar: “Saya berkongsi renungan ini di saat melalui ujian kesihatan, dan hati saya bersatu dengan semua saudara-saudari yang turut menderita. Tubuh kita mungkin lemah, namun dalam kelemahan itu, tiada apa yang mampu menghalang kita daripada mengasihi, berdoa, berbakti dan menjadi cahaya harapan bagi sesama.”
Paus Francis dikenang ramai di Asia Tenggara, khususnya rakyat Singapura, selepas lawatan bersejarahnya pada September 2024 dalam siri lawatan keempat dalam jelajah Asia-Pasifik itu. Dalam lawan itu, beliau turut melawat Indonesia.
Komuniti Katolik di Singapura menzahirkan penghormatan terakhir kepada Paus Francis susulan pengumuman pemergian beliau terutamanya selepas lawatan bersejarah beliau ke Singapura pada September 2024 – lawatan pertama seumpamanya oleh seorang paus ke republik ini.
Cik Chiarina Mapa, salah seorang daripada 1,600 anggota koir besar yang mempersembahkan nyanyian semasa misa awam Paus di Singapura, meluahkan rasa dukacitanya atas pemergian tokoh yang amat dihormati itu.
“Beliau adalah paus pertama yang saya temui secara peribadi, dan saya sangat bertuah kerana berpeluang menemuinya beberapa kali di Rome, dan yang terbaru semasa lawatan beliau ke Singapura tahun lalu,” kata Cik Mapa.
Dilantik sebagai Paus ke-266 pada 13 Mac 2013, Paus Francis merupakan Bishop of Rome pertama dari luar Eropah sejak abad ke-8, serta paus pertama daripada Ordo Jesuit dalam sejarah Gereja Katolik.
Menolak kemewahan apartmen rasmi di Istana Apostolik, beliau memilih untuk menetap di rumah tamu Santa Marta demi menjaga apa yang disifatkannya sebagai “kesihatan psikologi” dan kehidupan komuniti yang lebih sederhana.
Semasa pentadbirannya, beliau berdepan pelbagai cabaran: skandal penderaan seksual kanak-kanak dalam gereja, perpecahan dalaman birokrasi Vatican, dan tentangan kuat daripada golongan konservatif yang menuduhnya “menggugat tradisi”.
Namun begitu, beliau tetap teguh memperjuangkan pembaharuan dan membawa suara golongan pinggiran ke pentas global – termasuk pelarian, penduduk miskin, dan mangsa ketidakadilan sosial.
Biarpun kesihatan beliau semakin merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Paus Francis kekal aktif. Beliau melaksanakan jadual mingguan yang padat dan tidak henti mengadakan lawatan ke luar negara untuk mengukuhkan hubungan antara agama dan bangsa.
Selepas kematian Paus Benedict XVI pada Disember 2022, Paus Francis berdiri sendirian di pentas Gereja sebagai satu-satunya paus, selepas sedekad berkongsi kota Vatican dengan pendahulunya yang telah bersara – suatu keadaan yang belum pernah berlaku dalam sejarah moden.
Sepanjang 12 tahun kepimpinannya, Paus Francis telah melantik hampir 80 peratus daripada kardinal pemilih yang bakal menentukan penggantinya. Pelantikan ini meningkatkan kemungkinan dasar-dasar progresif yang dibawanya akan diteruskan, meskipun berdepan tentangan hebat daripada golongan tradisional dalam Gereja.
Beliau akan dikenang sebagai tokoh perubahan, yang merapatkan jurang antara gereja dan dunia moden, dan sebagai pemimpin yang membawa suara kelembutan dalam suasana keras.
“Tubuh kita mungkin lemah, tetapi kasih tidak akan pernah lemah. Dan apabila kasih wujud, Tuhan sentiasa ada bersama kita,” tulisnya baru-baru ini dalam surat terbuka.
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, menzahirkan rasa dukacitanya atas pemergian Paus Francis menerusi satu hantaran di Facebook pada 21 April.
Dalam kenyataannya, beliau menulis: “‘Tanda harapan yang bersinar’ telah pergi, namun meninggalkan kenangan yang mendalam dalam hati setiap individu yang pernah bertemu atau mendengar beliau sepanjang tahun-tahun kepausannya. Lawatan beliau ke Singapura pada September 2024 kini menjadi lebih bermakna dan menyentuh hati.”
Dr Balakrishnan turut berkongsi pertemuan peribadinya bersama Paus Francis pada Disember 2019, yang meninggalkan kesan mendalam.
“Saya masih ingat kata-katanya ketika kami bertemu buat kali pertama – ‘Doakan saya’. Hari ini, kita semua mendoakan beliau.”
“Paus Francis telah pergi, tetapi suara kasih dan pengampunan yang dibawanya akan terus hidup dalam hati 1.3 bilion umat Katolik dan seluruh dunia,” ujar Kardinal Kevin Farrell


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg