Kardinal Orlando Beltran Quevedo dari Filipina akan menjadi penerima pertama Anugerah Keharmonian dalam Kepelbagaian - satu inisiatif serantau baharu yang mengiktiraf individu yang berjaya memperkukuh kepercayaan, persefahaman dan keharmonian dalam masyarakat majmuk Asia Tenggara.

Kardinal Quevedo, yang juga Uskup Agung Emeritus Cotabato, akan menerima anugerah itu dalam satu majlis di Jakarta pada 15 Julai sebagai pengiktirafan terhadap usaha beliau selama beberapa dekad dalam dialog antara agama dan pembinaan keamanan di Mindanao, selatan Filipina.

Anugerah yang diperkenalkan oleh Yayasan Temasek dan 5P Global Movement itu bertujuan mengetengahkan tokoh yang membina jambatan antara masyarakat berbeza agama, budaya dan latar belakang, terutama ketika rantau ini berdepan peningkatan polarisasi, ketegangan berasaskan identiti serta kemerosotan kepercayaan sosial.

Kardinal Quevedo dipilih daripada 72 pencalonan yang diterima dari seluruh Asia Tenggara menerusi proses penilaian hampir setahun.

Pengerusi 5P Global Movement Indonesia, Encik William Sabandar, berkata kepelbagaian ialah salah satu kekuatan utama Asia Tenggara, tetapi keharmonian tidak akan terbentuk dengan sendiri.

“Keharmonian tidak berlaku secara kebetulan. Ia dibina melalui dialog, kepercayaan, rasa hormat dan kepimpinan dalam kehidupan seharian.

“Anugerah ini diwujudkan untuk mengiktiraf individu yang mengabdikan hidup mereka kepada usaha tersebut, sambil memberi inspirasi kepada lebih ramai penduduk di rantau ini untuk menjadi pembina keharmonian dalam komuniti masing-masing,” katanya pada sidang media menjelang majlis penganugerahan pada 14 Julai.

Menurut beliau, Kardinal Quevedo dipilih kerana pendekatannya yang dikenali sebagai Dialog Kehidupan.

Pendekatan itu menekankan pembinaan kepercayaan melalui hubungan harian antara penduduk berlainan agama dan komuniti, bukan hanya menerusi dialog rasmi antara pemimpin.

Kardinal Quevedo selama beberapa dekad terlibat dalam usaha merapatkan hubungan antara masyarakat Islam, Kristian dan kumpulan peribumi di Mindanao, sebuah wilayah yang lama terjejas oleh konflik bersenjata, kemiskinan dan ketegangan agama.

Encik Sabandar berkata usaha Kardinal Quevedo menunjukkan bahawa dialog, sikap rendah hati dan kesediaan mendengar mampu membina kepercayaan walaupun dalam masyarakat yang mempunyai perbezaan mendalam.

“Esok (15 Julai), kita akan memberi penghormatan kepada seorang individu yang luar biasa.

“Tetapi inisiatif ini sebenarnya turut meraikan ribuan penduduk Asia Tenggara yang melalui tindakan harian mereka memperkukuh kepercayaan, persefahaman dan rasa hormat antara masyarakat,” katanya.

Beliau berkata penganjur berharap anugerah itu berkembang sebagai wadah yang menghubungkan pemimpin masyarakat, pertubuhan awam, perniagaan, badan kebajikan dan individu yang terlibat dalam usaha membina keamanan di rantau ini.

Anugerah itu dilancarkan di Singapura pada 1 Ogos 2025, sekali gus membuka proses pencalonan calon dari seluruh Asia Tenggara.

Sepanjang hampir setahun, pihak penganjur menjalankan proses saringan dan penilaian menerusi rangkaian pertubuhan masyarakat sivil, kumpulan belia serta organisasi antara agama di rantau ini bagi mengenal pasti individu yang layak menerima pengiktirafan berkenaan.

Daripada 72 pencalonan, pihak urus setia menyenarai pendek 10 calon sebelum nama mereka dibentangkan kepada panel hakim di Singapura.

Panel itu kemudian memilih tiga calon akhir sebelum Kardinal Quevedo ditetapkan sebagai penerima sulung.

Calon dinilai berdasarkan rangka kerja yang dikenali sebagai RAISE, merangkumi kesesuaian, kepentingan, keselarasan dengan matlamat anugerah, keupayaan mengangkat usaha keharmonian dan unsur inovasi.

Mantan Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob merupakan penaung Anugerah Keharmonian dalam Kepelbagaian dan antara tokoh yang menyokong pembentukan inisiatif tersebut.

Panel penilai turut dianggotai tokoh serantau dari lima negara, termasuk bekas Menteri Luar Indonesia, Cik Retno L.P. Marsudi, serta Datuk Bandar Quezon City, Cik Joy Belmonte.

Pengarah Kanan Yayasan Temasek, Cik Ling Pei Shan, berkata anugerah itu mencerminkan komitmen yayasan berkenaan dalam menyokong masyarakat yang lebih kukuh dan berdaya tahan.

“Kerja kami dipandu oleh empat keutamaan strategik, iaitu planet, manusia, keamanan dan kemajuan, yang disokong oleh perkongsian.

“Kami percaya keamanan ialah asas kepada kesejahteraan manusia, perlindungan planet dan kemajuan. Tanpa keamanan, masyarakat tidak dapat berkembang dan mata pencarian akan terjejas,” katanya.

Beliau berkata pemilihan Kardinal Quevedo sebagai penerima sulung mencerminkan semangat sebenar anugerah itu kerana komitmennya yang berterusan terhadap dialog dan pembinaan keamanan.

“Usahanya mengingatkan kita bahawa keharmonian dibina melalui komitmen yang berpanjangan, rasa hormat bersama dan kesediaan untuk memastikan fikiran serta ruang perbincangan terus terbuka meskipun terdapat perbezaan besar,” katanya.

Menurut Cik Ling, penganjur tidak melihat anugerah itu sebagai satu acara tahunan semata-mata.

Sebaliknya, ia diharap menjadi asas kepada pembentukan rangkaian lebih luas yang menghubungkan pejuang keharmonian dan rakan kerjasama dari pelbagai sektor.

“Kami berharap platform serantau ini dapat membentuk ekosistem Anugerah Keharmonian dalam Kepelbagaian yang lebih luas, menghubungkan pembina keharmonian dan mengalu-alukan rakan dari pelbagai sektor untuk menyokong usaha memperkukuh keharmonian di Asia Tenggara,” katanya.

Beliau mengakui satu anugerah tidak mampu menyelesaikan semua masalah sosial yang kompleks, tetapi ia boleh menjadi titik permulaan untuk mengiktiraf individu yang selama ini bekerja secara senyap di peringkat akar umbi.

Penganjur berharap kisah tokoh seperti Kardinal Quevedo dapat mendorong lebih banyak perbincangan mengenai keharmonian, menggalakkan kerjasama rentas sempadan dan memberi inspirasi kepada generasi muda untuk terus membina jambatan antara masyarakat.

Dalam rantau yang kaya dengan perbezaan agama, bahasa, budaya dan sejarah, penganjur menegaskan bahawa kepelbagaian perlu terus dipelihara melalui dialog dan kepimpinan yang inklusif.

Majlis penganugerahan di Jakarta akan menghimpunkan pemimpin serantau, anggota panel penilai, wakil masyarakat awam, syarikat, badan kebajikan dan pemimpin komuniti.