Rungutan yang biasa didengar dalam kalangan peminat epok-epok ialah apabila mereka diberi epok-epok yang intinya sedikit dan kadangkala dipenuhi dengan bawang.
Ini sehinggakan ada yang menggelar makanan gorengan tersebut sebagai ‘epok-epok angin’.
Namun siapa sangka ada juga penjual yang melihatnya sebagai peluang perniagaan dan menjual jenis epok-epok sebegitu!
Di Malaysia, tular satu video TikTok yang menampilkan kedai yang menjual ‘Karipap Inti Oksigen’ - yang jika dijual di Singapura akan dinamakan ‘epok-epok’.
Video yang dimuat naik abucarimakan itu menunjukkan pengguna TikTok tersebut berkunjung ke Kampung Sungai Tua Bahru, Batu Caves untuk mencuba Karipap Inti Oksigen yang menjadi pilihan penduduk di situ.
Sebiji karipap dijual pada harga 30 sen ($0.08).
Berkongsi tentang idea di sebalik Karipap Inti Oksigen, peniaga kedai dalam video itu berkata ia tercetus daripada permintaan anak-anaknya.
Peniaga wanita itu menceritakan bahawa ada satu hari di mana inti karipap sudah habis dan masih terdapat lebihan kulit.
Memandangkan anak-anaknya tidak makan inti, beliau pun memutuskan untuk membuat karipap tanpa inti.
Beliau kemudian menjualnya dan ia menerima sambutan baik.
“Alhamdulillah, letak-letak habis,” terang peniaga tersebut.
Melihat cara karipap itu dibuat, seorang warganet bertanya adakah pegerai tersebut meletakkan gula dalam inti karipap tersebut.
Menjawab pertanyaannya, pengguna TikTok abucarimakan berkata peniaga tersebut memang meletakkan sedikit gula supaya karipap tersebut tidak rasa tawar.
Ramai pula warganet yang berkata mereka ingin mencuba karipap tersebut dengan ada yang mengaku tidak minat inti atau tidak suka jika inti terlalu banyak.
Pengguna TikTok AN memberi komen:
“Wehh ni satu kebahagiaan utk (untuk) orang yg (yang) makan karipap buang inti macam aku.”
Ada juga warganet yang berkata mereka suka bahawa peniaga ini berterus terang menjual karipap tanpa inti.
Pengguna Ann Sharon787 berkata:
“At least (Sekurang-kurangnya) diorang jujur. Awal-awal letak sign sna (petanda sana) ‘Karipap Oksigen 30sen’.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg