Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kebakaran belukar seluas S’pura di Australia

Dec 27, 2024 | 4:25 PM
Pegawai keselamatan bergelut untuk mengawal kebakaran belukar seluas Singapura di Taman Negara Grampians, di Victoria, timur Australia, pada 27 Disember.
Pegawai keselamatan bergelut untuk mengawal kebakaran belukar seluas Singapura di Taman Negara Grampians, di Victoria, timur Australia, pada 27 Disember. - Foto AFP

SYDNEY: Anggota bomba Australia sedang bertarung untuk mengawal kebakaran belukar seluas Singapura di salah sebuah taman negara di Victoria, timur Australia, pada 27 Disember.

Ini setelah negeri tersebut mengalami kebakaran teruk sejak 17 Disember, sekali gus memaksa pemindahan puluhan anggota masyarakat di luar bandar.

Jurucakap Pusat Kawalan Negeri, Encik Luke Hegarty, memberitahu media Australia bahawa kebakaran terbesar kini telah memusnahkan 74,000 hektar Taman Negara Grampians atau kira-kira 100,000 padang bola sepak.

Taman negara itu terletak 240 kilometer barat Melbourne.

“Kebakaran ini saiznya lebih kurang seperti keluasan Singapura,” katanya.

Beliau menambah, meskipun kebakaran semakin reda, tetapi ia tetap akan masih mengambil masa untuk mengawal kebakaran di Taman Negara Grampians, yang mempunyai perimeter lebih 360 kilometer.

“Ini bermakna pasukan keselamatan perlu berjalan, memandu atau melakukan penerbangan ke atas seluruh perimeter kebakaran bagi memastikan kami dapat mengawal api ini. Ia bukan satu tugas mudah,” ujarnya.

Setakat ini, tiada kematian atau kehilangan harta benda dilaporkan, kata pihak berkuasa tempatan.

Taman Negara Grampians adalah destinasi pelancongan popular yang terkenal dengan banjaran gunung yang menakjubkan dan melintasi wilayah Wimmera.

Penduduk yang telah berpindah dari pekan dalam kawasan itu, termasuk kawasan tumpuan pelancong Halls Gap, telah diberi amaran bahawa ia masih belum selamat untuk kembali.

Timbalan Ketua Negeri Victoria, Encik Ben Carroll, berkata pada 23 Disember bahawa ia merupakan “musim kebakaran belukar yang panjang, panas dan berbahaya”.

Pesuruhjaya Pengurusan Kecemasan Victoria, Encik Rick Nugent, turut menyatakan pada sebelum ini bahawa negeri itu telah menerima sumber tambahan dari Tasmania, Queensland dan New South Wales.

Ini termasuk 80 anggota bomba pakar dan kira-kira 70 pesawat untuk menangani kebakaran di Taman Negara Grampians, tambahnya.

Amaran juga telah dikeluarkan mengenai dua lagi kebakaran kecil yang sedang marak di bahagian lain di Victoria.

Australia mempunyai sejarah kebakaran belukar yang marak di luar kawalan.

Antara Julai 2019 dengan Mac 2020, apa yang dikenali sebagai kebakaran ‘Musim Panas Hitam’ menyelubungi kawasan timur Australia, membunuh 33 orang dan memusnahkan 24 juta hektar tanah.

Kawasan itu bersamaan kira-kira separuh keluasan California di Amerika Syarikat. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg