Abang pengkritik makanan veteran, Encik K.F. Seetoh, meninggal dunia disyaki ekoran satu letupan gas di rumah percutiannya di Tuscany, Italy.
Encik Seetoh Kwok Meng, 68 tahun, berada bersama isterinya, Cik Chang Kai En, yang berasal dari Taiwan, ketika tragedi itu berlaku pada lewat malam 21 Disember.
Mayat Encik Seetoh ditemui di bawah runtuhan pada pagi 22 Disember, manakala mayat isterinya masih dicari pasukan penyelamat pada 23 Disember.
Agensi berita Il Tirreno pertama kali melaporkan kejadian itu dengan menyatakan satu letupan telah berlaku di bandar Molazzana, Italy, tempat pasangan itu sering bercuti setelah membeli sebuah rumah di sana beberapa tahun lalu.
Ketika insiden itu, Encik Seetoh dan Cik Chang dilaporkan baru pulang daripada makan malam apabila satu letupan kuat yang dipercayai disebabkan kebocoran gas berlaku di rumah mereka.
Agensi berita The Pinnacle Gazette melaporkan tembok rumah tersebut runtuh ketika api menyelubungi seluruh kediaman itu.
Kebakaran itu dipadamkan oleh sekitar 25 anggota bomba dari jabatan bomba kawasan Castelnuovo dan Lucca.
Encik K.F. Seetoh, pengasas panduan makanan tempatan Makansutra dan kurator pusat makanan Urban Hawker di New York City, mengesahkan kematian pasangan itu dalam satu hantaran di Facebook pada lewat 23 Disember, lapor The Straits Times (ST).
Beliau menyifatkan abangnya sebagai “paling ceria” dalam kalangan adik-beradik mereka dan berkata abangnya menemui kehidupan persaraan tenang di Tuscany bersama Cik Chang, isteri keduanya yang berumur 52 tahun.
Menurut Encik K.F. Seetoh, abangnya membeli rumah batu itu beberapa tahun lalu daripada pemandu pelancong mereka semasa pasangan itu bercuti di Tuscany.
Rumah ratusan tahun itu hancur lebur dan kematian pasangan itu tidak boleh dielakkan.
“Pastinya, saya akan merindui mereka. Semoga Ah Meng dan Kai En tenang di sana,” tulis Encik K.F. Seetoh di Facebook.
Difahamkan bahawa Encik K.F. Seetoh dan ahli keluarganya sedang menerima bantuan daripada misi diplomatik Singapura di Italy.
Encik Peter Yap, seorang rakan mendiang, berkongsi tentang pemergian beliau dalam satu hantaran di Facebook pada 22 Disember.
Encik Yap berkata beliau baru berbual dengan rakannya beberapa minggu lalu mengenai kepulangan Encik Seetoh ke Singapura untuk menyambut Tahun Baru Cina.
“Pasukan kecemasan tempatan menemui mayatnya di bawah runtuhan rumahnya, yang sepatutnya menjadi tempat perlindungan kehidupan baru bersama isteri yang dicintai, Kai En. Namun, ia bertukar menjadi pusaranya,” kata Encik Yap.
Jiran pasangan itu di Molazzana menyifatkan mereka sebagai mesra dan ramah.
Mayor Molazzana, Encik Andrea Talani, menyifatkan kejadian itu sebagai “satu tragedi yang sangat besar”.
“Kesan kehilangan ini dirasai secara mendalam dalam kalangan masyarakat kami,” kata Encik Talani, seperti yang dipetik oleh The Pinnacle Gazette.
Menurut profil LinkedIn mendiang Encik Seetoh, beliau pernah berkhidmat sebagai ketua pegawai operasi di Taiwan Motor Image, sebuah anak syarikat pengedar kereta Tan Chong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg