JAKARTA: Lebih 107,000 hektar hutan dan tanah di seluruh Indonesia sudah terjejas akibat kebakaran tahun 2026 ini, mendorong pemerintah memperhebat operasi pemadaman ketika cuaca semakin kering meningkatkan risiko kebakaran lebih meluas dan kemungkinan berlakunya jerebu rentas sempadan.

Enam wilayah dikenal pasti sebagai kawasan keutamaan bagi operasi mengawal kebakaran, iaitu Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.

Pemerintah turut menyediakan sehingga 15 pesawat dan mengerahkan kira-kira 43 helikopter bagi operasi pemadaman, pemantauan serta pengeboman air dari udara.

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Indonesia, Encik Djamari Chaniago, berkata setakat 10 Ogos, pemerintah belum menerima laporan bahawa jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah di Indonesia sudah menjejaskan negara jiran.

“Kami juga berusaha sedaya upaya agar tidak menjejaskan pihak lain, termasuk negara jiran yang berdekatan dengan kami,” katanya pada sidang media di Jakarta pada 10 Ogos.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai kemungkinan jerebu rentas sempadan menjejaskan Malaysia dan Singapura serta sama ada Indonesia sudah berhubung dengan kedua-dua negara mengenai perkara itu.

Menurutnya, usaha menangani kebakaran bukan sekadar bertujuan memadam api serta melindungi alam sekitar dan kesihatan awam, malah merupakan tanggungjawab negara yang perlu dilaksanakan secara bersama.

Pemerintah kini meningkatkan kesiapsiagaan berikutan keadaan cuaca semakin kering yang boleh menyebabkan kebakaran merebak dengan lebih cepat, khususnya di kawasan tanah gambut di Sumatera dan Kalimantan.

Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) melaporkan sehingga akhir Julai, sekitar 73.8 peratus wilayah Indonesia atau 516 zon musim sudah memasuki musim kemarau dan keadaan itu dijangka semakin meluas sepanjang Ogos.

Pemangku Timbalan Meteorologi Awam BMKG, Encik Andri Ramdhani, berkata sekitar 76.3 peratus wilayah Indonesia turut mencatatkan taburan hujan di bawah paras biasa pada 10 hari terakhir Julai.

Bagi tempoh 10 hari kedua Ogos pula, BMKG menjangkakan sekitar 95.62 peratus wilayah Indonesia menerima hujan kurang daripada 50 milimeter, manakala hanya 4.38 peratus dijangka menerima hujan pada paras sederhana.

Risiko kebakaran turut meningkat dengan pengukuhan fenomena El Nino serta satu lagi fenomena iklim yang dikenali sebagai ‘Indian Ocean Dipole’ (IOD) positif  - dua corak iklim yang boleh membawa keadaan lebih kering kepada Indonesia.

BMKG memberi amaran El Nino yang kuat berkemungkinan berterusan sehingga suku pertama 2027, sekali gus meningkatkan kebimbangan bahawa musim kebakaran kali ini boleh berpanjangan.

Data rasmi dan analisis bebas menunjukkan kegiatan kebakaran tahun ini sudah melebihi paras yang dicatatkan bagi tempoh sama pada 2019, ketika Indonesia mengalami antara musim kebakaran paling buruk dalam sejarahnya.

Jerebu akibat kebakaran di Sumatera dan Kalimantan sebelum ini pernah merebak ke beberapa negara Asia Tenggara, terutama ketika musim El Nino.

Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura (SIIA) dalam laporan Julai lalu turut memberi amaran rantau ini mungkin sekali lagi berdepan jerebu meluas ketika musim kebakaran memuncak pada Ogos dan September sekiranya keadaan kering bertambah buruk.

Encik Djamari berkata antara langkah utama yang sedang dipertingkat ialah operasi pengubahsuaian cuaca untuk merangsang hujan di kawasan berisiko tinggi.

“Cara paling berkesan untuk menangani kebakaran hutan ialah menggalakkan lebih banyak hujan dengan menjalankan operasi pengubahsuaian cuaca. Itu cara paling berkesan,” katanya.

Bagaimanapun, operasi itu bergantung kepada kewujudan awan yang sesuai untuk menghasilkan hujan, sedangkan awan sedemikian semakin berkurangan ketika musim kemarau berpanjangan.

Selain operasi udara, pasukan pemadam turut digerakkan di darat dengan pelbagai peralatan, termasuk tangki fleksibel yang digunakan sebagai tempat simpanan air sementara bagi membantu anggota memadam kebakaran.

Pemerintah belum menyediakan peruntukan baharu yang dikhususkan untuk menangani kebakaran, tetapi Presiden Prabowo Subianto bersedia menyediakan dana tambahan kepada wilayah yang memerlukannya.

Kebimbangan terhadap ancaman kebakaran semakin meningkat selepas kebakaran di Taman Nasional Bromo Tengger Semeru, Jawa Timur, merebak ke arah kawasan kediaman di Lembah Dingklik pada 10 Ogos.

Kebakaran itu masih menimbulkan kebimbangan tujuh hari selepas bermula, walaupun Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) sebelum ini melaporkan pasukan gabungan berjaya mengawal api selepas lebih 550 hektar kawasan terbakar.

Kebakaran turut dilaporkan berlaku di beberapa kawasan lain, termasuk Gunung Gede Pangrango di Jawa Barat dan Gunung Rinjani di Nusa Tenggara Barat.

Setiausaha Negara, Encik Prasetyo Hadi, berkata keadaan cuaca yang terlalu kering menyebabkan kebakaran mudah tercetus dan menggesa orang ramai mengelakkan kegiatan yang boleh menyebabkan api merebak tanpa kawalan.

“Cuaca sekarang sangat kering sehingga percikan api mudah mencetuskan kebakaran. Oleh itu, kami benar-benar menggesa masyarakat supaya terus berwaspada,” katanya.

Pakar alam sekitar pula mengingatkan bahawa keadaan cuaca bukan satu-satunya punca kebakaran hutan dan tanah di Indonesia.

Sebahagian besar kebakaran sebelum ini dikaitkan dengan kecuaian manusia atau pembukaan tanah menggunakan api, manakala musim kering menyebabkan kebakaran lebih mudah merebak.

Forum Indonesia untuk Alam Sekitar (Walhi) mendapati sekurang-kurangnya 74 peratus kawasan panas yang dikesan di Kalimantan terletak dalam kawasan konsesi industri.

Penyelaras kempen Walhi, Cik Uli Arta Siagian, berkata operasi pengubahsuaian cuaca sahaja tidak mencukupi untuk menangani masalah berulang itu.

Menurutnya, pemerintah juga perlu memperbaiki pengurusan sumber semula jadi serta menilai semula pemberian permit penggunaan kawasan hutan dan tanah gambut bagi mengurangkan risiko kebakaran dalam jangka panjang.- Agensi berita