JAKARTA: Indonesia berisiko berdepan musim kebakaran hutan dan tanah paling buruk dalam tempoh beberapa tahun apabila keluasan kawasan terbakar serta jumlah titik panas meningkat mendadak lebih awal daripada kebiasaan, didorong musim kemarau yang panjang dan fenomena El Nino yang dijangka semakin kuat.

Data pemerintah serta analisis badan pemantau bebas menunjukkan keadaan ketika ini lebih membimbangkan berbanding tempoh sama pada 2019, iaitu tahun yang menyaksikan antara kebakaran hutan terbesar dalam sejarah moden Indonesia sehingga mencetuskan jerebu rentas sempadan di rantau ini.

Berdasarkan platform pemantauan kebakaran hutan, Sipongi milik Kementerian Perhutanan Indonesia, kira-kira 107,000 hektar hutan dan tanah terbakar di seluruh negara sepanjang enam bulan pertama tahun 2026 ini.

Keluasan itu hampir dua kali ganda saiz Jakarta dan meningkat kira-kira 120 peratus berbanding tempoh sama pada 2019, lapor The Jakarta Post.

Pada masa sama, platform pemantauan bebas Nusantara Atlas merekodkan lebih 116,000 titik panas sejak Januari lalu, iaitu sekitar 6,000 lebih banyak berbanding tempoh yang sama tujuh tahun lalu.

Hanya dalam tempoh dua hari, antara 3 hingga 4 Ogos, lebih 3,100 titik panas dikesan, dengan tumpuan tertinggi di Nusa Tenggara Timur, Kalimantan Barat, Riau dan Papua Selatan.

Perkembangan itu mencetuskan kebimbangan bahawa musim kemarau yang masih panjang boleh menyebabkan kebakaran merebak dengan lebih cepat pada minggu dan bulan akan datang.

Di Kalimantan Barat, wilayah yang merekodkan kawasan terbakar paling luas tahun ini, pihak berkuasa melanjutkan amaran darurat jerebu sehingga 15 November selepas lebih 200 titik panas dikesan dalam tempoh sehari pada penghujung bulan lalu.

Data satelit Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) menerusi Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Kebakaran (FIRMS) menunjukkan peningkatan aktiviti titik panas hampir di seluruh Indonesia sejak seminggu lalu.

Pemerhatian satelit itu mengesan peningkatan aktiviti haba dari Aceh hingga Merauke, sekali gus menjadi petunjuk awal bahawa risiko kebakaran semakin meningkat walaupun asap tebal masih belum kelihatan.

Di Aceh, titik panas mula muncul di kawasan yang sebelum ini terjejas akibat banjir besar dan kemusnahan hutan, menyebabkan kayu mati serta tumbuhan kering menjadi bahan bakar semula jadi ketika musim kemarau.

Wilayah Bangka Belitung turut memasuki tahap berjaga-jaga susulan peningkatan kebakaran tanah, manakala Sumatera Selatan sekali lagi menjadi kawasan berisiko tinggi kerana tanah gambutnya mudah terbakar apabila aktiviti pembukaan tanah tidak dikawal.

Di Kalimantan Timur dan Kalimantan Utara pula, banyak titik panas dikesan di kawasan belukar, tanah terbuka dan kawasan hutan yang telah terjejas, sekali gus meningkatkan risiko api merebak dengan pantas.

Di Pulau Jawa, peningkatan titik panas mula direkodkan di Jawa Barat dan Jawa Timur apabila kawasan pertanian, belukar dan tanah tinggi semakin kering.

Keadaan lebih ketara di Nusa Tenggara Barat dan Nusa Tenggara Timur apabila kawasan padang rumput semula jadi menjadi semakin gersang, manakala di Merauke, Papua Selatan, pengurangan litupan hutan dan kawasan paya akibat pembukaan tanah berskala besar menjadikan kawasan itu lebih mudah terdedah kepada cuaca panas dan kebakaran.

Pakar kebakaran hutan dari Institut Pertanian Bogor (IPB), Profesor Bambang Hero, berkata Indonesia sememangnya berpotensi berdepan musim kebakaran yang serius tahun ini dan risiko itu mungkin berlarutan hingga tahun 2027 sekiranya El Nino terus menguat.

Bagaimanapun, beliau menegaskan cuaca panas bukan punca utama kebakaran.

Menurutnya, sebahagian besar kebakaran hutan dan tanah berpunca daripada kecuaian manusia atau aktiviti pembukaan tanah secara sengaja, manakala musim kemarau hanya mempercepatkan penyebaran api.

“Dalam kebanyakan kes, kebakaran bermula akibat aktiviti manusia. Cuaca kering hanya menyebabkan api lebih mudah merebak dan sukar dikawal,” katanya.

Penilaian itu selari dengan laporan Forum Alam Sekitar Indonesia (Walhi) yang mendapati sekurang-kurangnya 74 peratus titik panas di Kalimantan berada dalam kawasan konsesi industri.

Profesor Bambang turut mengingatkan banyak pemerintah daerah masih berdepan kekurangan anggota dan dana bagi melaksanakan langkah pencegahan serta memadam kebakaran.

Katanya, sebahagian pentadbiran wilayah masih menganggap kebakaran hutan sebagai masalah bermusim dan bukannya isu dasar yang memerlukan peruntukan tetap.

Keadaan itu menjadi lebih mencabar selepas langkah penjimatan perbelanjaan yang diperkenalkan Presiden Prabowo Subianto bagi membiayai beberapa program utama pemerintah menyebabkan pengurangan peruntukan kepada kementerian, agensi dan pemerintah daerah.

Jurucakap Kementerian Perhutanan Indonesia, Encik Ristianto Pribadi, bagaimanapun berkata usaha mengawal kebakaran hutan kekal menjadi keutamaan pemerintah walau menghadapi kekangan bajet.

Menurutnya, kementerian telah mengenakan tindakan pentadbiran terhadap 14 syarikat yang didapati bertanggungjawab menyebabkan kebakaran, selain mengeluarkan surat amaran kepada 13 syarikat lain.

Pemegang konsesi juga diwajibkan memperkukuh pasukan pemadam kebakaran masing-masing bagi mempercepatkan tindakan pencegahan dan operasi memadam kebakaran.

“Kami mahu pengurusan kebakaran menjadi lebih pantas, berkesan dan telus dengan memberi tumpuan kepada pencegahan, penguatkuasaan undang-undang serta kerjasama semua pihak,” katanya.

Pakar alam sekitar turut mengingatkan bahawa hutan dan kawasan paya memainkan peranan penting sebagai takungan semula jadi yang menyimpan air ketika musim hujan.

Apabila hutan ditebang dan paya dikeringkan untuk pembangunan atau pertanian, tanah menjadi lebih cepat kering, suhu meningkat, paras air sungai menurun dan risiko kebakaran menjadi jauh lebih tinggi.

Dengan musim kemarau yang dijangka berlanjutan beberapa bulan lagi, pihak berkuasa kini meningkatkan pemantauan di kawasan berisiko tinggi bagi mengelakkan tragedi kebakaran besar dan jerebu rentas sempadan seperti yang pernah melanda Indonesia dan negara jiran pada 2019. - Agensi berita