Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kebakaran merebak di utara Israel akibat tembakan roket Hezbollah

Jun 4, 2024 | 1:02 PM
Roket yang dilancarkan Hezbollah dari Lebanon pada 3 Jun menyebabkan kebakaran besar di  Kiryat Shmona, sebuah bandar di Israel dekat sempadan Lebanon.
Roket yang dilancarkan Hezbollah dari Lebanon pada 3 Jun menyebabkan kebakaran besar di Kiryat Shmona, sebuah bandar di Israel dekat sempadan Lebanon. - Foto REUTERS

TEL AVIV: Sebuah kawasan hutan besar di utara Israel dilanda kebakaran ekoran roket yang dilancarkan dari Lebanon oleh kumpulan militan Hezbollah pada 3 Jun.

Namun, pasukan penyelamat yang dikejarkan ke kawasan itu berjaya mengawal api daripada merebak ke kawasan lain.

Ekoran kebakaran itu, beberapa buah rumah berdekatan telah dijilat api, lapor media tempatan.

Ramai warga Israel yang tinggal di bandar berhampiran sempadan Lebanon telah dipindahkan beberapa bulan lalu berikutan pertempuran yang semakin memuncak antara Israel dengan Hezbollah.

Tentera Israel telah menghantar peralatan dan anggotanya untuk membantu memadamkan api, yang merebak dengan cepat akibat cuaca panas dan kering.

Enam anggota simpanan tentera cedera ringan ketika melawan api.

“Pasukan penyelamat telah dapat mengawal kebakaran di kawasan yang terjejas dan pada peringkat ini, tiada nyawa manusia yang terancam,” kata tentera.

Pihak berkuasa taman Israel berkata pada awal 3 Jun bahawa kebakaran telah menjejas ratusan ekar kawasan tersebut.

Perkhidmatan bomba Israel berkata para anggotanya beroperasi sehingga larut malam di beberapa tempat, termasuk di bandar Kiryat Shmona, untuk melindungi barisan rumah daripada dibaham api.

Polis berkata mereka menutup jalan raya dan memberitahu penduduk supaya keluar daripada kawasan itu sebagai langkah keselamatan.

Pada 2 Jun, dron yang dilancarkan oleh kumpulan Hezbollah jatuh di bandar pantai Israel, Nahariya, menyebabkan kebakaran tetapi tiada kecederaan, lapor tentera Israel dan media tempatan.

Semboyan yang dilaungkan telah menyebabkan kira-kira 75,000 penduduk bandar itu berlari mencari perlindungan.

Hezbollah yang disokong Iran mula melepaskan tembakan ke arah utara Israel sejurus selepas serangan mengejut kumpulan Palestin Hamas pada 7 Oktober di selatan negara itu.

Sejak itu, kedua-dua pihak telah berbalas-balas tembakan tetapi mengelak daripada perang habis-habisan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg