BANGKOK, Sekurang-kurangnya 27 orang maut, manakala 63 lagi cedera selepas kebakaran yang disusuli letupan memusnahkan sebuah pub dan restoran popular di ibu negara Thailand lewat malam 11 Julai, dalam antara tragedi kebakaran paling buruk melanda pusat hiburan negara itu sejak beberapa tahun lalu.

Perdana Menteri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul, yang melawat lokasi kejadian pada 12 Julai berkata operasi mencari dan menyelamat telah menemui 27 mayat setakat ini.

“Kami telah menemui 27 mayat. Mangsa yang cedera pula sedang menerima rawatan di hospital,” katanya.

Menurut pihak berkuasa, kebakaran berlaku kira-kira jam 11.57 malam waktu tempatan di Rong Beer Na Lat Phrao, sebuah pusat hiburan di daerah Chatuchak yang sering dikunjungi penduduk tempatan dan pelancong.

Akhbar The Bangkok Post melaporkan sekurang-kurangnya sembilan lelaki dan 18 wanita terkorban dalam kejadian itu.

Pengarah Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Pentadbiran Metropolitan Bangkok, Encik Suriyachai Rawiwan, berkata jumlah kematian kekal 27 orang, manakala semua 63 mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital.

“Gambarannya sangat tragis. Jumlah kematian setakat ini ialah 27 orang,” katanya kepada Reuters.

Gabenor Bangkok, Encik Chadchart Sittipunt, berkata 22 daripada mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal.

Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan pengunjung bertempiaran lari sambil menjerit apabila api dan asap tebal memenuhi pintu masuk utama sebelum satu letupan besar berlaku, menyebabkan api menyembur keluar dari bangunan.

Beberapa mangsa dilihat melarikan diri dalam keadaan pakaian terbakar, manakala yang lain mengalami kecederaan melecur.

Berdasarkan keterangan mangsa yang terselamat, Encik Anutin berkata kebakaran menyebabkan ruang dalam pub dipenuhi asap dalam tempoh yang sangat singkat.

Ramai pelanggan berlari ke bahagian belakang berhampiran tandas untuk menyelamatkan diri, namun gagal menemui laluan keluar kecemasan.

Media tempatan melaporkan sebahagian mangsa ialah pelancong yang sedang menikmati makanan dan minuman sebelum terperangkap di dalam premis.

Laporan turut menyebut gangguan bekalan elektrik ketika kejadian dipercayai menyukarkan pelanggan melihat pintu keluar utama.
Seorang anggota bomba, Chakrit Khongkom, berkata ketika pasukan penyelamat tiba, kebanyakan mangsa masih terperangkap di dalam bangunan.

“Api tidak begitu besar, tetapi asap memenuhi hampir keseluruhan bangunan. Di mana-mana sahaja dipenuhi asap,” katanya.

“Kebanyakan mangsa yang berjaya diselamatkan mengalami sesak nafas akibat terhidu asap.”

Rakaman kamera badan anggota penyelamat yang diperoleh Reuters menunjukkan anggota bomba memakai topeng oksigen meredah bangunan yang gelap sambil mencari mangsa.

Beberapa mayat ditemui bergelimpangan berhampiran tandas di bahagian belakang premis, manakala anggota penyelamat membawa pengusung masuk untuk mengeluarkan mangsa.

Pasukan forensik pula dilihat mengumpul bukti bagi mengenal pasti identiti mangsa.

Menurut Encik Suriyachai, pasukan kecemasan tiba hanya lima minit selepas menerima panggilan kecemasan.
“Namun ketika kami tiba, api sudah merebak ke seluruh kawasan dan menyukarkan anggota bomba memasuki bangunan,” katanya.

Beliau berkata susun atur meja dan kerusi di dalam pub turut menghalang pergerakan anggota penyelamat.

“Semasa operasi mencari mangsa, kami mendapati meja dan tempat duduk menghalang laluan di banyak tempat, selain suhu dalam bangunan masih terlalu panas,” katanya.

Kebanyakan mangsa ditemui di kawasan tandas belakang, dipercayai cuba berlindung selepas gagal mencari jalan keluar.

Seorang pemandu teksi motosikal, Encik Surin Jaiharn, berkata beliau melihat api menjulang keluar dari pintu hadapan pub sebelum membantu beberapa mangsa yang berjaya melarikan diri.

“Saya berasa sangat sedih. Saya melihat begitu banyak kematian dan saya sendiri tidak tahu nasib mereka yang saya bantu,” katanya kepada AFP.

Beliau berkata menggunakan pakaiannya untuk memadamkan api pada tubuh mangsa, manakala seorang lagi penunggang motosikal membantu membawa seorang wanita keluar dari kawasan bahaya.

Premis hiburan itu mempunyai pentas persembahan muzik secara langsung, dua kaunter minuman serta dapur dengan kapasiti melebihi 300 pelanggan.

Menurut maklumat di laman Facebook premis berkenaan, bangunan itu mempunyai empat pintu keluar kecemasan.

Seorang anggota kumpulan muzik yang membuat persembahan ketika kejadian berkata asap mula memenuhi ruang selepas bekalan elektrik terputus seketika.

“Selepas letupan, saya tidak nampak orang berlari. Kebanyakan mereka sudah rebah di lantai sambil meminta pertolongan,” katanya.

“Saya berlari kira-kira lima meter dari pentas menuju pintu keluar, tetapi keadaan sangat gelap, dipenuhi asap dan hampir tiada oksigen.”

Seorang pelancong dari Laos, Kan Kutirat, berkata beliau sedang minum bersendirian apabila melihat asap keluar berhampiran pentas.

“Saya mendengar jeritan kuat dari dalam. Suasana menjadi huru-hara dalam sekelip mata,” katanya.

Beliau turut memuat naik video kejadian yang menunjukkan beberapa pelanggan melarikan diri dengan pakaian mereka terbakar ketika api marak keluar dari pintu bangunan.

“Saya tidak pernah mengalami kejadian seperti ini. Gambaran itu masih bermain di fikiran saya,” katanya.
Kan berkata beliau hanya sempat menyelamatkan seorang wanita daripada bangunan berkenaan.

“Saya hanya mampu membawa keluar seorang mangsa. Saya sudah melakukan yang terbaik. Maaf,” tulisnya di media sosial.

Pihak polis Thailand memaklumkan kebakaran berjaya dikawal sekitar jam 2 pagi 12 Julai, manakala siasatan mengenai punca kebakaran sedang dijalankan.

Gabenor Bangkok berkata premis itu memiliki permit operasi yang sah serta pintu keluar kecemasan, namun api dan asap merebak terlalu pantas sehingga menyukarkan pelanggan menyelamatkan diri.

Tragedi itu sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai tahap pematuhan aspek keselamatan kebakaran di pusat hiburan Thailand.

Pada 2022, kebakaran di kelab malam Mountain B di wilayah Chonburi mengorbankan 25 orang, manakala kebakaran di kelab malam Santika di Bangkok ketika sambutan Tahun Baharu 2009 meragut 67 nyawa dan mencederakan lebih 200 orang. - Agensi berita