Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

ANALISIS BERITA

Kebimbangan kian meningkat perang saudara lebih besar di Myanmar

Feb 22, 2022 | 05:30 AM



KEADAAN di Myanmar semakin buruk hari demi hari, bulan demi bulan.



Pertempuran antara pihak tentera dengan pasukan militia kaum terus meningkat - satu perkembangan ke arah kemungkinan berlakunya perang saudara di negara itu.



Selain itu, ribuan penduduknya hilang pekerjaan disebabkan keadaan ekonomi dan keselamatan yang semakin teruk sejak berlakunya rampasan kuasa tentera pada Februari tahun lalu.



Ratusan ribu lagi penduduk Myanmar terpaksa melarikan diri ke negara jiran seperti Thailand, India dan juga China.



Sebilangan penduduk beberapa kawasan pendalaman pula mendapati rumah mereka dibakar, dengan dakwaan ia dilakukan junta tentera.



Sementara itu, disebabkan desakan kuat pihak tentera terhadap ibu bapa berkaitan tindakan anak mereka menentang junta itu, sebilangan ibu bapa terpaksa 'membuang' anak mereka itu.



Mereka perlu meletakkan notis dalam akhbar yang dikuasai rejim tentera, menyatakan mereka telah memutuskan hubungan dengan anak dan sanak-saudara mereka.



Melihat keadaan di Myanmar itu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini melahirkan kebimbangan besar mengenai keadaan berterusan buruk di bawah langkah darurat yang dilaksanakan tentera Myanmar.



Majlis PBB itu menggesa semua pihak di negara itu supaya mengadakan dialog untuk menghuraikan keadaan berdasarkan "keinginan dan kepentingan rakyat negara itu".



Di rahat menteri luar Asean yang berlangsung di Kemboja minggu lalu, pemimpin blok itu sekali lagi menegaskan agar Myanmar melaksanakan Konsensus Lima Perkara Asean yang dipersetujui sebelumnya semasa sidang pemimpin Asean pada April tahun lalu yang turut dihadiri pemimpin tentera Myanmar.



Konsensus itu bertujuan memulihkan keadaan di Myanmar. Namun sehingga kini, masih tiada kemajuan yang diusahakan junta Myanmar.



Sebaliknya, pertempuran semakin melonjak antara junta tentera dengan kumpulan militia, meningkatkan kebimbangan anggota Asean, dan masyarakat antarabangsa, tentang kemungkinan berlakunya perang saudara berskala besar seperti yang berlaku di Syria.



Jika pertempuran kian meningkat, peluang mencari kedamaian pula berkurangan dan akan mengakibatkan kemusnahan lebih besar dari segi nyawa dan harta, dengan setiap pihak mahu menang perang saudara itu walaupun dengan kos yang amat besar.



Beberapa badan pemantau menganggarkan lebih 3,500 orang awam telah terbunuh pada tahun lalu.



Suruhanjaya Tinggi PBB mengenai Pelarian (UNHCR) pula menganggarkan sekitar 442,000 penduduk telah kehilangan rumah sejak rampasan kuasa setahun lalu.



Hampir separuh daripada 55 juta rakyat Myanmar pula akan dilanda kemiskinan tahun ini.



Pertempuran dan kekacauan lebih meluas di Myanmar boleh menimbulkan keadaan kurang mantap di rantau Asia Tenggara khususnya di negara-negara jiran negara itu.



Keadaan ini boleh menjejas penilaian dan keyakinan pelabur yang berminat melabur dan melakukan perniagaan mereka di Asean, rantau yang kian menjadi tarikan utama pelabur antarabangsa.



Asean dengan lebih 660 juta penduduk dilihat sebagai rantau penuh potensi dengan kemunculan golongan pertengahan yang membesar.



Asean juga merupakan antara zon ekonomi terbesar dunia, dengan pertumbuhan ekonomi pantas dan mantap sejak tahun 2000. Pada 2020, dianggarkan jumlah gabungan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) anggota Asean mencapai AS$3 trilion ($4.03 trilion).



Sehingga kini, peluang berlakunya dialog politik di Myanmar sukar dibayangkan dengan junta tentera masih mahu berkuasa secara sendiri dan enggan berunding dengan Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) pimpinan Cik Aung San Suu Kyi.



Asean harus terus memainkan peranannya dalam memberi insentif dan juga 'tekanan' untuk meyakinkan kepimpinan tentera Myanmar supaya memulakan proses damai yang melibatkan semua pihak termasuk NLD dan Cik Suu Kyi.



Junta tentera harus disedarkan bahawa kedegilan mereka kekal berkuasa, tanpa sokongan rakyat, hanya memburukkan keadaan Myanmar dan penduduknya yang sudah lama menderita.



Pihak tentera Myanmar juga harus diyakinkan bahawa hanya perdamaian menyeluruh di negara itu, yang membabitkan semua pihak, boleh membawa semula negara itu ke dalam keluarga Asean.



Ini akan sekali gus membantu pembangunan negara itu bersama-sama anggota Asean lain yang semakin pulih dengan pertumbuhan ekonomi lebih kukuh pada era pos-Covid-19.




"Asean harus terus memainkan peranannya dalam memberi insentif dan juga 'tekanan' untuk meyakinkan kepimpinan tentera Myanmar supaya memulakan proses damai yang melibatkan semua pihak termasuk NLD dan Cik Suu Kyi. Junta tentera harus disedarkan bahawa kedegilan mereka kekal berkuasa, tanpa sokongan rakyat, hanya memburukkan keadaan Myanmar dan penduduknya yang sudah lama menderita."
- Penulis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >