NEW YORK: Pemenang pingat gangsa 100 meter kejuaraan dunia dua kali, Trayvon Bromell, tidak akan bertanding dalam ujian Olimpik Amerika Syarikat akan datang, kerana kecederaan otot, kata pelari pecut itu pada 12 Jun.
Bromell memenangi acara kelayakan bagi Amerika pada 2021 dan menjadi pilihan ramai di Sukan Tokyo yang ditangguhkan kerana Covid-19, tetapi gagal ke final.
Beliau menebus kekecewaan itu dengan berjaya menaiki podium pada kejohanan dunia di Eugene dua tahun lalu, selepas menduduki tempat ketiga di dunia pada 2015.
“Kecewa bahawa saya terlepas peluang tetapi saya perlu mengambil berat tentang keadaan diri saya,” tulisnya di Instagram.
“Kita semua akan diuji dalam hidup. Bersyukur Tuhan terus memberi saya kekuatan untuk berjuang. Saya tidak akan berputus asa!”
Ejennya memberitahu majalah, Citius Mag, bahawa Bromell mengalami kecederaan otot pada Mei di Savona, Italy dan berharap dapat bertanding semula dalam beberapa minggu.
Garis masa untuk pulih, menghancurkan harapan pelari berusia 28 tahun itu, untuk mara ke Sukan Olimpik Paris, dalam kerjaya yang penuh dengan kecederaan.
Beliau dibawa keluar dari trek pada Sukan Olimpik Rio 2016 dengan kecederaan pada tumitnya, dan terlepas dua tahun persaingan dalam perjalanan panjang untuk pemulihan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg