TRIPOLI: Kedutaan Amerika Syarikat di Libya pada 18 Mei menafikan satu laporan yang mendakwa bahawa pemerintah Amerika sedang merangka pelan untuk memindahkan rakyat Palestin dari Jaluran Gaza ke Libya.
Pada 15 Mei, NBC News melaporkan bahawa pentadbiran Presiden Amerika, Encik Donald Trump sedang membuat perancangan memindahkan sehingga satu juta rakyat Palestin dari Gaza ke Libya secara tetap.
Laporan itu dikatakan bersumberkan lima individu, termasuk dua yang mempunyai maklumat langsung tentang perkara tersebut serta seorang bekas pegawai Amerika.
“Laporan mengenai dakwaan rancangan untuk memindahkan penduduk Gaza ke Libya adalah tidak benar,” kata Kedutaan Amerika di platform media sosial X.
Encik Trump sebelum ini pernah berkata beliau mahu negaranya mengambil alih Jaluran Gaza dan memindahkan penduduk Palestin ke tempat lain.
Rakyat Palestin secara tegas menolak sebarang rancangan yang melibatkan pemindahan mereka dari Gaza, dan menyamakan rancangan sebegitu dengan peristiwa ‘Nakba’ pada 1948.
‘Nakba’ dalam bahasa Arab bererti satu ‘malapetaka’, peristiwa itu menyaksikan ratusan ribu penduduk Palestin kehilangan tempat tinggal akibat peperangan yang membawa kepada penubuhan negara Israel.
Apabila Encik Trump pertama kali mengutarakan idea tersebut selepas menjadi presiden, beliau menyatakan hasrat agar sekutu-sekutu Amerika seperti Mesir dan Jordan menerima penduduk dari Gaza.
Kedua-dua negara itu menolak cadangan yang turut dikecam hebat di peringkat antarabangsa.
Rakyat Palestin, negara-negara Arab dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan idea Encik Trump itu sebagai satu bentuk pembersihan etnik.
Pada April, Encik Trump berkata rakyat Palestin boleh dipindahkan “ke pelbagai negara, dan ada banyak negara yang sanggup berbuat demikian (menerima mereka)”.
Semasa lawatannya ke Qatar beberapa hari lalu, beliau sekali lagi menyuarakan hasrat untuk mengambil alih Gaza, dengan berkata beliau mahu melihat kawasan itu menjadi “zon kebebasan” dan bahawa “tiada apa yang tinggal di sana untuk diselamatkan”.
Beliau sebelum ini turut menyatakan hasrat untuk menjadikan Gaza sebagai pusat peranginan tepi pantai atau “Riviera Timur Tengah”.
Perang di Gaza tercetus pada 7 Oktober 2023 apabila Hamas didakwa membunuh 1,200 penduduk di selatan Israel dan menawan kira-kira 250 tebusan, menurut angka yang dikeluarkan penguasa Israel.
Sejak itu, kempen ketenteraan Israel telah meragut lebih 53,000 nyawa rakyat Palestin, selain ramai lagi yang cedera, kehilangan tempat tinggal serta berdepan dengan masalah kebuluran dek langkah Israel yang terus menyekat penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza untuk 76 hari berturut-turut. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg