NEW YORK: Ketua kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Tom Fletcher, menegaskan pada 16 Mei bahawa usul alternatif yang disokong Amerika Syarikat untuk menyalurkan bantuan ke Gaza tidak seharusnya dilengahkan.
Beliau menekankan PBB sudah mempunyai pelan yang terbukti berkesan dan sebanyak 160,000 palet bantuan sedia dihantar ke wilayah Palestin itu dengan serta-merta.
“Kepada pihak yang mengusulkan kaedah alternatif bagi mengagihkan bantuan, jangan buang masa. Kami sudah ada pelan,” katanya dalam satu kenyataan, ketika Israel terus menyekat penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza untuk 75 hari berturut-turut.
“Ramai orang sedang kebuluran di Gaza,” kata Presiden Amerika, Encik Donald Trump, pada 16 Mei.
Pemantau kelaparan global turut memberi amaran bahawa seramai setengah juta penduduk – sekitar suku daripada jumlah keseluruhan penduduk di wilayah itu – kini berdepan masalah kebuluran.
Israel telah menuduh kumpulan Palestin, Hamas, mencuri bantuan kemanusiaan, namun dakwaan tanpa asas itu telah dinafikan Hamas.
Di bawah pelan bantuan alternatif yang menerima kritikan hebat, satu badan baru yang disokong Amerika – Yayasan Kemanusiaan Gaza – merancang memulakan operasi di Gaza menjelang penghujung Mei.
Menurut laporan Reuters, yayasan tersebut bercadang untuk bekerjasama dengan firma keselamatan dan logistik swasta Amerika untuk menghantar bantuan ke Gaza melalui hab ‘selamat’ tertentu, sebelum diagihkan oleh kumpulan-kumpulan bantuan.
Namun, kaedah pembiayaan bagi yayasan itu masih belum jelas.
PBB berkata ia tidak akan bekerjasama dengan yayasan tersebut kerana pelan agihan bantuannya tidak adil, neutral, mahupun bersifat bebas.
Pada 16 Mei, Encik Fletcher mengeluarkan nota taklimat mengenai pelan PBB untuk menyambung semula penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza, sambil memaklumkan bahawa hampir 9,000 trak bersedia untuk memasuki wilayah itu.
“Kami ada kakitangan. Kami ada rangkaian agihan. Kami ada kepercayaan daripada anggota masyarakat di lapangan.
“Dan kami ada bantuan itu sendiri – 160,000 palet – yang sedia untuk dihantar. Serta-merta,” katanya.
“Kami menuntut penghantaran bantuan yang pantas, selamat dan tanpa halangan bagi penduduk yang memerlukan. Biar kami laksanakan tugas kami.”
Yayasan Kemanusiaan Gaza telah meminta Israel supaya membenarkan penghantaran bantuan oleh PBB dan agensi kemanusiaan lain dengan serta-merta, sementara prasarana yayasan itu masih sedang dibangunkan.
Menurut mereka, langkah itu penting untuk “meringankan cabaran kemanusiaan yang berterusan”.
Israel telah memberi komitmen kepada yayasan itu bahawa ia akan membenarkan bantuan disambung dalam masa terdekat, kata sumber Reuters.
Apabila ditanya mengenai perkara itu pada 16 Mei, misi Israel ke PBB di New York enggan memberi ulasan lanjut.
Perang di Gaza tercetus pada 7 Oktober 2023 apabila Hamas didakwa membunuh 1,200 penduduk di selatan Israel dan menawan kira-kira 250 tebusan, menurut angka yang dikeluarkan penguasa Israel.
Sejak itu, kempen ketenteraan Israel telah meragut lebih 53,000 nyawa penduduk Palestin, selain ramai lagi yang cedera serta kehilangan tempat tinggal. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg