LONDON: Seorang wanita di United Kingdom (UK) tetap bertahan untuk terus hidup walaupun 13 organ dalamannya dibuang melalui pembedahan selepas disahkan menghidap barah jarang jumpa dan agresif.
NDTV memetik portal People, melaporkan walaupun berdepan cabaran perubatan yang mengubah hidup, Cik Rebecca Hind, 39 tahun, komited untuk menjalani kehidupan sepenuhnya.
Cik Hind, dari Cumbria di barat laut England, mula berasa tidak sihat selepas sambutan Krismas di pejabatnya, pada akhir 2018.
Pada mulanya Hind menyangka beliau keracunan makanan, namun gejala yang ada berterusan selama berminggu-minggu.
Selepas menjalani pelbagai ujian, Cik Hind disahkan menghidap pseudomyxoma peritonei (PMP), sejenis barah jarang jumpa yang menjejaskan hanya satu dalam sejuta orang, menurut pakar perubatan.
Ketika doktor mengesan penyakit itu, barah itu merebak secara meluas melalui rongga perutnya dan memerlukan rawatan segera serta agresif.
Hind menjalani beberapa pembedahan besar, termasuk satu daripadanya pada April 2019 untuk membuang lampiran dan sebahagian daripada lapisan perutnya, diikuti dengan lapan pusingan kemoterapi.
Menerusi pembedahan kedua pada tahun itu, pakar bedah mengeluarkan beberapa organ dalamannya, termasuk limpa, pundi hempedu, rahim, ovari, usus, rektum, serviks, tiub fallopio, bahagian perut dan hatinya, dan kedua-dua belah diafragmanya.
Cik Hind kini hidup dengan stoma dan bertahan dengan cecair elektrolit dan berpuluh-puluh tablet setiap hari.
Bercakap kepada media British, Cik Hind berkata beliau bertekad untuk memberi tumpuan kepada kehidupannya.
“Kehidupan harian saya adalah ‘roller-coaster’. Bagaimanapun dengan sikap yang betul, kamu masih boleh mencapai banyak perkara,” katanya, sambil menambah beliau sudah pergi meluncur dan menaiki belon udara panas.
Bagi meningkatkan kesedaran mengenai kehidupan dengan barah tahap empat, Cik Hind merancang untuk mengambil bahagian dalam acara berbasikal ‘Tour de 4’, akhir 2025. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg