Wanita
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura lancar ujian kendiri HPV kesan barah serviks

Boleh dilakukan di rumah – pertama di negara ini – ia bertujuan tingkat penyertaan wanita periksa kesihatan
May 21, 2025 | 5:30 AM
barah serviks, ujian swab
Sukarelawan menunjukkan cara wanita boleh mendapatkan sampel pada diri sendiri sebelum ia dihantar ke makmal untuk diuji. Kaedah itu bukan sahaja meningkatkan keselesaan dan privasi, malah diharap dapat menggalakkan lebih ramai wanita menjalani ujian saringan secara berkala. - Foto PERSATUAN BARAH SINGAPURA (SCS)

Sebagai usaha berterusan untuk meningkatkan kadar saringan barah serviks dalam kalangan wanita, Persatuan Barah Singapura (SCS) dengan kerjasama Alliance for Active Action Against HPV (A4HPV), buat pertama kali melancarkan percubaan ujian saringan kendiri untuk papilomavirus manusia (HPV) di peringkat masyarakat.

HPV ialah virus yang sangat lazim dan boleh mengakibatkan jangkitan, dengan sesetengah jenis HPV boleh menyebabkan masalah kesihatan termasuk ketuat kelamin dan barah seperti barah serviks.

Daya usaha itu diperkenalkan sempena acara kesihatan wanita di Kelab Masyarakat Tampines West pada 17 Mei, sebagai sebahagian daripada kempen Bulan Kesedaran Barah Ginekologi Wanita anjuran SCS.

Menurut kenyataan media oleh SCS, melalui pendekatan baru itu, peserta yang layak diberi peluang mengambil contoh sendiri secara peribadi dengan menggunakan swab faraj.

Contoh tersebut kemudian dihantar ke makmal untuk diuji.

Kaedah itu bukan sahaja meningkatkan keselesaan dan privasi, malah diharap dapat menggalakkan lebih ramai wanita menjalani ujian saringan secara berkala.

Ketua Pegawai Eksekutif SCS, Encik Tan Kwang Cheak, berkata:

“Sebagai sebahagian daripada misi kami untuk mengurangkan beban barah dan memaksimumkan mutu hidup, kami meneroka kaedah baru yang lebih mudah diakses dan diterima oleh masyarakat.

“Percubaan ini memberi kami peluang untuk menilai keberkesanan kaedah ini dalam persekitaran masyarakat sebenar, terutama bagi wanita yang menghadapi pelbagai halangan untuk menjalani saringan secara tradisional.”

Acara kemasyarakatan itu turut disokong Persatuan Rakyat (PA) dan menampilkan ceramah kesihatan oleh pakar perubatan serta sesi SCS Sharing Circles, yang menjadi ruang selamat buat wanita berkongsi pengalaman dan meningkatkan kesedaran mereka tentang barah wanita.

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, di majlis itu menyatakan sokongannya terhadap inisiatif tersebut.

Beliau berkata: “Bersama-sama Jawatankuasa Eksekutif Wanita Tampines West, inisiatif yang diterajui masyarakat ini sangat penting dalam menggalakkan wanita menjaga kesihatan mereka.

“Saya memuji Persatuan Barah Singapura kerana membawa pilihan saringan lebih dekat kepada ramai dan menggalak wanita agar melindungi diri mereka daripada penyakit yang boleh dicegah seperti barah serviks.”

Kaedah itu selaras dengan garis panduan saringan barah serviks yang terkini.

Ia diterbitkan oleh Persatuan Kolposkopi dan Patologi Serviks Singapura (SCCPS) pada Mac 2025, yang mengiktiraf saringan sendiri HPV sebagai pilihan sah di samping ujian ‘pap smear’ dan HPV yang dilakukan oleh doktor.

Berbeza dengan saringan tradisional yang memerlukan pemeriksaan doktor dengan alat spekulum, kaedah itu membolehkan wanita mengambil sampel sendiri secara mudah, tanpa rasa malu atau ketidakselesaan yang sering dikaitkan dengan ujian klinikal.

Dr Ida Ismail-Pratt, pakar sakit puan serta ahli jawatankuasa Kempen Bulan Kesedaran Barah Ginekologi Wanita SCS berkata:

“Wanita kini mempunyai pelbagai cara untuk melindungi diri – daripada ujian di klinik hingga vaksinasi HPV.

“Saringan sendiri merupakan pilihan yang boleh dipercayai dan setanding keberkesanannya dengan ujian yang dilakukan oleh doktor.

“Ia sangat berguna terutama bagi golongan wanita yang mungkin mengelak saringan kerana kekangan peribadi atau budaya.”

Kajian yang diterbitkan SCS pada 2024 mengenal pasti beberapa halangan utama kepada saringan barah serviks, termasuk rasa malu, ketidakselesaan, dan kekangan masa.

Kajian tersebut turut menunjukkan bahawa penerimaan terhadap kaedah saringan sendiri berkait rapat dengan peningkatan kadar penyertaan saringan.

Perangkaan daripada Tinjauan Kesihatan Penduduk Negara (2022) menunjukkan bahawa kadar saringan barah serviks turun daripada 57.9 peratus pada 2007 kepada 43.1 peratus pada 2022.

Ini membimbangkan kerana wanita yang tidak menjalani saringan secara berkala berisiko tinggi mendapat barah serviks akibat jangkitan HPV yang tidak dikesan dan dirawat lebih awal.

Sebagai langkah susulan, SCS akan menyediakan penjagaan lanjutan bagi peserta yang menerima keputusan tidak normal, termasuk untuk menjalani ujian lanjutan ‘pap smear’ dan HPV di Singapore Cancer Society Clinic @ Bishan.

SCS akan menilai maklum balas dan hasil daripada percubaan itu untuk meneliti kemungkinan memasukkan kaedah saringan sendiri HPV ke dalam strategi nasional saringan barah serviks – termasuk pelaksanaan di klinik SCS @ Bishan dan program keterlibatan masyarakat pada masa hadapan.

Sebagai sebahagian daripada bulan Kesedaran Barah Ginekologi Wanita, SCS juga akan menganjurkan dialog untuk pasangan dalam sesi bertajuk, ‘Kau Yang Ku Pilih’, dengan kerjasama Masjid Darul Ghufran pada 24 Mei.

Acara itu direka untuk melibatkan pasangan dalam perbualan terbuka mengenai barah, pemeriksaan dan membuat keputusan kesihatan.

Ia mungkin menawarkan sudut bernuansa budaya tentang bagaimana pasangan boleh menyokong satu sama lain dalam kesihatan pencegahan, atau preventive health.

Sementara itu, wanita boleh terus membuat janji temu untuk menjalani ujian HPV dan ‘pap smear’ secara percuma di SCS @ Bishan atau klinik di bawah inisiatif SG Lebih Sihat.

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://sgcancersociety.info/screening

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg