Topik diikuti
Pergi ke BHkuKekecewaan anak muda, kos sara hidup, penghijrahan bayangi pilihan raya Maghribi
Kekecewaan anak muda, kos sara hidup, penghijrahan bayangi pilihan raya Maghribi
RABAT: Kekecewaan golongan muda terhadap kekurangan pekerjaan, kos sara hidup dan mutu perkhidmatan awam membayangi pilihan raya Parlimen Maghribi pada 23 September, ketika parti politik cuba memenangi semula keyakinan generasi yang semakin menjauh daripada politik.
Seramai 15.8 juta pengundi berdaftar layak mengundi bagi memilih 395 anggota Dewan Perwakilan, dengan 27 parti bertanding dalam pilihan raya yang bakal menentukan pembentukan kerajaan seterusnya.
Keputusan awal dijangka diumumkan pada 24 September.
Isu ekonomi mendominasi kempen, dengan parti politik menjanjikan peluang pekerjaan, peningkatan kuasa beli serta pembaikan sistem kesihatan dan pendidikan.
Namun, kempen itu berlangsung dalam suasana kekecewaan yang mendalam, terutama dalam kalangan anak muda yang merasakan pertumbuhan ekonomi negara tidak diterjemahkan kepada peluang pekerjaan dan kehidupan lebih baik.
“Saya langsung tidak mempunyai harapan terhadap pilihan raya ini. Saya malu dengan keadaan politik kita. Ia seperti satu sarkas,” kata aktivis alam sekitar, Cik Siham Azeroual, 32 tahun, yang tinggal di kawasan Atlas.
Kekecewaan itu menjadi lebih ketara selepas Maghribi melalui dua krisis besar yang banyak melibatkan golongan muda sejak setahun lalu – gelombang tunjuk perasaan Generasi Z pada 2025 dan penghijrahan beramai-ramai ke Ceuta, wilayah Sepanyol di pantai utara Maghribi.
Puluhan ribu orang dilaporkan cuba memasuki Ceuta pada Julai lalu, dalam kejadian yang dilihat sebagai gambaran betapa kuatnya keinginan sebahagian golongan muda untuk mencari kehidupan lebih baik di luar negara.
Walaupun isu penghijrahan jarang dibincangkan secara langsung dalam kempen, masalah yang mendorongnya – pengangguran, gaji, kos kehidupan dan kekurangan peluang menjadi antara isu utama pilihan raya.
Pengangguran khususnya kekal menjadi cabaran besar.
Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) mencatatkan kadar pengangguran Maghribi pada 13 peratus pada 2025, tetapi kadarnya jauh lebih tinggi dalam kalangan mereka berusia 15 hingga 24 tahun, iaitu 37.3 peratus.
Malah, 25.2 peratus golongan muda dalam lingkungan usia itu tidak bekerja, belajar atau mengikuti latihan pada suku ketiga 2025.
Masalah itu wujud meskipun ekonomi Maghribi mencatat pertumbuhan 4.9 peratus pada 2025, didorong antara lain oleh pelaburan awam yang besar.
IMF mengunjurkan ekonomi terus berkembang pada 2026, tetapi menganggap pengangguran, khususnya dalam kalangan anak muda, sebagai cabaran struktur utama negara itu.
Keadaan tersebut membantu menjelaskan mengapa janji menyediakan pekerjaan menjadi tumpuan utama kempen.
Parti-parti turut menggunakan slogan bola sepak dan persiapan Maghribi menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia 2030 dengan Sepanyol dan Portugal untuk mengetengahkan potensi pelaburan serta pertumbuhan ekonomi.
Namun, Piala Dunia juga menjadi simbol perdebatan mengenai keutamaan perbelanjaan negara.
Pada 2025, ribuan anak muda turun ke jalan raya selepas kematian lapan wanita di sebuah hospital di Agadir, dengan penunjuk perasaan mempersoalkan perbelanjaan besar bagi prasarana Piala Dunia ketika sekolah dan hospital masih berdepan pelbagai kekurangan.
Protes yang dikaitkan dengan gerakan Gen Z 212 kemudian berkembang kepada tuntutan lebih luas mengenai pekerjaan, penjagaan kesihatan, kos kehidupan dan keadilan sosial.
Lebih 2,400 orang dilaporkan berdepan pendakwaan susulan pergolakan itu.
Aktivis hak asasi manusia Maghribi, Encik Mohamed Al Ghafri, berkata protes tersebut mendedahkan jurang antara sebahagian golongan muda dengan institusi politik.
Menurutnya, wujud “rasa terkumpul bahawa penyertaan politik adalah sia-sia”.
Gambaran itu turut dapat dilihat melalui penyertaan pengundi muda.
Golongan berusia 18 hingga 24 tahun membentuk sekitar 12 peratus penduduk Maghribi tetapi hanya kira-kira 4 peratus daripada lebih 15.8 juta pengundi berdaftar.
Maghribi mengamalkan sistem raja berperlembagaan, dengan parti politik bertanding bagi kerusi Parlimen, tetapi Raja Mohammed VI terus memainkan peranan penting dalam struktur kerajaan.
Raja melantik perdana menteri daripada parti yang muncul dengan kerusi terbanyak dan turut mempengerusikan Majlis Menteri yang memainkan peranan utama dalam menentukan dasar negara.
Dua parti berhaluan tengah dalam gabungan kerajaan sejak 2021 – Perhimpunan Nasional Bebas (RNI) pimpinan Perdana Menteri, Encik Aziz Akhannouch, dan Parti Keaslian dan Kemodenan (PAM) – merupakan antara parti utama dalam persaingan kali ini.
Bagi ramai pengundi muda, persoalannya bukan sekadar parti mana yang membentuk kerajaan selepas pilihan raya.
Isu lebih besar ialah sama ada sistem politik mampu menangani jurang antara pertumbuhan ekonomi dengan kehidupan seharian rakyat, khususnya menyediakan pekerjaan kepada generasi muda.
Penghijrahan ke Ceuta menjadi gambaran paling jelas tentang tekanan tersebut.
Pengkaji migrasi, Cik Myriam Cherti, menyifatkan penghijrahan sebagai unsur yang membentuk emosi kempen walaupun ia tidak menjadi perbahasan dasar secara langsung.
Dengan kiriman wang rakyat Maghribi di luar negara terus menjadi sumber penting kepada ekonomi – Bank Dunia mencatatkannya bersamaan sekitar 7.5 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar pada 2025 – kehidupan di luar negara kekal dilihat sebahagian rakyat sebagai jalan menuju masa depan lebih baik.
Justeru, pilihan raya kali ini bukan sahaja mengenai pembentukan kerajaan baru, tetapi berlangsung dengan persoalan lebih mendasar mengenai sama ada politik Maghribi mampu meyakinkan generasi muda bahawa masa depan yang mereka cari masih boleh dibina di negara sendiri. – Agensi berita.